Wednesday, July 10, 2013

Tazkirah Ramadhan


Alhamdulillah, hari ni diberi kesempatan untuk mendengar tazkirah sempena menyambut kehadiran bulan mulia yang kita sangat nanti-nantikan. Ahlan wa sahlan Ramadhan al-Mubarak. Waktu tengah hari, 9 Julai 2013. Aku bekerja sebagai waiter untuk Majlis Inovasi di UUM. 

Aku tak ingat nama ustaz tu. Tapi dia dari Jabatan Mufti Negeri Kedah. Dia memang ada aura. Memang best tazkirah yang dia bagi. Ketika tu orang tengah lapar. Dan para waiter pun dah penat buat persediaan hidangan. Namun bicara sang ustaz memukau audiens. Semua terhibur. Lucu dan padat.

Aku suka dengan cara penyampaiannya. Memang tak salah pilih orang. Tazkirahnya mantap berisi. Tutur katanya menggelikan hati. Walaupun begitu pantas rentaknya dan bukan sesi jenaka, semua hadirin bergelak ketawa. Hebat, memang hebat.

Antara isinya termasuklah acara melihat anak bulan Ramadhan semalam. Katanya, walaupun sudah ada perkiraan, melihat anak bulan adalah syariat. Jika tak nampak anak bulan (kerana terlindung), cukupkanlah 30 hari bulan Syaaban.

Ustaz itu menceritakan pengalamannya disoal seorang rakan (mungkin bukan Islam) ketika zaman dia belajar. Soalannya, kenapa perlu puasa? Ustaz pun menjawab dengan penuh berhemah. Selalunya apabila kita tidur, tangan kita rehat, otak kita rehat, kepala rehat, kaki pun rehat. Cuma dua anggota yang tak rehat. Jantung dan perut. Kalau jantung rehat, kita yang 'jalan'.

Perut lagi kesian. Pagi kita makan, petang makan, malam pun makan. Masa kita tidur, perut tak berhenti rehat. Perut berhempas pulas nak proses. Maka bulan Ramadhan mengizinkan perut untuk berehat di siang hari. Lihatlah hikmah perintah Allah yang Maha Mengetahui. Dialah yang mengetahui segala sesuatu.

Kata ustaz lagi, manusia ni ada dua nafsu. Makan dan keperluan seksual. Puasa dapat menundukkan kedua-dua nafsu ni dengan larangan melakukan amalan yang membatalkan puasa. Aku juga tertarik dengan penerangan rukun Islam yang aku kira sebagai perkongsian.

Dua kalimah syahadah adalah cara menundukkan hati kepada Allah. Contohnya, saat suami melafazkan 'aku terima nikahnya', isteri perlu tunduk dan taat kepada suami. Begitu juga apabila kita melafazkan dua kalimah syahadah, semestinya hati kita perlu tunduk kepada Allah. Apabila hati tunduk, apa yang kita buat akan tulus.

Solat lima waktu sehari semalam pula cara menundukkan anggota. Anggota yang paling susah nak tunduk adalah kepala. Tapi Allah mensyariatkan kita sujud lima waktu sehari semalam supaya kita sedar, betapa hinanya kita. Kepala kita perlu tunduk ke bumi tempat kita berpijak untuk menyembah Allah. Orang kaya mana pun akan sujud ke tanah. Dan di saf kedua, kepala kita akan berada di belakang kaki mereka yang di saf hadapan.

Menunaikan zakat adalah cara untuk membersihkan harta. Aku sangat-sangat tertarik dengan kisah yang diceritakan oleh ustaz sehingga tidak mesti tidak, aku mesti kongsikan. Kata ustaz, semasa pembinaan Empangan Beris, kubur orang Islam perlu digali. Dan jabatan agama memberikan panduan langkah-langkah yang perlu diambil. 

Kubur perlu digali enam meter. Semua tanah yang digali mesti diletakkan di atas dua lapis kain putih, diletakkan kapur barus dan sebagainya. Kesemuanya lebih kurang empat ribu kubur kalau tak salah aku dan kosnya mencecah jutaan ringgit. Aku masih kurang nampak tujuan cerita itu. Aku sangka cerita itu ada iktibar dan pengajaran untuk dijadikan sempadan.

Sebaliknya, ia contoh yang sangat wajar dijadikan teladan. Jurutera yang terlibat, dengan izin Allah, mengatakan, "Beritahu saja berapa kosnya, kami akan bayar. Hukum Allah bukan harta bayarannya." Ya, benar. Hukum Allah tak boleh dibeli dengan wang ringgit. Cerita itu ada kaitan dengan kisah sebelumnya.

Dalam satu lagi cerita sebelumnya, orang kaya yang memiliki wang meruntuhkan masjid untuk membina masjid baru. Kata ustaz, meruntuhkan masjid tanpa izin sultan hukumnya berdosa. Orang yang memiliki harta dan cuba membeli hukum Allah, berdosalah dia.

Ada juga orang tanya, 'kenapa perlu bina menara masjid?'. Alasan mereka membazir wang. RM25 ribu untuk menara boleh diguna untuk membina bangunan lain. Orang tak sembahyang atas menara masjid. Ya, memang orang tak solat di atas menara. Tapi menara itu syiar. Orang pun tak sembahyang dalam kubah yang mahal. Tapi kubah itu syiar!

Berpuasa di bulan Ramadhan pula, dapat menundukkan nafsu. Ada orang besar nafsunya kecil. Ada orang kecil nafsunya besar. "Badannya kecil, wak. Tapi isterinya tiga." Begitu seloroh ustaz. Puasa dapat mengekang nafsu kita. Semua anggota kena jaga. Mulut jangan mengata.

Cerita ustaz, mulut kita jangan mengumpat sikit pun. Kalau tengok suami kurus naik motor bersama isteri berbadan besar, jangan kata 'ish, ish'. Mengata tu... ^_^ Ada yang lagi teruk, terus cakap "Tu dia....". Haha. Lawak sungguh ustaz berjenaka dalam berpesan-pesan dengan kebenaran.

Akhir sekali, ustaz menyampaikan hadis nabi tentang empat amalan di bulan Ramadhan. Aku ingat tiga saja. Membaca al-Quran, memberi makan orang lapar, dan berpuasa dengan ikhlas jiwa raga. Lupa satu lagi. Maafkan khilaf diri ini.

Wallahualam.


1 comment:

Syazana Zainn said...

Selamat berpuasa naz :)

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif