Monday, July 1, 2013

Samba Juara


Wisel penamat baru saja dibunyikan, perlawanan baru berakhir. Brazil ditabalkan selaku juara Piala Konfederasi 2013. Tahniah untuk Brazil yang memenangi piala ini buat kali ketiga berturut-turut. Sepanyol berputih mata apabila sekali lagi gagal memenangi satu-satunya kejuaraan yang masih gagal digenggam.

Keputusan akhir: Brazil 3-0 Sepanyol.

Brazil juara di laman sendiri. Persiapan terbaik sebelum Piala Dunia di gelanggang sama tahun depan. Dominasi Sepanyol yang memenangi tiga kejuaraan utama berturut-turut sebelum ini akhirnya ditamatkan. Keunggulan tiki-taka dibinasakan oleh permainan positif oleh barisan Brazil yang berbakat. Satu generasi yang aku begitu yakin dapat menyaingi Sepanyol. And yes, they can.

Luiz Felipe Scolari meletakkan Dani Alves - Thiago Silva (kapten) - David Luiz - Marcelo untuk membentengi Julio Cesar. Paulinho dan Luiz Gustavo melindungi kubu pertahanan dengan Oscar berada sedikit di hadapan. Hulk dan Neymar membantu Fred selaku penyerang tunggal. 4-2-1-2-1. 

Vicente Del Bosque juga menggunakan formasi 4-3-3. Alvaro Arbeloa - Sergio Ramos - Gerard Pique - Jordi Alba membentuk kubu di depan Iker Casillas (kapten). Xavi - Sergio Busquets - Andres Iniesta mengawal jentera tengah. Pedro - Fernando Torres - Juan Mata cuba menggempur Brazil.

Sepanyol melakukan tiga pertukaran pemain yang pertama di awal babak kedua apabila Cesar Azpilicueta, Jesus Navas, dan David Villa masing-masing menggantikan Arbeloa (minit ke-46), Mata (52), dan Torres (59). Brazil turut melakukan tiga pertukaran pemain. Jadson, Jo, dan Hernanes masuk menggantikan Hulk (72), Fred (80), dan Paulinho (87).

Brazil bermula dengan langkah kanan apabila pertahanan Sepanyol gagal mengeluarkan bola di dalam kotak penalti. Fred mengambil kesempatan dalam keadaan kelam-kabut untuk menguis bola melepasi Casillas. Perlawanan baru berusia tak sampai dua minit. Enam minit kemudian, Oscar terlepas peluang keemasan apabila sepakannya dari tengah kotak penalti gagal menepati sasaran walaupun dia memiliki terlalu banyak ruang.

Brazil terus memberi ancaman lima minit kemudian. Paulinho cuba melakukan lob tetapi berjaya dibaca oleh Casillas. Hanya dua minit berlalu apabila satu through ball meletakkan Arbeloa berebut bola dengan Neymar di tengah padang. Kekasaran yang dilakukan Arbeloa memaksa pengadil dari Belanda, Bjorn Kuipers, melayangkan kad kuning pertama dalam final.

Ramos turut mendapat kad kuning setelah mengasari Oscar hanya beberapa inci di luar kotak penalti dua minit sebelum detik setengah jam. Empat minit berselang, through ball dari Neymar memberikan ruang untuk Fred meledak lagi tetapi dinafikan oleh Casillas. Pada minit ke-41, Sepanyol memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan. Pedro dalam situasi satu-lawan-satu dengan Cesar dan mengatasi penjaga gol tetapi sepakannya dikeluarkan oleh Luiz di atas garisan gol. Aksi menyelamat yang begitu hebat.

Tiga minit kemudian, Neymar meletakkan Brazil selesa di hadapan sebelum rehat apabila menyudahkan hantaran Oscar dari sebelah kanan kotak penalti Sepanyol. Rembatan kaki kirinya terlalu kencang untuk ditepis oleh Casillas. Emphatic finish. Separuh masa, Brazil 2-0 Sepanyol. Dua minit babak kedua bermula, Brazil meletakkan Sepanyol dalam situasi terdesak.

Sekali lagi, Fred menjadi pemusnah Sepanyol. Oscar melakukan lorongan dan Neymar melepaskan bola kepada Fred dengan satu dummy yang pintar. Fred cuba meletakkan bola di penjuru bawah sebelah kiri pintu gol Casillas. Kapten Sepanyol itu berjaya menyentuh bola tetapi tidak cukup untuk menghalang bola itu membolosi gawangnya.

Sepanyol mendapat satu lagi talian hayat apabila Marcelo mengasari Navas di dalam kotak penalti. Ramos berpeluang untuk merapatkan kedudukan tetapi sepakannya meliar di sebelah kanan pintu gol Cesar. Dan pada minit ke-68, peluang Sepanyol semakin tipis apabila mereka kurang seorang pemain. Pique menerima kad merah secara terus, yang pertama dalam Piala Konfederasi 2013. Pique terpaksa melakukan kekasaran profesional kerana Neymar sedang meloloskan diri.

Dua percubaan penting yang terakhir dalam perlawanan milik Sepanyol. Pada minit ke-80, Pedro memiliki ruang dalam kotak penalti untuk melakukan rembatan kaki kiri tetapi Cesar melakukan aksi menyelamat refleks yang berkelas dunia. Enam minit saja berselang apabila Cesar terbang untuk menafikan rembatan melencong dari Villa. Malang buat Sepanyol apabila berhadapan Cesar yang berada di kemuncak prestasi.

Keseluruhannya, Sepanyol memiliki peluang tersendiri tetapi tidak dimanfaatkan. Brazil mengajar Sepanyol satu falsafah utama bola sepak yang mesti difahami. Bola sepak bukan sekadar mengenai penguasaan bola tetapi menjaringkan gol. Mungkin tuah tidak bersama Sepanyol kali ini. Brazil mempertahankan Piala Konfederasi selepas 2005 dan 2009.

Sepanyol mendominasi penguasaan bola walaupun Brazil bermula garang dengan asakan bertali arus. Sebaik saja Sepanyol mendapat rentak, Brazil hanya bergantung kepada serangan kilat. Pada minit ke-37, Sepanyol menguasai 60% permainan, dan mereka sedang menguasai 57% permainan sembilan minit sebelum permainan tamat. Bola sepak bukan dimenangi dengan penguasaan bola.

Perlawanan telah berakhir. Sepanyol perlu mencari ramuan untuk mengatasi Brazil di gelanggang lawan untuk mempertahankan Piala Dunia. Skuad Brazil ini sangat berbakat di bawah pimpinan Scolari. Tiki-taka mungkin tidak mencukupi jika Neymar terus cemerlang tahun depan. Buat masa ini, selamat pulang La Roja. Juara milik samba.


1 comment:

Syazana Zainn said...

wahhh ni ulas brazil

:D

rat2 pi BW sume update kelantan dan JDT hihi

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif