Welcome To My Life...

Sunday, November 11, 2018

Piala AFF #2: Menjelang Laos

Assalamualaikum.

Tiga mata pertama sudah diraih. Masa untuk memandang ke depan untuk perlawanan seterusnya menentang Laos. Tewas 3-0 kepada Vietnam dalam perlawanan pertama, status Laos hanyalah lawan yang sederhana untuk Malaysia. Fokus Tan Cheng Hoe bukan saja ke arah Laos, tetapi dua perlawanan berikutnya menentang Vietnam dan Myanmar yang lebih penting kerana dua pasukan itu lebih kuat berbanding Laos. Malah kekuatan Vietnam semakin meningkat.

Namun, Tan Cheng Hoe juga sedar dia perlu menghadapi perlawanan satu demi satu. Tiga mata adalah sasaran penting menentang Laos tetapi Tan Cheng Hoe tidak boleh tersilap langkah. Walaupun menyedari peluang menang menentang Laos agak tinggi, Tan Cheng Hoe tidak mahu memandang rendah keupayaan Laos sehingga boleh menjerat Malaysia.

Sebarang keputusan selain tiga mata adalah satu tragedi yang tidak diingini dan penulis melihat Malaysia mempunyai pasukan yang cukup kuat untuk mencatat kemenangan kedua. Persoalannya, siapakah para pemain yang akan mendapat kepercayaan untuk menyempurnakan misi ini? Situasi ketika ini bagi Tan Cheng Hoe adalah mesti menang dan pada masa sama, Cheng Hoe mempunyai ruang untuk merehatkan pemain sebelum berdepan Vietnam di tempat lawan.

Pasukan ideal menentang Laos

Secara ideal, Tan Cheng Hoe akan merehatkan pasukan utama dan menurunkan para pemain simpanan untuk menguji kekuatan skuad memandangkan Laos boleh dikatakan pasukan yang paling lemah dalam baki tiga perlawanan yang akan dilalui. Sudah pasti perlawanan menentang Vietnam dan kemudian Myanmar dalam perlawanan terakhir bukanlah masa untuk menguji para pemain simpanan.

Hafizul Hakim boleh menggantikan Khairul Fahmi untuk menjaga gawang tanpa memberikan risiko besar. Kecuali Irfan Zakaria yang masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan pertama, Adam Nor Azlin boleh masuk di posisi bek tengah, Nazirul Naim (bek kiri) dan Amirul Azhan (bek kanan). Kestabilan dan keampuhan benteng pertahanan tidak akan terjejas.

Memandangkan tiada pemain lain di posisi pemain tengah bertahan dan Kenny Palraj masih mengalami sedikit kecederaan, tidak menghairankan jika Akram dan Syamer kekal sebagai double pivot. Hazwan Bakri boleh menggantikan Mat Yo sebagai perancang. Syazwan Zainon memulakan perlawanan di sayap kiri dan Akhyar Rashid sebagai pemain gantian. Safawi yang memulakan permainan menentang Kemboja pula menggantikan Sumareh di posisi sayap kanan dan Syafiq Ahmad menjadi penyerang.

Mengikut perancangan ideal ini, hampir semua 23 pemain akan mendapat minit permainan (kecuali Kenny Palraj dan Farizal Marlias) selepas dua perlawanan dan Tan Cheng Hoe dapat menguji para pemain simpanannya sambil mengutip tiga mata penuh untuk menghadapi dua perlawanan terakhir dalam keadaan lebih selesa.

-------


Namun itu hanyalah andaian bagi situasi paling ideal. Hakikatnya, tidak mungkin Tan Cheng Hoe akan membuat pertukaran penuh dengan memberikan masa permainan kepada baki 9 orang pemain yang masih belum beraksi. Malah hampir mustahil untuk Tan Cheng Hoe menyimpan kapten pasukan dan menggantikannya dengan penyerang lain. Nazirul Naim dan Amirul Azhan paling berpeluang cerah untuk memulakan permainan jika Tan Cheng Hoe mengamalkan polisi penggiliran pemain.

Tan Cheng Hoe tidak ketandusan pilihan dengan mempunyai 9 orang pemain di bahagian serangan. Ada tiga situasi bagi pemain muda sensasi, Akhyar Rashid. Akhyar mungkin akan diberikan minit permainan jika Syazwan Zainon bermula dalam kesebelasan utama. Senario kedua Akhyar mungkin memulakan perlawanan menentang Laos. Atau senario ketiga: Akhyar masuk sebagai pemain gantian sama ada menggantikan Safawi atau Sumareh. Penulis melihat perlawanan ini sesuai untuk Tan Cheng Hoe memanaskan enjin Akhyar.

Hazwan Bakri juga mungkin boleh diberikan peluang untuk membarisi kesebelasan utama. Norshahrul boleh dimasukkan jika percaturan menggunakan Hazwan tidak menjadi. Penulis juga mengharapkan Syafiq Ahmad akan diberikan peluang menentang Laos supaya dia cukup bersedia jika khidmatnya diperlukan ketika menentang Vietnam atau Myanmar. Zaquan mungkin boleh direhatkan dengan tempatnya dalam kesebelasan utama digantikan oleh Syafiq atau Shahrel Fikri.

----------

Perlawanan menentang Laos ini adalah peluang terbaik untuk Tan Cheng Hoe melihat kemampuan skuad yang dibawa kali ini. Misi seterusnya adalah layak ke separuh akhir dan kemudian menjulang Piala AFF buat kali kedua dalam sejarah.

Kita baham Laos esok!


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif