Welcome To My Life...

Sunday, November 11, 2018

Piala AFF #1: Langkah Kanan

Assalamualaikum.

Penting untuk memulakan perlawanan dengan langkah kanan, walaupun perkara itu tidak membantu skuad bawah 16 tahun negara di Kejohanan AFC B-16 sebelum ini. Mereka tersingkir di peringkat kumpulan walaupun membenam Tajikistan 6-2 dalam perlawanan pembukaan.

Seperti dijangka, Tan Cheng Hoe memilih formasi 4-2-3-1 dengan menggunakan dua pemain tengah bertahan walaupun hanya membawa tiga orang pemain di posisi itu dalam skuad 23 pemain. Tan Cheng Hoe menurunkan tiga orang pemain terbaik iaitu Sumareh, Norshahrul Idlan dan Safawi Rasid di belakang penyerang tunggal yang juga kapten pasukan. Pemain muda berbakat, Akhyar Rashid sekadar di bangku simpanan. 


Boleh dikatakan, skuad yang diturunkan hampir 100% yang terbaik dimiliki Malaysia dengan senarai 23 pemain yang dibawa. Jika tempat Zaquan Adha digantikan dengan Shahrel Fikri mungkin lebih baik. Kekurangan pemain tengah membuatkan gandingan Akram dan Syamer sebagai double pivot menjadi satu keputusan yang tepat.

Malaysia menguasai permainan dengan sesekali mengatur serangan berbahaya. Kemboja lebih mengharapkan serangan balas yang tidak berjaya mencemaskan Khairul Fahmi yang utuh di gawang. Gol tunggal perlawanan dalam babak pertama dijaringkan oleh Norshahrul Idlan yang menanduk hantaran silang kapten, Zaquan Adha berpunca daripada satu persefahaman yang baik di sebelah kanan kotak penalti.

Tiada lagi tambahan jaringan disaksikan. Safawi yang berusia 21 tahun hampir menjaringkan gol untuk dirinya dalam babak pertama tetapi sepakannya yang melencong hanya singgah di tiang gol. Pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh, pula terlepas dua peluang keemasan dalam separuh masa kedua. Satu rembatan kencangnya terkena tiang tetapi melantun keluar walaupun penjaga gol sudah tertewas.

Malaysia gagal menjaringkan gol kedua tetapi berjaya mempertahankan kelebihan satu gol sehingga wisel penamat untuk memungut tiga mata penuh yang sangat penting. Tiga lagi perlawanan seterusnya akan menguji kemampuan sebenar Malaysia. Perlawanan berikutnya menentang Laos yang dibelasah Vietnam 3-0 dalam perlawanan pertama.

Dan kemudian, dua perlawanan penentuan menentang Vietnam dan Myanmar. Hanya dua pasukan yang akan layak ke peringkat separuh akhir. Selepas gagal pada edisi 2016, Malaysia tidak mahu kecundang lagi kali ini!

Selamat datang Laos ke Stadium Nasional Bukit Jalil!

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif