Welcome To My Life...

Saturday, July 13, 2013

Maafkan Aku : Bab 2


"MAAFKAN AKU"
Karya : M. Fizan

BAB 2

"Zati, nanti kalau ada apa-apa hal, kau tahu mana nak cari aku." 

"Orait bos, roger."

Senyuman diukir dan ibu jari kanan diangkat menandakan dia mengerti kata-kata rakannya. Rakan itu terus berlalu dari muka pintu belakang meninggalkan dia sendirian di dalam kelas. Semua rakan sekelas lain telah pulang. Dia masih belum mahu meninggalkan bilik itu. Ada tugasan yang perlu diselesaikan. Jika dia pulang ke rumah, sudah pasti dia akan terlena di katil.

Dia suka untuk pulang lewat selepas kelas berakhir. Biasanya dia akan ditemani rakan baiknya, Zakiyah Natasha. Namun dia tiada masalah untuk bersendirian. Dalam sunyi, dia belajar menghargai erti bunyi. Dalam kesunyian, dia belajar untuk berdikari. Menerima hakikat semua yang hadir akan berlalu pergi. Hanya Allah yang kekal abadi.

Serabut melihat lembaran kertas di atas meja. Dia menyusun semula supaya lebih teratur. Agar tak terlalu menyesakkan minda. Nanti lebih stres jadinya. Telefon bimbit diangkat dan diletakkan di sebelah kirinya. Mata menatap skrin untuk melihat jika ada sebarang cubaan berhubung oleh sesiapa. Ada tanda SMS diterima. Dahinya berkerut.

Jejaka itu lagi. Dia tidak tahu apakah dia perlu berasa gembira. Atau rimas seperti yang lazim dirasainya. Jika dulu, dia akan tersenyum membaca nama jejaka itu sebagai pengirim SMS. Kini tidak lagi. Tawar bersama kehadiran. Pudar bersama keterbiasaan. Jejaka itu selalu hadir. Tidak memberi ruang untuk dia merasakan rindu. Tidak memberikan jarak untuk dia merasakan erti kehilangan. SMS dibaca jua.

"Mesti dah balik kan? Rehat baik-baik."

Telefon bimbit diletakkan semula. Tangan kiri masih memegang telefon bimbit. Hatinya berbelah bahagi. Mahu dibalas atau tidak SMS itu? Hati berkata balas, minda berkata jangan. Dia jadi keliru. 'Awak, kenapa tak bagi peluang saya rindu?' hatinya berbicara. Mengharapkan sebarang komunikasi secara telepati dari hatinya terus ke hati jejaka itu.

Dia mengambil keputusan untuk membiarkan. Jika jejaka itu tidak tahu mencipta jarak, biar dia yang mengadakan jarak antara mereka. Bukan dia tak ada perasaan sayang terhadap lelaki itu. Biarlah dia menyimpan perasaan kasih dan cinta untuk yang berhak. Cukuplah kesakitan yang dia pernah alami kerana lelaki yang belum halal baginya. Sudah cukup sudah.

Sudah tiga tahun dia mengenali lelaki itu. Lelaki yang menyelamatkannya daripada hanyut dibuai kesedihan kerana ditinggalkan. Ya, dulu dia bahagia bersama lelaki itu. Namun perasaannya disakiti berkali-kali hingga rasa kasih itu kian pudar bersama masa. Dia sendiri tidak pasti salah siapa. Salah lelaki itu yang tidak menjaga hatinya atau salah dia sendiri yang tidak menghargai kehadiran lelaki itu?

"Boleh saya duduk sini?"

Perhatiannya ditarik daripada terus menatap buku. Seorang remaja lelaki berada di hadapannya. Kemas dengan pakaian uniform pengawas pusat sumber. Dia pula hanya pelajar biasa. Pernah juga ditawarkan untuk menjadi pengawas perpustakaan tetapi ditolaknya kerana tidak mahu ada komitmen. Dia senang dengan kebebasan seorang pelajar biasa.

"Duduk lah kalau awak tak ada kerja." Dingin dia membalas.

"Nor Izzati Safiya."

"Mana awak tahu nama saya?" Dia mula rasa kurang senang. Lelaki itu tersenyum.

"Nama saya Hafiz Andika." 

"Saya tak tanya pun."

Dia pun tak tahu kenapa remaja itu mengganggunya. Dia selalu melihat lelaki itu kerana dia selalu ke bilik rujukan di perpustakaan sekolah. Mereka tak pernah bertegur sapa. Entah mimpi ngeri apa yang dilalui Hafiz malam tadi, tiba-tiba datang menegurnya. Hafiz duduk di hadapannya. Dia mula rasa tak selesa. Tersengih-sengih. Mesti ada udang di sebalik batu ni.

Lama dia membiarkan Hafiz tersenyum di hadapannya. Malas nak dilayan. Selepas beberapa minit, dia mula rasa rimas. 'Dah kenapa mamat ni?' hatinya tertanya-tanya. Perhatiannya cuba ditumpukan untuk menelaah buku rujukan Kimia yang dipegangnya tapi dia tahu matanya melihat menembusi buku itu. Dia memerhati gelagat Hafiz. Dia harap Hafiz akan meninggalkannya tetapi hampa.

"Terima kasih atas segalanya...." 

Telefon bimbit di sebelahnya berdering. Satu panggilan masuk. Lagu Terima Kasih dendangan I Am Neeta yang menjadi nada dering mengejutkannya dari lamunan. Tersedar dari imbauan kenangan mengenali jejaka yang menghantar SMS kepadanya tadi. Punat ditekan untuk menjawab panggilan. Rakan serumah mengajaknya makan tengah hari bersama-sama. Alat tulis dan kertas-kertas yang bertimbun di hadapannya dikemas. Semua suis dimatikan sebelum dia beredar meninggalkan kelas W123.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif