Welcome To My Life...

Saturday, December 15, 2018

Piala AFF #11: Menjelang Kejuaraan

Assalamualaikum.

Hanya ada dua kemungkinan esok. Vietnam juara atau Malaysia juara. Selepas mengharungi lapan perlawanan, kedua-dua pasukan yang berada dalam kumpulan sama akan menentukan juara Asia Tenggara dalam perlawanan final kedua. 

Perlawanan pertama berakhir seri 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Untuk rekod, kali terakhir Malaysia beraksi di Hanoi adalah ketika peringkat kumpulan apabila tewas 2-0 walaupun mendominasi permainan. Vietnam bermain secara bertahan dan mengharapkan serangan kilat.

Tan Cheng Hoe pula seperti dilihat dalam semua perlawanan Malaysia dalam edisi ini, menekankan penguasaan bola dan falsafah hantaran pendek kepada para pemainnya. Jika pasukan anda menguasai bola, sukar untuk pemain lawan melakukan serangan.

--------

Ramalan penulis mudah. Vietnam akan menggunakan taktik sama ketika di Hanoi tempoh hari. Mereka akan bertahan dan membiarkan pemain Malaysia leka dengan penguasaan bola. Apabila tiba masanya, mereka akan melakukan serangan balas pantas. Asasnya mudah: mereka mempunyai dua 'gol di tempat lawan'.


Tan Cheng Hoe pasti lega dengan kembalinya beberapa orang pemain utama. Amirul Azhan dan Irfan Zakaria memulakan perlawanan menentang Vietnam di posisi Syahmi Safari (kad merah) dan Aidil Zafuan (cedera). Nazirul Naim di bek kiri menggantikan Syazwan Andik (cedera) pula mengalami kecederaan dalam final pertama tersebut dan terpaksa digantikan oleh Adam Nor Azlin.

Syahmi Safari, Aidil Zafuan dan Syazwan Andik dijangka akan dapat memulakan perlawanan final kedua ini sekali gus mengembalikan semula gandingan bek berempat yang tidak digantikan dalam lima perlawanan berturut-turut sehingga Syazwan tercedera dalam separuh akhir pertama.

Gandingan Akram-Syamer di tengah akan terus menyokong gandingan empat serangkai yang penulis jangka akan dikekalkan. Melainkan Cheng Hoe mahu menukar resepi dan menurunkan Shahrel Fikri menggantikan kapten Zaquan Adha.

-----------

Ini misi hidup atau mati. GO BIG or GO HOME.

Menang kami bangga, kalah kami setia. Selamanya Harimau Malaya!





No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif