Welcome To My Life...

Monday, July 31, 2017

Valerenga

Assalaualaikum.

Perlawanan jelajah kedua terakhir bagi United.

Valerenga 0-3 Manchester United

Senarai pemain:
Romero; Darmian (Tuanzebe), Bailly (Lindelof), Jones (Smalling), Blind (Fosu-Mensah); Carrick (Herrera), Fellaini (Andreas Pereira), Pogba (McTominay); Mkhitaryan (Martial), Mata (Mitchell), Rashford (Lukaku)

Menjelang perlawanan Piala Super UEFA menentang Real Madrid tidak lama lagi, Mourinho menurunkan barisan yang kuat untuk menghadapi lawan di Oslo, Norway. Gandingan bek tengah Bailly-Jones memulakan perlawanan diapit Darmian dan Blind. Carrick-Fellaini-Pogba membentuk barisan tengah ampuh untuk trio serangan Mkhitaryan-Rashford-Mata. United mendominasi perlawanan seperti dijangka, tetapi gol yang ditunggu tak kunjung tiba. 

Selepas sepakan percumanya terkena benteng pertahanan, Pogba melakukan satu percubaan cantik yang terkena tiang. Pogba dan palang begitu sinonim musim lepas, apabila palang beberapa kali menghalang Pogba dari berada dalam senarai penjaring. Akhirnya, hasil hantaran silang Mkhitaryan, tandukan Fellaini terbias pertahanan lawan dan masuk ke gawang untuk gol pertama United. Satu bukti kegunaan Fellaini ketika tersebar khabar angin Fellaini sedang dirisik kelab Galatasaray.

Tamat separuh masa. Mourinho menukar formasi di separuh masa kedua, dari 4-3-3 kepada 3-5-2. Mourinho juga menukar semua pemain selain penjaga gol. Gandingan tiga pertahanan Tuanzebe-Lindelof-Smalling dipilih. Dua bek sayap ialah Fosu-Mensah (kanan) dan Mitchell (kiri). Jentera tengah dikawal Herrera-Pereira-McTominay. Martial dan Lukaku mengawal jentera serangan.

Hanya dua minit yang diperlukan Lukaku untuk menambah koleksi golnya. Sepakan penjuru Andreas Pereira ditanduk kencang untuk meletakkan United dalam kedudukan selesa. Dua pemain terakhir yang kekal dari separuh masa pertama, Pogba dan Romero, digantikan oleh Scott McTominay dan Joel Pereira. Semua kesebelasan utama telah diganti. 

McTominay menyinar. Gol ketiga diledak cantik. Pemain tinggi lampai berkulit putih ini hampir menjaringkan gol kedua peribadi dan gol keempat United tetapi sepakan lemahnya ke arah gawang terbuka berjaya disekat pertahanan lawan. Namun, bakat McTominay tidak boleh dilepaskan Mourinho. Pemain ini mesti dikekalkan untuk masa depan yang gemilang.

------------------------------------------------

Khabar angin bertiup sebelum perlawanan. Matic sedang menjalani ujian perubatan di padang latihan United. Wakil kelab Galatasaray pula mengatakan mereka sedang berunding untuk membeli Fellaini. Mourinho tidak menafikan tentang Matic, dengan menyatakan dia hanya mahu bercakap tentang perkara yang 'rasmi'. Mourinho juga menolak khabar tentang Fellaini dengan menegaskan kepentingan Fellaini untuknya.

United akan menghadapi perlawanan terakhir jelajah menentang Sampdoria awal pagi Khamis nanti (2.45 pagi waktu Malaysia). Mourinho pasti mengharapkan keputusan positif sebelum turun berdepan juara bertahan Eropah, Real Madrid.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif