Welcome To My Life...

Monday, December 10, 2018

Piala AFF #10: FINAL HERE WE COME!!!

Assalamualaikum.

Segala ramalan di atas kertas sudah tidak bermakna apa-apa apabila wisel permulaan ditiupkan oleh pengadil. Bermain di gelanggang sendiri, ranking dunia yang lebih baik dan rekod yang memihak tuan rumah menjadi pegangan para pemain Thailand untuk mereka berasa yakin dapat melangkah ke perlawanan akhir. 

Chatchai Budprom, penjaga gol Thailand sempat berpesan kepada rakyat Malaysia untuk tidur lena pada malam sebelum perlawanan kedua kerana Malaysia akan mengalami mimpi ngeri. Keangkuhan yang dahsyat itu akhirnya 'menelan' dirinya sendiri.

Chatchai pasti akan mengingati perlawanan 'roller-coaster' ini sampai bila-bila.


Seperti dijangka, Nazirul Naim menggantikan Syazwan Andik di posisi bek kiri. Syazwan yang mengalami kecederaan hamstring tidak sempat untuk cergas. Buat kali pertama selepas enam perlawanan, bek berempat tidak lagi dibarisi pemain yang sama. Namun, Syahmi Safari, Aidil Zafuan dan Shahrul Saad mengekalkan tempat masing-masing.

Mohamadou Sumareh pula sempat untuk pulih walaupun turut mengalami kecederaan hamstring semasa menentang Thailand dalam perlawanan separuh akhir pertama. Walaupun Akhyar Rashid melaungkan bahawa dia sudah bersedia sebelum perlawanan, Cheng Hoe tetap memberikan kepercayaan kepada Sumareh untuk menggalas tugas menjaringkan gol di tempat lawan.

-------------

FT Thailand 2-2 Malaysia

Satu perlawanan 'roller-coaster' yang sangat menghiburkan dan dramatik.

Tidak semudah lima perlawanan yang lepas di mana Malaysia mendominasi permainan, Thailand (seperti yang dijangka) garang di depan ribuan penyokong sendiri. Seperti dipamerkan ketika membenam cabaran Singapura dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Thailand begitu bersemangat di tanah air mereka. Maruah mereka akan tercalar sekiranya tewas kepada Malaysia di ranking jauh lebih rendah. Juara bertahan tersungkur di tempat sendiri? Itu memalukan.

Walaupun Thailand mendapat lebih penguasaan bola berbanding di Bukit Jalil, para pemain Malaysia tidak membenarkan Thailand terlalu selesa kerana memberikan keyakinan kepada pemain Thailand pastinya mengundang padah.

Malaysia kurang bernasib baik apabila Aidil Zafuan tidak dapat meneruskan permainan dan terpaksa digantikan oleh Irfan Zakaria. Irfan baru saja beraksi ketika dia berada di tempat yang salah dan menjaringkan gol sendiri. Hantaran silang Supachai Jaided dari sayap kiri ditanduk ke tengah kotak enam ela oleh Mongkol Tossakrai. Tandukan Thitipan Puangchan berjaya ditepis oleh Farizal Marlias tetapi tertampan Irfan dan melantun ke dalam gol.

Gol pendahuluan Thailand tidak mematahkan semangat Malaysia. Hanya tujuh minit diperlukan untuk satu gol yang indah lagi menakjubkan. Gol hebat ini berpunca daripada larian cantik bek kiri Nazirul Naim yang membelah pertahanan Thailand sebelum menolak bola kepada Norshahrul Idlan yang bijak melepaskan larian Syahmi Safari. Syahmi menolak bola ke depan, melihat peluang yang ada sebelum merembat kencang dengan penuh yakin. Rembatannya tepat ke penjuru atas sebelah kanan gawang Chatchai. Mimpi ngeri untuk penjaga gol yang sangat angkuh dan takbur.

Malaysia mendapat gol di tempat lawan dan lebih penting lagi, gol itu sangat luar biasa!

---------

Babak kedua juga tidak banyak berbeza. Thailand terus menekan Malaysia kerana mereka wajib menang memandangkan Malaysia sudah menjaringkan gol. Walau seri 3-3 atau 5-5 sekali pun, mereka akan tetap tersingkir.

Percaturan Milovan Rajevac memasukkan Sumanya Purisai membuahkan hasil. Sepakan percuma yang diambil Sumanya menimbulkan kacau-bilau di depan pintu gol Malaysia dan tandukan Pansa Hemviboon tepat ke sasaran. Thailand tidak berhenti di situ dan terus memburu gol ketiga kerana Malaysia hanya memerlukan satu gol untuk seri dan tetap mara ke final.

Dan Thailand berada di depan tidak lama. Tujuh minit kemudian, peledak berbisa Norshahrul Idlan membuktikan kepentingannya kepada skuad negara. Berpunca daripada balingan ke dalam di sayap kanan, Akram menolak bola kepada Syahmi yang pantas menolak bola kepada Syamer. Hantaran silang Syamer berjaya menemui Norshahrul yang melakukan penyudah sempurna untuk menyamakan kedudukan sekali lagi.

2-2 dan drama belum lagi berakhir.

---------

Drama terakhir disimpan sehingga di minit terakhir. Masa kecederaan lima minit yang sangat panjang. Namun Malaysia dilihat sudah 95% akan beraksi di final. Malaysia hanya perlu bertahan dan mempertahankan kedudukan seri kerana kelebihan milik Malaysia. Itu hanyalah situasi yang ideal.

Bagaikan mimpi ngeri yang telah dikatakan Chatchai, Thailand mendapat sepakan penalti apabila tandukan Adisak Kraisorn berpunca daripada hantaran lintang terkena tangan Syahmi Safari. Pengadil melayangkan kad kuning kedua untuk Syahmi sekali gus kad merah.

Ini adalah sepakan terakhir perlawanan. Masa kecederaan sudah berakhir. Mulut Farizal terkumat-kamit meminta pertolongan Tuhan. Adisak dengan misi menambah satu gol lagi dalam koleksi lapan jaringan yang sudah menjadi miliknya di takhta penjaring terbanyak kejohanan. Gol ini akan menjadi sangat penting kerana membawa Thailand ke final sekali lagi. Mengecewakan Malaysia buat kesekian kalinya. Ribuan rakyat Malaysia berdoa penuh harapan agar sepakan itu tidak menepati sasaran.

Plot twist yang berlaku sangat mengasyikkan.

Adisak mengacah, Farizal sudah bergerak lebih awal (sedikit) ke sebelah kirinya. Namun sepakan Adisak melambung tinggi melepasi palang gol. Sedangkan Adisak hanya perlu meletakkan bola ke gawang yang terbuka luas. Sesuatu yang pada hari yang lain pasti amat mudah bagi peledak berbisa ini. Tetapi pada hari yang bukan takdirnya, sepakan itu tidak akan masuk ke dalam gol.

----------------

From hero to zero.

Begitulah keadaan yang hampir buat Syahmi. Daripada seorang wira yang meledak gol indah yang akan diingati begitu lama, dia hampir menjadi asbab Malaysia tersungkur di minit terakhir ketika hanya beberapa saat memisahkan Malaysia dan final.

Takdirnya, Malaysia dan Piala AFF Suzuki 2018 masih berjodoh.

Final bertemu Vietnam yang menewaskan Filipina dalam dua perlawanan separuh akhir dengan agregat 4-2. Lawan yang sama menewaskan Malaysia di Hanoi dalam peringkat kumpulan baru-baru ini.

Tiada yang mustahil. Tiada gentar.
  

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif