Welcome To My Life...

Sunday, December 2, 2018

Piala AFF #8: Thailand Tak Sekuat Yang Disangka

Assalamualaikum.

Walaupun mereka hanya mampu seri 0-0, penulis tetap bangga dengan aksi yang ditampilkan oleh barisan Harimau Malaya. Tiada gentar. Hormat kepada lawan tapi tidak tunduk akur. Disaksikan kehadiran yang menjadi rekod pertandingan dengan sorakan 87,545 penonton di stadium, Harimau Malaya mengaum garang dengan aksi lincah dan tangkas. 

Grafik yang lebih baik daripada FAM

Selepas menukar pemain dalam perlawanan peringkat kumpulan, Tan Cheng Hoe akhirnya menemui pasukan terbaik antara 23 orang pemain yang dibawanya (bukan yang tidak dibawa). Berbanding skuad yang memulakan perlawanan pertama kumpulan menentang Kemboja, hanya penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat digantikan oleh Farizal Marlias.

Malah kesebelasan ini juga 100% sama digunakan dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Myanmar. Sekali lagi ditekankan juga bek berempat (Syahmi, Aidil, Shahrul, Syazwan) memulakan perlawanan untuk kali kelima berturut-turut. Konsistensi yang sangat penting di kubu.

---------

FT Malaysia 0-0 Thailand

Statistik perlawanan secara jelas menunjukkan penguasaan penuh Malaysia dan betapa Thailand gagal dengan misi mereka mencari gol di tempat lawan. Malaysia mendominasi 64% penguasaan bola, sesuatu yang tidak dijangka kerana berhadapan dengan jaguh Asia Tenggara dan juga juara bertahan. Para pemain Malaysia melakukan 512 hantaran berbanding hanya 307 untuk pemain Thailand.

Para pemain Malaysia melakukan 23 percubaan ke arah gol (6 untuk Thailand) tetapi hanya dua tepat ke sasaran. Deretan peluang yang terhidang gagal dimanfaatka jentera serangan sekali gus menghampakan para peminat yang memenuhi stadium. Safawi Rasid paling mengecewakan kerana mendapat peluang melakukan rembatan beberapa kali tetapi sepakannya kerap melambung tinggi seperti bermain ragbi.

Pujian wajar diberikan kepada seluruh pasukan Malaysia. Tan Cheng Hoe yang tetap percaya dengan falsafahnya untuk menguasai permainan sebagai jalan mengekang Thailand. Jurulatih Thailand yang mahu mengganyang Malaysia terpaksa melupakan hasrat itu dan mengubah perancangannya kepada bertahan sementara Malaysia menyerang bertubi-tubi.

Thailand menggunakan pendekatan seperti Vietnam untuk mengharapkan serangan kilat. Namun kali ini, barisan pertahanan Malaysia lebih berdisiplin dan komited. Setinggi-tinggi tahniah untuk mereka. Shahrul Saad dan Aidil Zafuan begitu kental menangani Adisak Kraisorn yang telah meledak 8 gol di peringkat kumpulan.

Ramai peminat yang tertanya-tanya mengapa Akhyar Rashid tidak digunakan sebagai pemain gantian dan keliru sama ada Akhyar cedera. Selepas melihat kecenderungan Cheng Hoe dalam empat perlawanan yang lepas, satu-satunya sebab yang amat kukuh tentang Akhyar tidak dimasukkan bagi penulis hanyalah kerana kecederaan hamstring bek kiri Syazwan Andik. Cheng Hoe terpaksa menggunakan satu slot pemain gantian untuk memasukkan Nazirul Naim. Jika tidak, Akhyar pasti akan masuk untuk melakukan 'ribut' di kawasan Thailand ketika para pemain lawan kepenatan.

---------

Walaupun masih ada penyokong yang mengkritik pendekatan Cheng Hoe, penulis melihat pasukan Harimau Malaya telah meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Siapa sangka Malaysia dapat mengawal permainan ketika berdepan Vietnam dan Thailand? Suka untuk penulis tekankan lagi dan lagi: Malaysia MENDOMINASI PERMAINAN dalam kesemua lima perlawanan untuk edisi kali ini, termasuk separuh akhir pertama. Thailand buntu untuk berdepan falsafah Cheng Hoe.

Malaysia tidak membawa bekalan gol untuk bertandang ke Stadium Rajamangala di Bangkok. Ini bukanlah situasi terburuk tapi juga bukan senario yang selesa sebelum ke tempat lawan. Sesuatu yang positif adalah Malaysia tidak dibolosi sebarang gol di gelanggang sendiri bermakna Malaysia berkelebihan jika menjaringkan gol di stadium lawan.

Itu juga bermakna Malaysia mesti menjaringkan gol! Thailand pasti akan bangkit dan bermain bermati-matian di depan penyokong mereka. Penulis sangat positif jika Malaysia dapat menguasai permainan sekali lagi di Stadium Rajamangala di Bangkok, pastinya gol berharga yang dicari-cari akan terhasil. Bukan satu, tetapi dua. 



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif