Welcome To My Life...

Wednesday, July 3, 2013

Trip to Perak : Part 1


Bismillah. Akhirnya, aku mendapat kekuatan untuk mula menulis jurnal percutian di Perak Darul Ridzuan. Tak tahu nak mula dari mana. InsyaAllah, aku akan cuba bercerita apa yang aku mampu ingat. Hari itu hari Ahad, tanggal 23 Jun 2013. Dua hari selepas ALM12 Annual Grand Dinner. Empat hari selepas tamatnya peperiksaan A-Level. Aku memang semangat gila. Kali pertama sertai diorang. Sem-sem sebelum ni, aku terus balik sebaik saja cuti bermula.

Perjalanan aku ke percutian tu juga adalah perjalanan pulang aku ke Kedah untuk cuti pasca A-Level. Pagi Ahad tu, aku masih belum kemas barang lagi. Barang aku tak macam budak-budak lain. Berkotak-kotak. Aku dah biasa balik cuti sem dengan satu beg besar saja. Itu pun penuh buku teks dan baju. Cuma kali ni aku bawak balik dua beg, satu bersaiz besar dan satu lagi sederhana. Aku mula kemas jam 10 pagi. Dalam masa dua jam, semua dah selesai.

Hari Ahad tu juga, cuma tinggal aku sorang yang terakhir buat clearance. Aku sorang je yang masih tinggal di rumah 6/504. Rakan serumah yang lain dah pulang. Syahid dan Azri dah balik ke rumah masing-masing dan Adib ke rumah mak ciknya. Tapi Syahid pulang semula ke Kediaman Cemara. Jam 2.30 petang, aku dan Syahid ke jamuan makan tengah hari atas jemputan murabbi yang sangat aku hormati kerana Allah.

Best jugak makanan yang disediakan. Spaghetti yang memang lazat. Ditambah pula dengan roti dengan intinya mayonis, sardin dan wedges. Ummphh, roti tu teramat enak. Ustaz aku ni dulu belajar di Jordan. Dia kata roti memang makanan ruji di sana. Sedikit sedih memandangkan tu juga detik perpisahan dengan ustaz yang sangat baik hati. Jam 3 petang, sepatutnya kami berkumpul untuk memulakan perjalanan ke Perak.

Aku dan Syahid terpaksa meninggalkan jamuan tu lebih awal untuk masukkan beg dalam kereta Syahid. Kali pertama rumah 6/504 tu memang kosong sekosong-kosongnya. Risau jugak kalau ada barang yang tertinggal. Jadi satu kerja nanti kalau nak datang ambik balik. Selepas menurunkan barang dari tingkat 5, kami kembali ke rumah ustaz di tingkat 1 dan mengucapkan 'sayonara'. 

Ingatkan kami dah terlewat. Kami (aku, Syahid, dan Irfan) menuju ke perhentian bas di depan Kediaman Akasia, hanya beberapa meter dari Kediaman Cemara. Di sana, Fatima (Temah), Ameerah (Meera), Syuhada (Ada), Kak Nasuha (Kak Nas), Irfani (Fani) sudah menanti. Oh, aku lupa Syafiq ada bersama kami juga. Syafiq dan Irfani bukan budak kelas 12M5 tapi mereka juga menyertai percutian itu. Dua kereta sudah bersedia. Unser Syahid dan Myvi Meera. 

Kami menanti ketibaan Myvi Liyana yang membawa beberapa orang lagi rakan. Ketika itu, tak salah aku, sudah jam 3.40 petang. Tiba-tiba, kami dimaklumkan, Zulkifli (Zul) yang aku baru cerita dalam entri lepas, berada di INTEC kerana memuat turun filem. Barang dia belum dikemas lagi. Dia dijemput oleh Liyana (Yana). Agak panas hati juga. Boleh pulak dia berjimba ketika kami ada perancangan besar.

Akhirnya, Zul tiba jua. Dia bergegas balik kolej untuk kemas barang. Kami semua menunggu di perhentian bas. Jam 4 petang. Irfan selaku ketua program melantik aku menjadi bendahari. Wahhh, bukan senang nak jadi ceti. Maka, aku pun kutip RM50 seorang untuk bayaran minyak dan juga tol. Kos itu untuk tiga buah kereta. Sebijik Unser dan dua bijik Myvi. Tunggu punya tunggu, sembang punya sembang, sampai jugak si Zul. 

Memandangkan waktu Asar dah nak masuk, kami bergerak ke masjid terlebih dulu. Bukan Masjid al-Hidayah yang paling hampir dengan kolej, tapi masjid di Seksyen 19 kalau tak salah aku. Kami solat Asar dan..... PERJALANAN KE PERAK BERMULA. Semua sekali 13 orang yang turut serta. Ipan, Syafiq, Kak Nas, dan Irfani berada dalam kereta Unser Syahid. 

Yana, Temah, Zul berada dalam kereta Myvi yang dipandu oleh Azri. Aku, Adib, dan Ada berehat dalam kereta Myvi yang dipandu oleh Meera. 

Pak supir

Aku tak berapa pasti berapa lama masa perjalanan kami. Dan kami juga berhenti solat Maghrib dulu. Aku tak ingat nama tempat tu. Kami menyambung perjalanan dan sampai di pekan Kuala Kangsar lebih kurang jam 9 malam. Memandangkan kami belum makan malam dan semuanya dah kelaparan sangat, kami berhenti di satu medan selera. Kereta Myvi Meera sampai dulu memandangkan Kuala Kangsar adalah kampung Adib, dan dia arif tentang kawasan itu.

Kami makan terlebih dulu sementara menanti rakan-rakan lain yang berada di Masjid Ubudiah. Perancangan asalnya memang GPS akan menuju ke situ kerana rumah nenek Adib begitu dekat dengan masjid itu. Aku makan nasi goreng pataya dan minum sirap bandung. Delicious. Tapi harga pun 'sedap' lar. Selepas makan, kami pusing pekan Kuala Kangsar melihat Istana Iskandariah. 

Akhirnya, jam 11 malam, kami sampai jua di rumah nenek Adib. Memang sebelah Masjid Ubudiah. Adib dah cakap, budak lelaki mandi di masjid saja. Rumah nenek Adib tu dua tingkat. Aku, Azri, Adib, dan Zul tidur di tingkat bawah. Depan televisyen lagi. ^_^ Budak perempuan semua tidur di tingkat atas. Tandas ada satu saja di tingkat bawah. Syahid, Syafiq, dan Ipan tidur di rumah tetamu Masjid Ubudiah. Pak imam nampak kami sampai dan menawarkan rumah tu. Bagus sungguh pak imam.

Selepas berbual dengan mak cik dan nenek Adib, masa untuk tidur. Mak cik Adib yang kami panggil 'auntie' memang sporting habis. Ceritanya memang macam tourist guide yang pro. Habis rahsia Adib terbongkar. Rupanya, rakan sebilik aku ni dipanggil Didib dan cita-citanya nak jadi pilot sebelum ambik medic. Hoho, kantoi lar Adib.

Alhamdulillah, jam 12 malam, dah dapat tidur sebelum memulakan perjalanan hari esok. Memang selesa. Tidur nyenyak sampai Subuh. Kisah hari pertama kami di Perak akan aku sambung dalam entri yang akan datang.



-BERSAMBUNG-



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif