Welcome To My Life...

Tuesday, December 4, 2018

Piala AFF #9: Menjelang Thailand di Bangkok

Assalamualaikum.

Selepas tamat perlawanan pertama di tempat sendiri di hadapan lebih 80,000 penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, peluang Harimau Malaya kini masih terbuka luas untuk mara ke perlawanan akhir. Walaupun gagal menjaringkan gol di depan penyokong sendiri, tidak dibolosi bermakna kelebihan kepada Malaysia untuk memanfaatkan 'gol di tempat lawan'.

Sifirnya mudah. Jika seri 0-0 di Bangkok, perlawanan akan diheret ke masa tambahan. Jika seri 1-1 atau 2-2, Malaysia layak dengan peraturan gol di tempat lawan. Malaysia hanya perlu mengelakkan kekalahan dan jika kekal fokus, misi itu tidak mustahil.

Malaysia telah mendominasi permainan dalam kesemua lima perlawanan dalam edisi ini. Walaupun tewas 2-0 kepada Vietnam di Hanoi, Malaysia turut mengawal penguasaan bola. Thailand terkejut dengan ketenangan para pemain Malaysia bertukar-tukar hantaran. 

Sedikit mengganggu perancangan Tan Cheng Hoe adalah kecederaan hamstring Syazwan Andik dan Sumareh dalam perlawanan separuh akhir pertama. Untuk rekod, Syazwan Andik merupakan first eleven dalam semua perlawanan setakat ini ketika Cheng Hoe mengekalkan bek berempat yang sama. 


Jika Sumareh dan Syazwan Andik tidak cergas untuk diturunkan, bukanlah masalah besar untuk Cheng Hoe. Dalam senarai 23 pemain yang dibawa, Cheng Hoe mempunyai Nazirul Naim untuk mengambil alih posisi itu. Manakala tempat Sumareh pula boleh digantikan oleh Akhyar Rashid. 

Melihat kecenderungan Cheng Hoe, dia akan mengekalkan majoriti pemain yang telah terbukti semakin meningkat dari perlawanan ke perlawanan. Jika ada 'senjata' yang mungkin digunakan, Shahrel Fikri akan menggantikan kapten Zaquan Adha sebagai penyerang tunggal di hadapan trio penyerang tiga serangkai. 

Harapan sekali lagi akan digalas Norshahrul Idlan dan Safawi Rasid untuk menggoncang kubu Thailand dan seterusnya meranapkan impian rumah di depan ribuan penyokong mereka sendiri.

GO BIG OR GO HOME!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif