Welcome To My Life...

Friday, November 16, 2018

Piala AFF #4: Menjelang Vietnam

Assalamualaikum.

Selepas dua perlawanan, enam mata penuh berjaya dikutip. Satu pencapian yang baik tetapi itu tidak akan bermakna jika gagal mencatat keputusan baik dalam dua perlawanan berikutnya yang lebih penting. 

Tan Cheng Hoe telah menjelaskan selepas kemenangan 3-1 mengatasi Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil bahawa ketiadaan Sumareh dalam kesebelasan utama adalah kerana dia mengalami sedikit kecederaan dan bukanlah kerana faktor taktikal. Kecergasan Sumareh pastinya ditagih menjelang pertemuan sensasi full house di Hanoi. Tiket laku keras seperti pisang goreng panas!


JIKA Sumareh berjaya pulih dan kembali cergas, penulis menjangkakan barisan di atas yang memulakan perlawanan menentang Kemboja dalam perlawanan pertama akan dikekalkan oleh Tan Cheng Hoe. Double pivot akan dikekalkan untuk mengawal (contain) barisan tengah Vietnam yang pastinya superior di atas kertas. Akram yang merupakan favourite Cheng Hoe bersama Syamer memandangkan hanya seorang lagi saja pemain tengah yang dibawa oleh Cheng Hoe (Kenny Palraj).

Penulis cukup yakin dengan gandingan tiga serangkai di belakang penyerang utama akan memberikan masalah kepada pertahanan Vietnam. Safawi yang merupakan tonggak utama. Sumareh yang pantas. Dan Norshahrul di puncak prestasinya sekali lagi. Penulis lebih suka jika Shahrel Fikri berada di tempat Zaquan tetapi Cheng Hoe pasti tidak akan menyingkirkan kapten pasukan.

Cheng Hoe kekal dengan prinsip menurunkan pemain berpengalaman dahulu (baca: Zaquan) dan kemudian memasukkan tenaga muda di separuh masa kedua. Seperti yang ditekankan dalam artikel yang lepas, Hazwan Bakri dan Shahrel Fikri telah digunakan sebagai pemain gantian dalam kedua-dua perlawanan Malaysia dalam edisi kali ini. Penulis menjangkakan trend itu akan kekal. 

---------

Skripnya mudah. Jika menang di gelanggang keramat lawan, Malaysia layak ke separuh akhir. Jika seri, peluang masih terbuka luas. Jika tewas, peluang masih ada. Tetapi kita tidak mahu menceritakan tentang kebarangkalian menentang Myanmar dalam perlawanan terakhir.

Kita mahu melangkah ke perlawanan terakhir kumpulan dengan sudah layak ke separuh akhir. Ini akan memberikan ruang kepada Cheng Hoe untuk menurunkan beberapa orang pemain gantian sebagai 'pemanas badan'. Pemain-pemain seperti Adam Nor Azlin, Amirul Azhan, Nazirul Naim, Kenny Palraj, Farizal Marlias dan Hafizul Hakim masih belum diturunkan.

Di mana sekalipun beraksi, Harimau Malaya tak akan gentar! Malaysia memang boleh!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif