Welcome To My Life...

Wednesday, June 10, 2009

Cerpen 'Cinta Kenduri'

Nabiha memasuki bilik Atira. Kipas berpusing laju. Rakan baiknya itu sedang membaca majalah hiburan, kegemaran nombor satunya. Kali ini dia nekad untuk memaksa Atira mengikutinya ke kenduri kahwin rakan sekerja mereka, Intan. Sejak semalam, sudah berpuluh-puluh kali dia mengajak. Segala ceramah sudah diberi. Tapi kawan yang seorang ini tak makan saman.

“Marilah ikut, Tiy. Sekali sekala saja makan free.” Nabiha puas mengajak.

“Kau ni dari semalam lagi. Aku ikutlah, cik puan datin...” Atira membuat keputusan.

Tidak terbayang keceriaan terpamer di wajah Nabiha. Apa yang disangkanya, ribut taufan Atira tapi sebaliknya persetujuan yang begitu mudah. ‘Kalau dari semalam macam ni kan senang’ desis hatinya. Sudah beribu gelen air liur dibazirkan, akhirnya begini saja memujuk Atira. Nabiha tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Apa kau tunggu lagi? Jom la mak cik.” Atira sudah siap berpakaian.

“Mak datuk, cepatnya kau siap. Alien ke?” Terbeliak biji mata Nabiha.

“Setakat pakai baju, nenek aku pun lagi laju daripada kau.”

“Perli nampak.. Kau tak mandi ke?” Nabiha musykil. Selalunya Atira mandi sampai setengah jam tiga minit dan dua puluh satu saat.

“Semalam aku dah mandi. Cepat la melaram tu.” Jawapan Atira memecahkan derai tawa Nabiha.

‘Semalam cerita lainlah’ Nabiha bermonolog lagi. Malas rasanya nak menegur Atira. Nanti meletus pulak perang dunia macam selalu. Mereka pun segera menuju ke rumah Intan. Akhirnya kahwin juga Intan dan Zakuan. Sudah bercinta dekat lima tahun. Kalau tak kahwin, ingin dikutuk semahunya. Fikirannya menerawang jauh. Seketika kemudian, Nabiha ketawa sendirian. Tiba-tiba, bahunya dicuit Atira.

“Hoi, mengelamun ke?! Nasib baik tak redah orang.” Wajah Atira mencuka.

“Ampun, Tiy. Aku tergelak ingatkan Tan dengan Kuan. Kahwin jugak diorang kan?” Nabiha tersenyum.

Atira hanya mengangguk. Kereta yang dipandu Nabiha menderum laju di atas permukaan jalan kota raya Kuala Lumpur. Bandar metropolitan yang semakin pesat membangun. Selepas beberapa minit, Nabiha dan Atira tiba di destinasi mereka. Nabiha mencari tempat yang teduh untuk memarkir kereta. Kemudian, mereka jalan beriringan ke rumah pengantin kira-kira 200 meter di hadapan. Sambil itu, mereka rancak berbual melihat kemeriahan majlis. Mereka sedang ketawa ketika tiba-tiba Nabiha terlanggar seseorang. Kedua-duanya jatuh ke tanah.

“Hei, jalan tu tengok la orang.” Seorang lelaki menengkingnya. Manakan tidak, nasi dan air yang dibawa telah tumpah.

“Sorry la, encik.” Nabiha meminta maaf.

“Naik la lori dengan sorry kau.” Lelaki itu berlalu pergi.

“Seronok, Bie?” Gelak tawa Atira masih bersisa.

“Kau ni tak baiklah, Tiy. Aku kena sembur, kau boleh gelak-gelak lagi.” Nabiha menyapu rumput di bajunya.

“Aku ingat kau dah jatuh kolam. Gila hensem mamat tadi tu.” Atira masih sempat memuji.

“Banyak la kau jatuh kolam. Tak layan aku. Hensem tapi biadap. Macam monyet.” Nabiha masih marah.

“Monyet tak hensem, Bie.” Ketawa mereka berderai.

************

“Jauh fikiran, Min.” Teguran Mak Jah mengejutkan Iqram.

Segelas susu dihulurkan dan Iqram menyambutnya. Diletak di sudut meja kerjanya. Mak Jah duduk di katil. Seperti selalu, malam ini dia ditemani Mak Jah lagi. Sekurang-kurangnya untuk menceritakan apa yang dialaminya sepanjang hari. Kalau diharapkan ayah dan ibunya, pasti dia akan kesepian. Mereka selalu sibuk dengan kerja dan perniagaan.

“Tak jauh pun, dalam kawasan KL ni.” Suara Iqram semakin perlahan.

“Dalam maksud ayat kau tu, Min. Kau dah jumpa calon isteri ke?” Mak Jah meneka.

“Calon kekasih la. Pandai la Mak Jah ni. Selalu tahu apa yang saya nak cakapkan.” Iqram hanya tersengih sumbing macam kera.

“Aku yang besarkan kau, Min. Tak payah nak tipu aku.” Mak Jah membidas.

“Min suka dia la, Mak Jah. Entah bila dapat jumpa dia lagi.” Iqram mengharap sesuatu yang tak pasti.

“Bila kau jumpa budak tu?” Mak Jah cuba mengorek rahsia sulit negara.

“Kat kenduri Zakuan anak Datuk Harun petang tadi.” Iqram merenung jauh.

“Berdoalah kepada Tuhan, nak. Hanya kepada Dialah kita berserah hidup dan mati.” Mak Jah bersyarah lagi.

************

‘Macam manalah boleh lambat ni?’ Nabiha tergesa-gesa bersiap untuk ke pejabat. Hari ini dia akan terlewat lagi. Dia harus cepat. Kalau terlalu lewat, pasti akan menjadi mangsa sindiran berapi mulut laser Tan Sri Kamal. Sudahlah dia orang kanan syarikat selaku ketua pegawai pemasaran Kamal Corporation. Yang paling penting, dia perlu menghadiri mesyuarat penting syarikat hari ini. Gigi digosok ala kadar. Mandi pun tidak bersabun. Baju disarung cepat. Sarapan yang disediakan Atira tidak dijamah. Atira hanya menggeleng-gelengkan kepala.

Segera dia memecut kereta mewahnya. Hasil titik peluh bekerja, itulah yang dimilikinya. Asal ada kenderaan menghalang, pasti dihon dengan kuat. Perangkap laju tidak dipedulikan lagi. Bukan sekali dua dia disaman, sudah lali. Namun, dia tetap akan lewat kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Dia melepaskan kemarahan pada stereng kereta. Itulah yang selalu dilakukannya setiap kali lewat. Paling teruk, tangannya akan membengkak. Hon ditekan bertubi-tubi.

Dia berlari ke lif. Teguran selamat pagi oleh para pekerja tidak diendahkannya. ‘Lambat pulak lif ni’. Dia perlu sampai ke tingkat dua puluh. Dia melihat jam. Sudah 9.30 bermaksud mesyuarat sudah berlangsung kira-kira setengah jam. Habislah dia menjadi sasaran bedilan meriam mulut cabul Tan Sri Kamal. Dia memarahi diri sendiri. Apabila lif sampai di tingkat dua puluh, dia tidak menanti dan terus ke bilik mesyuarat.

“Maafkan saya terlewat lagi.” Nabiha segera duduk di kerusinya apabila masuk.

“Saya ingatkan kamu cuti bersalin.” Mahu saja dia mencurah kopi di depan mata ke muka Tan Sri Kamal.

Semua wajah yang terlibat dalam mesyuarat itu memandangnya. Tiada lagi rasa malu di hati kerana ini bukan kali pertama dia terlewat. Sudah beberapa kali ditegur namun dia sendiri tidak mengerti mengapa dia harus terlewat. Dia hanya berpura-pura tidak mengerti. Mesyuarat terus berlangsung sehinggalah di hujungnya, Tan Sri Kamal berdiri bersama seorang lelaki. Lelaki yang dilanggarnya tempoh hari.

“Sekarang saya perkenalkan anak saya yang baru tamat pengajian di Amerika, Iqram Amin. Dia akan menggantikan tempat saya selaku bos besar di syarikat ini. Nabiha, saya mahu kamu berurusan serta merta esok untuk tujuan pemasaran.”

Nabiha tercengang. Senyuman manis Iqram disambut dengan wajah kelatnya.

*********

Pintu bilik diketuk dan sebaik dibenarkan masuk, dia segera melakukannya dan menghempas pintu. Tidak dipedulikan dengan siapa dia berhadapan. ‘Anggap dia macam cicak, dah la kurus kering’ pinta hati Nabiha. Iqram hanya ketawa melihat sikap Nabiha. Ternyata kemarahannya masih berbekas walaupun sudah seminggu peristiwa itu berlalu. Pendendam rupanya minah ni, itulah yang difikirkan Iqram.

“Sila duduk.” Iqram menjemput.

“Tak perlu ajar saya.” Nabiha menghempas fail yang dibawanya.

“Senyumlah sikit, Cik Buta.” Iqram ketawa geli hati. Menawan, gejolak hati Nabiha berkata.

“Jangan panggil saya macam itu, Encik Biadap.” Nabiha cuba memandang ke tempat yang lain.

“Pendendam jugak awak ni. Patutnya awak yang mintak maaf.” Iqram mengemaskan fail di mejanya yang berterabur.

“Cukup sekali. Orang biadap macam encik ni tak layak dapat permintaan maaf.” Nabiha membentak, agak kurang ajar sebagai heroin cerpen ni.

Terkejut Nabiha apabila melihat Iqram bangun dari kerusi dan menuju ke sebelahnya. Iqram melutut tanpa mempedulikan kemungkinan dia akan dipandang staf lain. Jatuhlah standardnya selaku anak Tan Sri Kamal. ‘Aku terpesona’ bisik hati kecil Nabiha melihat tindakan spontan Iqram Amin. Belum pernah Nabiha melihat orang kaya yang mempunyai hati semurni Iqram. Dia telah tertawan.

“Maafkan saya...” Iqram memegang tangan Nabiha tetapi ditepis.

“Ya, saya maafkan encik. Tolonglah bangun. Apa kata staf nanti.” Pandangan Nabiha meliar.

Iqram kembali ke tempat duduknya. Senyuman kepuasan kerana berjaya mencairkan wanita idaman di hadapannya. Sudah lama dia mencari di manakah gadis yang menakluk hatinya semasa kenduri itu. Selepas pulang, dia menyesal kerana menengking gadis itu dan berhajat memohon maaf. Hari ini cita-citanya tercapai dan doanya dimakbulkan.

“Janganlah berencik-encik dengan saya. Panggil Min saja dah cukup.” Iqram Amin memulakan semula perbualan dan menghulur salam persahabatan.

“Nabiha... Nabiha Syahira.” Ringkas balasan Nabiha tetapi tidak menyambut salam yang dihulurkan.

“Sebagai balasan atas nasi dan air saya yang tumpah, saya nak nombor telefon awak.” Pandangan mereka bersatu.

**********

“Sedap tak?” Iqram terus menyuap makanan.

“Dengan Min semuanya sedap.” Nabiha tersenyum.

Sudah tiga bulan berlalu sejak mereka bersua muka di pejabat Iqram. Dia tidak pernah menyangka hubungan mereka akan serapat ini. Tetapi apakan daya. Mana mungkin dia tidak tertawan dengan kelembutan, keramahan, kesopanan dan kehebatan Iqram. Iqram seorang yang puitis, romantis, baik hati, penyayang dan memiliki ciri-ciri lelaki idamannya. Tetapi mereka belum ada sebarang ikatan. Masih sahabat, teman tapi mesra.

“Buka mulut.” Mana mungkin dielak suapan Iqram. Nanti apa kata pelanggan restoran mewah itu yang lain. Senyuman mereka serentak.

Itulah yang menyenangkan hatinya setiap kali bersama Iqram. Nabiha akan dilayan seperti puteri raja dari kayangan. Sudah lama dia tidak merasakannya. Kali terakhir bersama Azim suatu masa dulu. Tapi sayang, Azim curang. Dia harus melupakannya. Sesekali pandangan mereka bersatu, pasti senyuman terukir. Dia tidak tahu, apa mimpi Iqram mengajaknya makan di restoran mewah malam ini. Selalunya mereka akan makan di hotel yang menjadi tempat kebiasaan mereka. Tiba-tiba ada panggilan di handphonenya.

“Hello!”

Sebak hati Nabiha. Lima minit perbualan yang penuh duka. Tidak sanggup dia mengherdik insan yang pernah bertakhta di hatinya itu. Azim memohon untuk kembali. Namun dia tidak mahu. Dia tidak ingin dilukai lagi. Tetapi dia akui, dia masih sayangkan Azim. Tidak pernah ada lelaki lain sejak dia berpisah dengan Azim. Hinggalah kemunculan Iqram dalam hidupnya. Perasaannya bercampur baur. Perlukah dia menerima semula kehadiran Azim? Atau perlukah dia mengecewakan hati yang pernah dicintainya itu? Kecurangan Azim benar-benar mengguris perasaannya.

Pertanyaan Iqram bertalu-talu tidak dilayan langsung. Dia ingin menenangkan perasaan. Dia berlari ke kolam renang di luar restoran. Dia duduk di satu kerusi yang kosong. Langsung tidak menghiraukan panggilan Ikram semasa dia berlari tadi. Nabiha sedar Iqram menghampiri namun dia belum bersedia untuk bersoal jawab dengan Iqram. Biarlah Iqram memahami perasaannya sendiri. Dilihat susunan lilin “I LOVE YOU” di kolam. Romantik sungguh, tetapi dia tidak sempat menghayati keindahan itu.

“Kenapa Biha nangis?” tanya Iqram perlahan.

“Azim nak kembali.” Air mata Nabiha makin lancar dan Iqram, hadir di sisi untuk meminjamkan bahunya.

Beberapa minit berlalu, lencun bahu Iqram dek penangan air mata Nabiha. Iqram hanya merelakan bahunya dipinjam oleh insan tersayang. Dia tidak menyangka susunan lilin di kolam khas untuk Nabiha dilihat lebih awal. Dia harus melamar secepat mungkin. Dia harus. Sebelum Nabiha bertanya, dia harus memulakannya. Dia lelaki sejati. Pantang keturunannya menyerah sebelum bertarung.

“Lupakanlah dia, Biha.” Itu yang mampu diucapkan Iqram.

“Ya, Min. Cantik kan susunan lilin tu.” Kepala Nabiha diangkat dan cuba mengalih topik perbualan mereka.

Inilah masa yang paling sesuai. Iqram menarik tangan Nabiha dari tempat duduk mereka ke tepi kolam. Dia memberi isyarat kepada seorang lelaki dan terdengarlah bunyi tembakan. Bunga api memancar ke ruang langit. Tertulis perkataan, ‘Iqram Amin sayang Nabiha Syahira’. Air mata Nabiha menitis lagi. Dia menekup mulut kerana terharu. Sungguh romantis jiwa Iqram. Dia menggenggam erat tangan lelaki itu.

“Sudikah Biha menjadi kekasih Min?” Iqram melutut di sisinya dengan sejambak bunga yang diberikan oleh seorang pelayan.

Nabiha sekadar menarik tangan Iqram untuk bangun dan menghadiahkan senyuman paling manis ke dalam mata jejaka itu. Hanya itu yang mampu dilakukan tanda persetujuannya. Sejambak mawar merah bertukar tangan. Tepukan gemuruh kedengaran. Tidak disangkanya ramai penonton yang menyaksikan drama itu. Seingatnya, tadi kolam itu kosong. Ini pasti kerja buah hatinya, Iqram Amin. Dia mencubit manja tangan Iqram.

*********

“Aku nak kau tinggalkan Iqram.” Itulah amaran Sarah petang tadi.

“Takkan sama sekali!” Nabiha berkeras.

“Kau akan menyesal!” Sarah tersenyum sinis.

Panas sungguh rasa hati Nabiha. Sarah mengugut untuk mencederakan Iqram jika Nabiha berdegil. Mana mungkin hati kecilnya sanggup menerima berita kecelakaan menimpa Iqram yang disayanginya. Dia rela berkorban dan meninggalkan Iqram demi keselamatan kekasihnya itu. Dia bercadang untuk bercuti dan menenangkan perasaan di Pulau Langkawi.

“Kau dah nekad, Bie?” Atira pula memujuknya supaya tidak pergi.

“Aku tak rela jadi apa-apa dekat Min. Aku sayang dia, Tiy.” Nabiha menangis lagi.

“Kita lodge police report nak?” Atira mencadangkan sambil memegang tangan Nabiha.

“Sarah tu gila, Tiy. Aku takut dia bunuh Min. Aku tak nak.” Sebak beraja di hati Nabiha. Dia menangis di pangkuan Atira.

“Tak perlulah sampai membawa diri, Bie. Aku rayu kat kau.” Atira cuba memujuk lagi.

“Kau kawan baik aku kan, Tiy? Aku mintak tolong sangat. Janganlah bocorkan rahsia aku dekat Min.” Nabiha menangis teresak-esak.

“Tapi..” Atira belum sempat mengakhiri ayatnya.

“Please, Tiy... Kau kawan baik aku.” Nabiha terus mengalirkan air mata.

“Macam budak kecik. Iyalah, aku janji.” Janji termeterai dan Nabiha memeluk sahabat baiknya.

*********

Sudah dua minggu dia menyimpan dukanya sendirian. Rindu pada Iqram sudah tidak mampu ditanggung Nabiha. Namun dia tidak rela membunuh kekasihnya itu. Biarlah Sarah memiliki Iqram tetapi dia tidak sesekali akan bercinta lagi. Dia berjanji pada dirinya sendiri, ini kali terakhir. Cinta yang dianyam kini musnah kerana nenek sihir itu. ‘Sarah, aku benci kau!!!’ hati Nabiha menangis. Hanya dia dan Tuhan yang mengetahui tangisan jiwanya saat itu.

Dia berjalan di tepi pantai dengan perasaan rindu bersulam benci. Dia rindu akan Iqram dan benci akan Sarah. Mengapa cinta dia dan Iqram harus diuji? Malam ini bintang bergemerlapan. Tetapi di manakah bintang hatinya yang paling terang. Walaupun dia cuba menjauhkan diri, tetapi dia mengharapkan Iqram ada di sisinya saat itu. Menemaninya kala dia kesepian. Tapi dia sedar semuanya hanya mimpi yang tak sudah.

“Dunia ini terlalu kejam.” Nabiha menjerit. Tidak dihiraukan reaksi tetamu pantai yang lain.

“Tidak!” Suara nakal seperti itu malas hendak dilayannya.

“Iqram Amin, di manakah kau?” Nabiha menjerit lagi sekadar memuaskan hatinya.

“Aku di sini, sayang!” Dia berpaling.

Dia seperti tidak percaya. Baru dia sedar suara yang sama menjawab kata-katanya tadi. Air matanya begitu mudah menitis dan tumpah lagi. Melihat Iqram yang dicintainya itu hadir saat dia memerlukan sangat mengharukan. Iqram berdiri di sisi Atira. ‘Jagalah kau, Tiy!’ hatinya mengancam Atira. Tetapi sudut lain hatinya memuji kewajaran tindakan Atira itu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana melepaskan rindu kepada Iqram.

Iqram berlari ke arahnya dan dia melakukan perkara yang sama hinggalah mereka berhadapan lagi. Dia berasa selamat dalam renungan Iqram. Mana boleh peluk, haram woo... Dia tidak mahu saat ini berakhir. Dia mahu selamanya di sini. Cinta mereka bersatu lagi disaksikan bintang-bintang dan rembulan mengambang penuh. Atira menghampiri mereka. Dia melepaskan pandangan Iqram dan memeluk Atira.

“Tiy yang bagitahu ke mana Biha lari.” Iqram tersenyum. Ketika itu, Atira sudah berlalu dan lidah Nabiha kelu untuk berbicara.

“Maafkan Biha.” Nabiha cuba untuk berbual.

“Biha tak salah pun.” Iqram juga berasa janggal. Dulu mereka sangat mesra.

“Biha cuma nak Min selamat.” Nabiha membalas. Mereka sedang berbaring di pasir pantai.

“Sarah kemalangan.” Iqram menceriakan Nabiha.

“Jangan biarkan Biha terkapai lagi..” Genggaman tangan mereka bersatu tanpa dipaksa, bukan atas kerelaan mereka.

Nabiha dan Iqram terus bahagia. Cinta mereka kembali diikat di bawah sinaran bulan dan bintang seperti mana cinta mereka disatukan dalam suasana yang sama suatu masa dahulu. Kenangan itu singgah di benak fikiran Nabiha dan dia tersenyum lagi. Iqram pula senang melihat senyuman buah hati pengarang jantungnya yang dirinduinya. Dua minggu masa yang diambil untuk membuka mulut Atira membocorkan rahsia.

“Min janji takkan tinggalkan Biha, cinta kenduriku...” Mereka ketawa bahagia bersama.

No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif