Welcome To My Life...

Monday, October 15, 2018

Anak Muda Yang Menggegar Dunia

Assalamualaikum.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah memenangi sebarang pingat emas di pentas Sukan Olimpik sejak ia mula diadakan. Namun di bumi Argentina, Malaysia berjaya merangkul dua pingat emas untuk Sukan Olimpik Remaja.

Youth Olympic Games 2018, Buenos Aires.

----------

GOH JIN WEI


Bagi peminat setia sukan badminton tanah air, nama Goh Jin Wei tidak perlu diperkenalkan lagi. Pemain yang berusia 18 tahun dan dilahirkan di Bukit Mertajam ini merupakan juara perseorangan wanita remaja dunia pada tahun 2015 ketika edisi itu dilangsungkan di Lima, Peru. Ketika itu Jin Wei baru berusia 15 tahun. Kemudian pada usia 17 tahun, Jin Wei memenangi pingat emas Sukan SEA di depan penyokong sendiri.

Kali ini di Buenos Aires, Jin Wei menewaskan pilihan utama dari Thailand, Phittayaporn Chaiwan, dalam pertarungan tiga set di peringkat separuh akhir. Jin Wei bangkit daripada kekalahan set pertama dalam perlawanan tersebut. Dan Jin Wei melakukannya sekali lagi di pentas final. Tewas set pertama, Jin Wei bangkit dalam dua set berikutnya untuk menewaskan pemain China, Wang Zhiyi. 

Satu pencapaian membanggakan untuk Jin Wei kerana menjadi pemain badminton pertama memenangi gelaran juara remaja dunia dan pingat emas Sukan Olimpik Remaja. Bumi Amerika Selatan sekali lagi menjadi medan buruan yang sempurna buat pewaris takhta ratu badminton negara ini. Tahniah Goh Jin Wei!

------

PASUKAN HOKI 5 SEBELAH



Anak didik Wallace Tan membuat kejtuan dalam penampilan pertama skuad hoki di pentas Sukan Olimpik Remaja. Dengan format lima sebelah dan 10 minit permainan untuk separuh masa, pasukan hoki negara menewaskan Zambia 7-4 dalam perlawanan separuh akhir dan kemudian bangkit daripada ketinggalan 1-2 di separuh masa untuk meledak tiga gol dalam separuh masa kedua dan sekali gus membenam India 4-2 untuk mencipta sejarah.

Ketika abang-abang mereka juga beraksi cemerlang dengan memenangi pingat perak Sukan Asia di Indonesia tahun ini, pasukan bawah 18 tahun ini melangkah ke tahap lebih tinggi untuk bergelar juara Olimpik remaja. Pemain negara, Akhimullah Anuar juga menjadi penjaring terbanyak pertandingan dengan meledak 21 gol. 

Jika Akhimullah yang berusia 18 tahun dan rakan-rakannya dapat terus mengasah kemahiran mereka, tidak mustahil mereka ini akan mengetuai cabaran Malaysia di pentas Olimpik musim panas di Tokyo 2020. 

------------

Kejayaan ini tidak datang dengan mudah. Kita berjaya kerana kita pernah berani bermimpi dan berusaha untuk mencapai impian tersebut. Tahniah Goh Jin Wei dan pasukan hoki lima sebelah lelaki. Anda semua wira dan wirawati kami. 



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif