Welcome To My Life...

Tuesday, November 20, 2018

Piala AFF #5: Kecundang di Hanoi

Assalamualaikum.

Perlawanan ketiga, kekalahan pertama. Walaupun menampilkan aksi bola sepak yang boleh dipuji, beberapa kelemahan Harimau Malaya yang begitu ketara didedahkan oleh permainan Vietnam yang penuh taktikal. 

Tan Cheng Hoe membuat empat pertukaran daripada pasukan yang menewaskan Laos 3-1 dengan Syamer Kutty dan Mohamadou Sumareh kembali semula ke dalam pasukan untuk mengambil tempat Syafiq Ahmad dan Syazwan Zainon. 

Agak mengejutkan untuk melihat nama Safawi Rasid tiada dalam kesebelasan utama tetapi tempatnya digantikan oleh pemain muda berbakat, Akhyar Rashid. Satu lagi kejutan adalah penampilan Shahrel Fikri buat kali pertama dalam first eleven. Walaupun para peminat sememangnya mendesak Cheng Hoe untuk meletakkan Shahrel Fikri sebagai penyerang utama, keputusan Cheng Hoe menyingkirkan kapten pasukan, Zaquan Adha, tidak dijangka. 


Boleh dikatakan ini adalah kesebelasan terbaik Malaysia daripada skuad 23 pemain yang dibawa (Safawi sebagai alternatif kepada Akhyar). Dan kenyataan itu tidak salah dengan statistik akhir perlawanan. Malaysia menguasai 69% ball possession dengan melakukan 622 hantaran iaitu lebih satu kali ganda berbanding hantaran bola Vietnam (292).

FT Vietnam 2-0 Malaysia

Jadi di mana silapnya sehingga Malaysia kecundang di bumi Hanoi?

Seperti yang disebut di atas, Malaysia menguasai bola dengan falsafah hantaran pendek Cheng Hoe ala 'tiki-taka' Sepanyol. Malangnya, ketiadaan perancang (playmaker) yang berwibawa sangat terasa apabila hantaran kreatif 'membelah' pertahanan tidak dapat dilakukan seperti peranan Andres Iniesta dalam falsafah bola sepak Sepanyol dan David Silva dalam falsafah bola sepak Manchester City (di bawah Pep Guardiola). 

Malaysia hanya membuat hantaran demi hantaran dan Vietnam pula selesa membiarkan para pemain Malaysia leka. Mereka menanti detik yang sempurna untuk melakukan serangan kilat dan menghukum kelemahan pertahanan Malaysia. Kepantasan pemain Vietnam adalah kelebihan mereka untuk mengambil kesempatan atas titik kelemahan Malaysia.

---------

Melihat kepada kedua-dua gol yang membolosi gawang, tidak salah untuk mengatakan bahawa kedua-dua gol itu tidak sepatutnya dilepaskan. Tuah sedikit memihak Vietnam untuk gol pertama. Satu serangan di sayap kiri mereka berjaya menghasilkan hantaran lintang. Sepakan pemain Vietnam tidak tepat tetapi bola melantun indah ke laluan pemain yang digelar 'Messi Vietnam', Nguyen Cong Phuong yang berada di posisi sempurna untuk menewaskan Khairul Fahmi.

Gol kedua tuan rumah pula terhasil ketika Malaysia begitu asyik mengatur serangan ke kubu Vietnam untuk mencari gol penyamaan yang akan menyalakan api kebangkitan. Malangnya, kelekaan pertahanan Malaysia dihukum para pemain Vietnam. Satu hantaran leret menewaskan perangkap ofsaid dan Nguyen Anh Duc tenang merembat melepasi Khairul Fahmi.

Di sini Khairul Fahmi melakukan kesilapan kerana teragak-agak untuk keluar berdepan situasi satu lawan satu dengan Anh Duc. Khairul Fahmi hanya 'keluar separuh' untuk membenarkan Anh Duc melepaskan rembatan kencang yang tidak mampu ditahan. Kesilapan individu yang merugikan.

Kebijaksanaan taktikal jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang-seo sangat membantu Vietnam. Menyedari para pemain Malaysia mampu bermain hantaran pendek di bawah falsafah Cheng Hoe, Hang-seo memilih untuk menggunakan strategi bertahan dan membalas dengan serangan kilat maut. Taktik itu sangat berkesan dan Malaysia terperangkap.

Hang-seo juga sangat berani menyimpan kapten Vietnam, Nguyen Van Quyet di bangku simpanan. "Saya menggunakan pemain mengikut keperluan perlawanan" begitu komen Hang-seo mengenai keputusannya. Dia memilih pemain yang mampu mengekang Malaysia. Mereka selesa membiarkan para pemain Malaysia bertukar-tukar hantaran kerana sedar Malaysia tidak mempunyai perancang (playmaker) yang mampu meruntuhkan tembok Vietnam.

Cheng Hoe tewas dalam pertempuran taktikal dengan Hang-seo.

---------

Situasi ketika ini sama seperti edisi 2016. Malaysia tewas 1-0 kepada Vietnam dan berhadapan misi hidup atau mati menentang Myanmar dalam perlawanan seterusnya (perlawanan terakhir kumpulan). Malaysia tewas 1-0 kepada Myanmar dengan jaringan minit ke-89 daripada David Htan.

Bezanya, ketika itu Malaysia beraksi di depan penyokong tuan rumah di Yangon. Dan kali ini, Malaysia akan menentang Myanmar dengan mendapat sorakan padu penyokong sendiri di gelanggang keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil. Sokongan ribuan peminat pastinya akan membangkitkan semangat yang teramat dahsyat untuk Malaysia menewaskan Myanmar dan seterusnya mara ke pusingan separuh akhir bersama Vietnam.

Ini misi menang atau tersingkir. Ini misi balas dendam untuk edisi 2016! Bukan mudah tapi tidak mustahil!

Ayuh ayuh, ayuh Malaysia! Tanah kita, kita mesti menang!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif