Welcome To My Life...

Sunday, November 30, 2014

Ceria 2

Assalamualaikum.

Bahagian 2.

----------------------------------
MANCHESTER UNITED 3-0 HULL CITY


Pasukan kegemaran aku sejak kecil, Manchester United, beraksi di gelanggang sendiri. Theatre of Dreams, Old Trafford. Pengurus Louis Van Gaal berdepan krisis kecederaan terutama di barisan pertahanan dengan kehilangan beberapa pemain utama. Barisan yang diturunkan masih kuat. Formasi 3-5-2. David De Gea; Chris Smalling, Michael Carrick, Marcos Rojo; Antonio Valencia, Marouane Fellaini, Juan Mata, Angel Di Maria, Ashley Young; Wayne Rooney, Robin Van Persie.

Valencia dan Young beraksi di bahagian sayap. Fellaini dan Di Maria mengawal jentera tengah dengan Mata beraksi di belakang gandingan penggempur berkembar Rooney-RVP. United bernasib baik untuk menang dalam perlawanan menentang Arsenal sebelum ini walaupun pihak lawan menguasai permainan. Namun United mendominasi perlawanan menentang Hull dari sepak mula sehingga wisel terakhir.

Serangan bertali arus dilancarkan ke kubu lawan dan hanya masa yang menentukan bila masanya gawang Hull akan dibocori. Masalah kecederaan pemain United bertambaha apabila Di Maria berhenti berlari dan memegang pahanya ketika permainan belum pun mencecah usia 20 minit. Namun penggantinya, Ander Herrera tak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan.

United mendapat gol pendahuluan selepas sepakan penjuru Rooney menimbulkan keadaan kacau bilau di depan gawang Hull. Bola gagal dikeluarkan dan penjaga gol menolak bola tepat kepada Smalling yang menyepak. Penjaga gol cuba menahan. Pengadil melihat jam tangannya untuk mendapatkan kepastian dan teknologi garisan gol mengesahkan sepakan Smalling telah melepasi garisan. Kali pertama United mendapat manfaat daripada teknologi baru ini.

Malam tadi aku dapat menonton perlawanan live streaming tanpa tersekat-sekat. Kali pertama sejak sekian lama. Aku dapat menikmati permainan cantik dan kemas para pemain United. Mereka bertukar-tukar hantaran dan sabar membina serangan. Gol kedua United sangat menarik. Mata melakukan hantaran lambung yang ditanduk Herrera kepada Van Persie. Bola dihantar kepada Rooney yang melencongkan bola ke penjuru bawah untuk meneruskan prestasi cemerlang di peringkat kelab dan antarabangsa.

Sebelum itu Robin Van Persie mempunyai peluang untuk menjaringkan gol tetapi sepakannya tepat kepada penjaga gol. Namun Van Persie gagal disekat untuk menjaringkan gol ketiga apabila Herrera merampas bola di kawasan lawan sebelum melorongkan kepada rakan sepasukannya. Van Persie membawa bola ke kaki kirinya sebelum merembat kencang dari luar kotak penalti ke penjuru atas dan mengangkat tangannya tanda puas hati. Van Persie dikritik hebat dan dikatakan aksinya dalam pemerhatian. Gol itu membuktikan dia masih berbisa dan berharga.

Manchester United mencatat kemenangan liga ketiga berturut-turut untuk kekal dalam kelompok empat pasukan terbaik. Mereka perlu sekurang-kurangnya mengekalkan kedudukan itu untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan. Aksi malam tadi adalah yang terbaik ditampilkan pasukan bimbingan Van Gaal musim ini. United perlu mengatasi Stoke dalam perlawanan pertengahan minggu sebelum menghadapi pasukan tangga kedua Southampton hujung minggu nanti.

Para pemain United mula menampakkan keserasian. Walaupun berdepan senarai panjang pemain yang cedera, Van Gaal berjaya membentuk satu pasukan yang masih kuat dibarisi bintang-bintang berkelas dunia. Apabila Ander Herrera dan Adnan Januzaj hanya memanaskan bangku simpanan, semua pasti tahu betapa berkualiti barisan utama United.

No Di Maria, no problem.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif