Welcome To My Life...

Thursday, November 8, 2018

Semoga Berjaya Harimau Malaya

Assalamualaikum.

Skuad 23 pemain yang akan mewakili pasukan bola sepak Malaysia ke pertandingan berprestij rantau Asia Tenggara, Piala AFF Suzuki 2018 sudah diumumkan kurang seminggu sebelum Malaysia beraksi dalam perlawanan pertama.

Kejutan terbesar adalah ketiadaan pemain tengah berbakat dari Pahang yang berusia 23 tahun, Nor Azam Azih, yang baru kembali daripada kecederaan. Azam sempat dipanggil dalam perlawanan persahabatan terakhir menentang Maldives tetapi tidak cukup untuk meyakinkan Tan Cheng Hoe untuk menyenaraikannya. Mungkin Tan Cheng Hoe tidak mahu mengambil risiko dengan kemungkinan kecederaan Azam akan kembali.

Purata umur pemain dalam skuad Malaysia adalah 25.2 tahun. Pemain termuda yang dipilih ialah pemain sayap lincah, Akhyar Rashid (19 tahun) manakala penjaga gol, Farizal Marlias yang berusia 32 tahun merupakan pemain tertua dalam skuad. Satu situasi yang baik di mana hanya 4 orang pemain saja yang berusia lebih daripada 30 tahun. Hanya Akhyar dan Syahmi Safari (20 tahun) yang berusia kurang daripada 21 tahun. Lapan orang pemain masih di bawah had umur 23 tahun dan 6 orang pemain masih boleh beraksi dalam Sukan SEA 2019.

15 orang muka baru akan membuat penampilan kali ini. Hanya 8 orang pemain dalam skuad ini beraksi dalam edisi 2016 iaitu 2 penjaga gol (Khairul Fahmi; Hafizul Hakim), 2 pertahanan (Shahrul Saad; Nazirul Naim), seorang pemain tengah (Syazwan Zainon) dan 3 penyerang (Zaquan Adha; Norshahrul Idlan; Hazwan Bakri). Hanya dua orang pemain (Khairul Fahmi dan Norshahrul Idlan) kekal daripada skuad Malaysia yang muncul juara Piala AFF buat kali pertama pada tahun 2010. Malah Khairul Fahmi dan Norshahrul Idlan akan beraksi dalam Piala AFF dalam edisi kelima berturut-turut. 

23 pemain mengikut posisi

Mengenali Tan Cheng Hoe, gambar di atas meletakkan kesemua 23 pemain mengikut posisi kegemaran mereka. Pembahagian pemain ini telah mengambil kira kecenderungan Tan Cheng Hoe menggunakan para pemainnya. Selain posisi penjaga gol yang membariskan tiga orang penjaga gol yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa, barisan pertahanan juga seimbang dengan sekurang-kurangnya dua orang pemain boleh mengisi setiap posisi di benteng.

Berdasarkan rekod, hanya tiga pemain yang selesa beraksi sebagai pemain tengah bertahan dan kemungkinan mereka akan merebut dua tempat dalam kesebelasan utama. Pilihan di jentera serangan juga tidak kurang hebatnya dengan sekurang-kurangnya dua pilihan di setiap posisi.

Jika Tan Cheng Hoe memilih untuk tidak menggunakan kapten, Zaquan Adha, maka dia masih memiliki Shahrel Fikri (Nakhon Ratchasima) atau Syafiq Ahmad (Johor Darul Takzim).

Jangkaan kesebelasan utama

Tan Cheng Hoe gemar menggunakan formasi 4-2-3-1. Ini adalah jangkaan barisan pemain yang akan memulakan aksi pertama berdasarkan eksperimen Tan Cheng Hoe dalam siri perlawanan persahabatan yang diadakan. Khairul Fahmi adalah pilihan yang mudah untuk menjaga gawang dengan aksi cemerlang yang persis ketika dia meniti zaman kegemilangannya dulu.

Nazirul Naim boleh menggantikan tempat Syazwan Andik dan begitu juga Syahmi Safari boleh menggantikan Amirul Azhan di posisi bek kanan. Gandingan Shahrul Saad dan Aidil Zafuan dengan pengalaman mereka di posisi bek tengah.

Tan Cheng Hoe gemar menggunakan dua pemain tengah bertahan sebagai pivot. Tetapi dia hanya membawa tiga orang pemain di posisi itu. Kenny Palraj masih dibelenggu sedikit kecederaan bermakna Akram dan Syamer Kutty saja yang tinggal untuk memulakan perlawanan memandangkan Cheng Hoe menggugurkan Azzizan Nordin daripada senarai akhir.

Cheng Hoe memiliki banyak pilihan di bahagian serangan. Malah tidak menghairankan jika Akhyar Rashid dan Safawi Rasid tidak berada dalam kesebelasan utama menentang Kemboja pada 8 November. Norshahrul Idlan a.k.a Mat Yo dan Mohamadou Sumareh dijangka berada dalam first eleven. Oleh itu, posisi sayap kiri boleh diisi oleh beberapa orang pemain sama ada Syazwan Zainon, Akhyar atau Safawi sendiri. Zaquan Adha dijangka beraksi sebagai penyerang tunggal dengan peranan kapten pasukan. 

Kesebelasan alternatif

Formasi 3-4-3 lebih dikenali sebagai formasi kegemaran bagi Datuk Ong Kim Swee selaku pengurus pasukan bawah 23 tahun negara. Formasi ini boleh menjadi alternatif yang berkesan untuk skuad Cheng Hoe kerana para pemain yang sesuai dengan corak formasi ini. Khairul Fahmi akan kekal menjaga gawang.

Shahrul, Aidil dan Adam membentuk bek bertiga. Syazwan Andik dan Syahmi Safari pula sebagai bek sayap untuk membantu serangan dan pertahanan. Syazwan sangat pakar dalam posisi ini kerana menjadi tonggak untuk skuad Kim Swee. Syamer akan menjadi tapak bagi midfield diamond. Norshahrul pula berada di belakang trio serangan.

Safawi, Shahrel Fikri dan Sumareh akan membentuk jentera serangan tiga serangkai yang sangat laju, dengan skil teknikal yang tinggi dan pasti mengkucar-kacirkan benteng lawan. 

Kesebelasan terbaik

Selepas mengambil kira semua pemain yang ada dalam senarai akhir yang dibawa untuk pertandingan, penulis berpendapat 4-1-4-1 adalah formasi paling unggul yang akan mengeluarkan yang terbaik daripada semua pemain.

Enam pemain di barisan belakang mengambil tempat mereka sendiri. Lima pemain menyerang pula adalah yang terbaik di Malaysia pada ketika ini, malah mereka dalam prestasi terbaik. Tiga serangkai, Akhyar, Mat Yo dan Sumareh akan memberikan sokongan kepada penyerang tunggal, Shahrel Fikri. Safawi Rasid pula memainkan free role di 'hole' di belakang penyerang. Safawi di posisi ini pasti menjadi pemusnah dengan kepantasan Akhyar dan Sumareh di kiri dan kanan akan 'menarik' pertahanan.

Inilah formasi terbaik walaupun pastinya tidak akan digunakan oleh Tan Cheng Hoe.

----------

Jadual perlawanan peringkat kumpulan untuk Malaysia:

vs Kemboja (8 November) di tempat lawan
vs Laos (12 November) di BUKIT JALIL
vs Vietnam (16 November) di tempat lawan
vs Myanmar (24 November) di BUKIT JALIL

Format baru Piala AFF Suzuki menyaksikan tiada lagi tuan rumah tunggal sebaliknya pusingan kumpulan akan berlangsung dengan dua perlawanan di tempat sendiri dan dua lagi perlawanan di tempat lawan.

Ayuh penuhkan stadium dan berikan sokongan padu buat Harimau Malaya! Kita boleh!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif