Welcome To My Life...

Sunday, November 30, 2014

Ceria

Assalamualaikum.

Bahagian 1.

Semalam adalah hari Sabtu yang menceriakan bagi aku. Dan juga produktif. Banyak kerja yang diselesaikan semalam walaupun masih ada satu tugasan yang membawa markah untuk penilaian tahun kedua. Sebenarnya aku baru saja ada ruang untuk bernafas setelah menghabiskan beberapa tugasan penting. Dua perlawanan pasukan bola sepak kegemaran aku berlangsung semalam dan kedua-duanya menang. ^_^

-------------------------------

MALAYSIA 3-1 SINGAPURA


Aku tonton siaran langsung perlawanan terakhir Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 ini bersama rakan serumah. Perlawanan bermula jam 8 malam. Perlawanan penting yang menentukan nasib pasukan Harimau Malaya. 'Misi mesti menang' untuk menjadi naib juara kumpulan dan mengiringi Thailand yang sudah pun layak selaku pemenang selepas menewaskan Singapura dan Malaysia dalam dua perlawanan awal. 

Singapura ada pilihan untuk seri dan memilih strategi 'permainan tertutup' dengan bertahan sebaik mungkin. Malaysia melancarkan serangan demi serangan bertali arus dengan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi hanya sekadar menjadi pemerhati dalam separuh masa pertama.

Singapura memulakan babak kedua dengan cuba mencari gol yang akan menyukarkan peluang Malaysia untuk mara. Namun, selepas percubaannya terkena palang dalam babak pertama, Safee Sali tidak mensia-siakan peluang meletakkan Malaysia dengan rembatan padu berbisa selepas detik sejam untuk menutup mulut pengkritik.

Malaysia terus mencari gol kedua untuk selesa di depan tetapi melepaskan peluang demi peluang. Aku resah kerana satu gol saja cukup untuk menghancurkan impian Malaysia. Dan gol yang aku sudah jangka itu tiba jua selepas berkali-kali peluang diberikan kepada Singapura. Khairul Fahmi beraksi cemerlang sepanjang perlawanan di gawang Malaysia tetapi gagal menangkap sepakan percuma pemain lawan dan Khairul Amri pantas menyambut bola muntah tersebut. Entah kenapa, aku masih belum kecewa kerana Malaysia masih ada masa untuk respons.

Aku membesar dengan percaya adanya keajaiban dan aku yakin Singapura masih belum layak selagi wisel penamat tidak dibunyikan. Memasuki masa kecederaan, masih tidak ada tanda-tanda keajaiban akan menjadi realiti. Sebaliknya, Singapura mendapat beberapa lagi sepakan percuma tidak jauh dari kotak penalti Malaysia. Dan Khairul Fahmi beberapa kali menjadi penyelamat. 

Aku ada memberitahu rakan serumah bahawa tuah kemenangan lewat mungkin menjadi milik Malaysia selepas sepakan Safee terkena tiang dan Gary Steven Robbat mendapat kad kuning untuk perlanggaran tidak sengaja dengan pemain lawan. Akhirnya, doa itu termakbul jua. Malaysia mendapat sepakan penalti dalam masa kecederaan walaupun aku tidak melihat sebarang insiden. Dan aku terkejut apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti. Rasa bersyukur sangat-sangat. Ulang tayang menunjukkan Amri Yahyah dikasari. 

Safiq Rahim bersedia untuk mengambil sepakan dengan harapan menggunung rakyat Malaysia untuk melihat Harimau Malaya mara terbeban di bahunya. Jika dia gagal, Malaysia akan tersingkir dengan keputusan seri. Kekuatan mental sangat penting dalam situasi getir sebegini. Bukan semua pemain mampu mara dan menggalas tanggungjawab dengan risiko besar dipersalahkan sepanjang hayat. Dan.... Safiq tenang meletakkan Malaysia kembali di depan. Belum selesa tetapi Malaysia hanya perlu bertahan.

Singapura melancarkan serangan untuk mendapatkan gol yang akan meranapkan perasaan seluruh rakyat Malaysia. Mereka mendapat sepakan penjuru di saat-saat akhir permainan dan penjaga gawang Hassan Sunny mara untuk cuba menjaringkan gol penting. Khairul Fahmi menolak bola dari sepakan sudut itu dan beberapa pemain Malaysia menjauhkan bola dari kotak penalti Malaysia.

Indra Putra Mahayuddin mendapat bola di tengah padang dan menolak bola jauh ke depan. Pintu gawang terbuka luas kerana penjaga gol masih di kawasan Malaysia. Aku mahu Indra Putra merembat dari tengah padang sebelum itu tetapi keputusannya tepat. Pengalaman luas dimiliki Indra menyaksikan dia menyepak tenang untuk gol yang memusnahkan sebarang peluang Singapura. 3-1. Memang gol itu nampak mudah tetapi 70% pemain akan gagal menjaringkan gol itu. Sepakan Indra tepat ke sasaran.

Penyokong tuan rumah kecewa. Ini kali kedua dalam edisi 2014 Singapura tewas lewat permainan. Sebelum ini Thailand menewaskan mereka 2-1 juga di hujung perlawanan. Juara bertahan tersingkir di laman sendiri. Juara baru akan ditabalkan. Harimau Malaya mempunyai dua perlawanan untuk mara ke final. Sebelum impian itu menjadi kenyataan, mereka perlu melepasi Vietnam pada 7 Disember dan 11 Disember. 

Ayuh Harimau Malaya! Malaysia boleh!

-------------------------

-BERSAMBUNG-



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif