Welcome To My Life...

Saturday, December 1, 2018

Piala AFF #6: Done When It Matters Most

Assalamualaikum.

Dua tahun lalu di Myanmar, dalam situasi yang sama, Malaysia kecundang dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala AFF Suzuki.

Berdepan situasi sama dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, faktor Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang sendiri dan 'pemain ke-12' dengan puluhan ribu 'ekor' Harimau Malaya menjadi kelebihan buat Malaysia.

Jurulatih Myanmar, Antoine Hey telah membakar semangat para pemain negara kerana mengatakan Myanmar tidak gentar berdepan Malaysia. 


Selepas tewas 2-0 kepada Vietnam walaupun menguasai permainan, Tan Cheng Hoe menggantikan tiga orang pemain. Farizal Marlias mengambil tempat Khairul Fahmi di gawang. Mohamadou Sumareh kembali di bahagian sayap menggantikan Akhyar Rashid dan kapten, Zaquan Adha pula kembali sebagai penyerang tunggal setelah posisi itu diisi Shahrel Fikri dalam perlawanan sebelum ini.

Sesuatu yang menarik perhatian juga melihat Cheng Hoe mengekalkan pertahanan berempat yang sama untuk perlawanan keempat berturut-turut (atau mudahnya, semua perlawanan). Walaupun Syahmi Safari dan Syazwan Andik dikritik sesetengah peminat, Cheng Hoe tetap teguh memilih konsistensi dan percaya dengan kemampuan pemainnya.

---------

Dengan sokongan penyokong yang full-house, Malaysia mendominasi permainan secara total dengan 55% penguasaan bola, 15 percubaan ke arah gawang dengan 6 daripadanya tepat. Falsafah hantaran pendek ala tiki-taka Sepanyol menjadi pegangan Cheng Hoe. If you control the ball, the opponent cannot attack you. Kenyataan ini mungkin dibuktikan salah berdepan Vietnam yang memanfaatkan peluang yang sedikit ketika Malaysia turut menguasai statistik.

Namun, sifat dominan itu berkesan menentang Myanmar yang nyata gugup beraksi di hadapan lebih 80,000 penonton. Selepas asakan demi asakan, gol semangat yang dicari-cari akhirnya berjaya diledakkan. Sumareh menolak bola kepada Syamer Kutty yang pantas 'melepaskan' larian overlap Syahmi di sayap kanan yang tidak dikawal. Syahmi melihat pilihan yang ada sebelum menolak bola kepada Sumareh yang mengawal sebelum melakukan overhead kick.

Sepakan itu terkena palang tetapi Norshahrul Idlan berada di tempat yang sempurna untuk menampan masuk bola. Gol kedua Malaysia hanya tiba lewat di hujung separuh masa pertama. Serangan kilat yang dilakukan Safawi di sayap kanan berjaya menembusi benteng pertahanan lawan dan dia terlalu laju untuk dikekang pertahanan yang terpaksa menjatuhkannya di dalam kotak penalti. Sepakan sempurna Zaquan Adha sempat mencium tiang gol sebelum melantun ke dalam.

Tidak banyak aksi di babak kedua walaupun Malaysia terus mengatur serangan demi serangan. Cheng Hoe menggunakan Kenny Palraj buat kali pertama dalam edisi ini sebagai pemain gantian. Kemasukan Akhyar menambah bisa di bahagian serangan Malaysia dan mencetuskan gol ketiga. Pertahanan Myanmar cuba mengeluarkan bola tetapi terkena kepala Zaquan dan melantun melepasi penjaga gol. Satu gol yang lucu dan nyata 'bertuah'.

-----------

Misi wajib menang telah berjaya disempurnakan. Sasaran ke separuh akhir juga berjaya ditunaikan. Dua perlawanan timbal balas menentang Thailand akan menentukan sama ada Malaysia akan berjaya melangkah ke perlawanan akhir sekali lagi selepas edisi 2014 di mana Malaysia tewas agregat kepada Thailand.

Rekod di Bukit Jalil membuktikan Malaysia lebih bergaya. Adakah skripnya akan kekal sama?




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif