Welcome To My Life...

Tuesday, November 13, 2018

Piala AFF #3: Tiga Mata Berharga

Assalamualaikum.

Alhamdulillah tsumma alhamdulillah. Tiga lagi mata berharga berjaya dikutip pasukan bola sepak lelaki negara. Dan lebih manis lagi, kemenangan kedua ini dicatat di depan ribuan penyokong sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walaupun mendapat peluang keemasan untuk menguji kemampuan pemain simpanan, Tan Cheng Hoe memilih untuk mengekalkan majoriti pemain yang menewaskan Kemboja 1-0 dalam perlawanan sulung. Hal ini tak lain dan tak bukan sudah tentulah untuk mengekalkan kestabilan dan membina lagi persefahaman antara pemain sebagai pemanas badan sebelum menentang musuh utama, Vietnam, dalam perlawanan selepas ini.

Hanya 2 orang pemain digantikan. Tempat Syamer Kutty dan Mohamadou Sumareh digantikan oleh Syafiq Ahmad dan Syazwan Zainon.


Walaupun grafik daripada FAM menunjukkan formasi 4-3-3, penulis melihat formasi yang digunakan adalah 4-1-4-1 atau juga boleh dikatakan 4-1-2-3. Akram Mahinan menjadi pivot atau holding midfielder. Falsafah attacking lineup boleh dilihat dengan meletakkan Norshahrul Idlan dan Syafiq Ahmad di belakang penyerang tunggal, Zaquan Adha. Mereka ini bukanlah CM (central midfielder) tetapi CAM (central attacking midfielder). Safawi dan Syazwan Zainon pula menjadi sayap.

Tan Cheng Hoe mengekalkan lima pemain yang sama di kubu pertahanan. Mereka beraksi baik ketika menentang Kemboja dan Cheng Hoe tidak mahu merosakkan persefahaman itu menjelang pertemuan penting.

---------

Tidak salah untuk mengatakan, Malaysia menguasai sepenuhnya permainan. 80% penguasaan bola, lebih 500 hantaran bola dan 15 sepakan penjuru. Laos hanya bertahan dan penjaga gol Laos kerap melengahkan masa sehingga pengadil hilang sabar dan melayangkan kad kuning.

Benar, Laos menjaringkan gol pendahuluan. Namun gol itu dijaringkan terus melalui sepakan percuma Phithack yang cantik. Malaysia yang lebih banyak mengatur serangan berbahaya terutamanya dalam separuh masa kedua. Gol penyamaan Malaysia dijaringkan oleh Zaquan Adha dalam babak pertama hasil hantaran lintang Syahmi Safari dari sayap kanan.

Deretan peluang keemasan dilepaskan para pemain Malaysia dalam babak kedua. Antara peluang terbaik Malaysia adalah apabila hantaran lambung Akram Mahinan tepat menemui larian Hazwan Bakri yang menolak bola melepasi penjaga gol tetapi juga melepasi tiang gol. Dua tandukan pemain pertahanan berpunca situasi sepakan penjuru juga gagal menghadiahkan gol. Tandukan Aidil Zafuan terkena palang gol dan tandukan Shahrul Saad pula tidak menepati sasaran walaupun berjaya memintas di hadapan penjaga gol.

Ribuan penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil seperti terpaksa pulang dengan hampa tetapi gol penting yang dicari-cari akhirnya dijaringkan pada minit ke-86. Bola gagal dikeluarkan berpunca daripada sepakan sudut dan Norshahrul Idlan tenang menolak bola melepasi penjaga gol dari jarak enam ela untuk membuatkan stadium gegak gempita.

Gol kedua Norshahrul dalam pertandingan edisi ini membuatkan taktik Laos membuang masa permainan menjadi sia-sia kerana mereka berhasrat merompak satu mata. Norshahrul menjaringkan satu lagi gol apabila bijak menanduk hantaran lambung Akhyar Rashid.

---------

Mengenai pemilihan pemain, keputusan Cheng Hoe untuk memberikan tempat dalam kesebelasan utama kepada Syazwan Zainon ternyata tidak membuahkan hasil. Syazwan gagal mencipta idea-idea kreatif yang diperlukan oleh seorang pemain sayap. Syazwan yang sekarang bukanlah Syazwan Zainon yang dulu yang lebih lincah dan menggerunkan pertahanan. Cheng Hoe sedar hakikat itu dan menukar Syazwan dengan Akhyar selepas tamat separuh masa pertama.

Seorang lagi pemain yang dilihat gagal mencapai standard yang diharapkan ialah Akram Mahinan. Walaupun mendapat kepercayaan penuh Cheng Hoe (mungkin kerana Akram pernah bersama Cheng Hoe dalam pasukan Kedah), peminat tidak gemar dengan sikap Akram yang 'terlalu tenang' sepanjang permainan. Sekadar membuat hantaran ke tepi dan belakang, peminat mahukan Akram membuat hantaran-hantaran yang 'membelah' pertahanan, sesuatu yang tidak dilihat pada Akram. Aneh sekali Cheng Hoe hanya membawa tiga orang pemain tengah (posisi natural).

Seorang lagi pemain yang berbeza daripada kesebelasan utama menentang Kemboja, Syafiq Ahmad, pula menjadi subjek eksperimen Cheng Hoe. Syafiq Ahmad dengan jersi nombor 18 dan posisi natural sebagai penyerang telah dipilih memainkan peranan 'nombor 8' iaitu perancang (playmaker) pasukan seperti yang dilakukan Andres Iniesta dan Steven Gerrard. Syafiq melakukan tugas dengan baik, sentiasa melakukan larian sebelum digantikan dalam babak kedua.

Dapat dilihat juga taktik Cheng Hoe menggunakan dua orang pemain, Shahrel Fikri dan Hazwan Bakri sebagai senjata ketika pemain lawan sudah keletihan. Kedua-dua pemain ini masuk sebagai pemain gantian dalam kedua-dua perlawanan Malaysia. Tenaga dan kepantasan Shahrel dan Hazwan digunakan Cheng Hoe sebagai satu ramuan untuk mengubah perlawanan (game-changer). Walaupun para peminat mendesak Cheng Hoe meletakkan Shahrel sebagai penyerang utama, Cheng Hoe tetap dengan strateginya sendiri.

---------

Apa yang penting, Malaysia menang selesa dan mengutip enam mata maksimum. Walaupun Myanmar membelasah Kemboja 4-1 dalam satu lagi perlawanan yang juga perlawanan pertama mereka, itu tak perlu dirisaukan oleh skuad Tan Cheng Hoe. Menang besar atau menang tipis 1-0, hanya tiga mata yang boleh diraih.

Cheng Hoe perlu fokus untuk mengatasi Vietnam dan Myanmar dalam dua perlawanan seterusnya untuk melangkah ke separuh akhir. Itu lebih penting.

Malaysia mempunyai pasukan yang cukup baik untuk melangkah lebih jauh. Sama ada Cheng Hoe dapat memilih kombinasi yang betul, itu yang menjadi persoalan.

Malaysia memang boleh!


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif