Welcome To My Life...

Saturday, December 1, 2018

Piala AFF #7: Menjelang Thailand

Assalamualaikum.

Perlawanan menentang Thailand sentiasa menjadi perlawanan yang dinanti-nantikan oleh para peminat sukan tanah air. Di atas kertas, pasukan Thailand berada di ranking yang lebih tinggi berbanding Malaysia. Thailand juga dianggap badi kerana sering mengatasi Malaysia terutamanya dalam sukan sepak takraw dan bola sepak. Untuk rekod, pasukan bola sepak Thailand layak ke pusingan terakhir kelayakan Piala Dunia 2018 untuk zon Asia. 

Jika ada sesuatu yang sedikit melegakan Malaysia, ramalan di atas kertas tidak selalunya benar.


Sekali lagi melihat senarai 23 pemain yang dibawa oleh Tan Cheng Hoe dan kecenderungan Cheng Hoe dalam empat perlawanan peringkat kumpulan, tidak sukar sebenarnya untuk meramalkan kesebelasan utama dalam perlawanan pertama separuh akhir ini.


Penulis menjangkakan kesebelasan utama menentang Laos dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan akan menjadi pilihan Cheng Hoe. Jika ada perubahan pun, mungkin Farizal Marlias akan dikekalkan di posisi penjaga gol selepas aksi meyakinkan apabila dipilih menentang Myanmar dalam perlawanan terakhir.

Memandangkan Cheng Hoe hanya membawa tiga orang pemain tengah (Akram Mahinan, Syamer Kutty dan Kenny Palraj), tidak banyak pilihan yang ada. Prestasi Akram dan Syamer setakat ini juga tidaklah seburuk yang dikritik oleh sesetengah peminat yang terlalu mahukan sesuatu yang ideal. Selain itu, gandingan tiga serangkai Sumareh-Norshahrul-Safawi dijangka akan terus menjadi ramuan untuk menafikan keangkuhan Thailand.

Ramai yang mahukan Shahrel Fikri sebagai penyerang utama. Shahrel yang beraksi dalam liga utama Thailand pastinya tahu selok-belok permainan para pemain Thailand dan boleh menjadi senjata yang berbahaya. Cheng Hoe pernah menggunakan kelebihan Shahrel sebagai first eleven ketika menentang Vietnam. Namun, dua gol menentang Myanmar pastinya meletakkan nama kapten Zaquan sebagai pilihan utama Cheng Hoe.

-----------

Siapa pun pilihan Cheng Hoe untuk menggalas tugas mengharumkan nama Malaysia, mereka perlu berjuang sehingga keringat terakhir. Tiket telah habis dijual dengan sorakan full-house akan membakar perjuangan Harimau Malaya. 

Perlawanan ini penting. Malaysia mesti menghalang Thailand menjaringkan 'gol di tempat lawan' sebelum bertandang ke tempat lawan minggu depan. Malaysia memang boleh!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif