Welcome To My Life...

Saturday, November 21, 2015

Brilliant Victory

Assalamualaikum.

Glory glory Manchester United!

Pasukan kegemaran aku baru saja memenangi perlawanan Liga Perdana Inggeris sebentar tadi. Beraksi di tempat lawan, Manchester United menumbangkan Watford 2-1. Walaupun menjaringkan gol di awal babak pertama dan mendahului sepanjang perlawanan, sepakan penalti yang diperoleh lewat di hujung permainan hampir memberikan satu mata bertuah buat Watford yang tidak ada bezanya seperti merompak dari yang berhak. Namun, tuah bersama United. 

United memulakan perlawanan tanpa beberapa bintang utama. Anthony Martial, Wayne Rooney, Michael Carrick, dan Marouane Fellaini, tidak cergas untuk beraksi. Memphis Depay yang sekian lama memanaskan bangku simpanan kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama selaku penyerang tunggal. Juan Mata, Ander Herrera, dan Jesse Lingard membentuk gandingan tiga serangkai di belakang Depay. Kepercayaan pengurus, Louis Van Gaal, dibalas Depay apabila penyerang itu menjaringkan gol pembukaan United.

Selepas gol itu, United tidak berdepan banyak masalah menguasai permainan seperti biasa. Manchester United dan penguasaan bola sangat sinonim musim ini dengan Van Gaal menerapkan corak membina serangan secara perlahan. Namun sesekali Watford mara menduga kemampuan penjaga gawang United, David De Gea. Keputusan 1-0 kekal sehingga tinggal beberapa minit lagi untuk tamat masa permainan sebenar. Marcos Rojo mengasari pemain lawan dan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah.

Troy Deeney menyempurnakan sepakan tersebut untuk menceriakan penyokong Watford. Para peminat United merasakan satu mata yang akan dikutip Watford seperti dicuri dari mereka kerana United telah mendahului hampir keseluruhan perlawanan. Itulah peraturan permainan bola sepak di mana pemenang perlawanan bukan ditentukan oleh pasukan yang lebih banyak menguasai bola. United gagal menterjemah serangan kepada gol dan dosa mereka itu wajar dihukum.

Masih ada sedikit masa untuk drama. United tidak berhenti memburu gol seperti kebiasaan sebaliknya mencari gol kemenangan. Gol berharga yang dicari itu berjaya ditemui dalam masa kecederaan apabila Bastian Schweinsteiger pantas menyambar bola muntah yang ditepis penjaga gawang Watford. Schweinsteiger melakukan hantaran lintang yang ditampan penjaring gol Watford (Deeney) ke gawang sendiri. United mendahului buat kali kedua dengan baki masa kurang dua minit sebelum wisel penamat ditiupkan.

Akhirnya, kemenangan berharga di tempat lawan menjadi milik Manchester United. Mereka kini di takhta liga buat seketika sebelum Arsenal bertembung dengan West Brom, manakala Manchester City berdepan cabaran Liverpool. Perjalanan masih panjang, dan juara hanya akan ditabalkan pada bulan Mei. Namun United kini berada dalam posisi baik untuk merebut kejuaraan liga.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif