Welcome To My Life...

Tuesday, July 25, 2017

Menang Penalti

Assalamualaikum.

Pemenang Liga Juara-Juara Eropah bertembung dengan pemenang Liga Europa. Bayangan perlawanan Piala Super UEFA pada 8 Ogos nanti yang akan menemukan dua pasukan ini sekali lagi.

Manchester United 1-1 Real Madrid
*United menang penentuan sepakan penalti 2-1

Satu perlawanan yang sangat aneh. Jarang sekali penentuan sepakan penalti berakhir dengan jumlah jaringan yang begitu sedikit. 

Senarai pemain (4-3-3):
Romero (De Gea); Fosu-Mensah (Blind), Bailly (Smalling), Jones (Lindelof), Darmian (Valencia); Carrick (Herrera) ((McTominay)), Fellaini, Andreas Pereira (Pogba); Martial, Rashford (Lukaku), Lingard (Mkhitaryan)

Jose Mourinho tegar dengan prinsipnya untuk memberikan masa permainan yang adil kepada semua pemain untuk membuktikan keupayaan mereka. Walaupun menentang pasukan sebesar Real Madrid yang merupakan juara bertahan benua Eropah, Mourinho tetap merehatkan nama-nama utama seperti Henrikh Mkhitaryan, Paul Pogba, Antonio Valencia, David De Gea, dan Romelu Lukaku.

Namun kesebelasan pilihan Mourinho tetap hebat. Memilih formasi 4-3-3. Tiga pemain tengah yang diberi kepercayaan mengawal jentera tengah ialah Michael Carrick (kapten), Marouanne Fellaini dan Andreas Pereira. Trio serangan pula dibarisi Anthony Martial, Marcus Rashford, dan Jesse Lingard. Gandingan tiga serangkai yang sangat pantas.

Gol pertama perlawanan dijaringkan Lingard yang mudah menampan masuk hantaran Martial. Cara Martial melakukan hantaran tersebut memukau seluruh dunia. Larian Martial memecah masuk dari sayap kiri menewaskan lima orang pemain hasil skil menggelecek yang sangat luar biasa. Lingard mendapat gol yang sewajarnya selepas permainan yang cemerlang.

Lapan pertukaran dilakukan di awal babak kedua: David De Gea, Chris Smalling, Victor Lindelof, Daley Blind, Ander Herrera, Paul Pogba, Henrikh Mkhitaryan, dan Romelu Lukaku. Herrera bertahan tidak sampai sepuluh minit kerana dikasari dan digantikan oleh Scott McTominay. Beberapa peluang dicipta pemain tengah yang masih muda ini. Hantaran silang cantik McTominay kepada Fellaini sepatutnya disudahkan dengan baik tetapi Fellaini gagal. Valencia menjadi pertukaran terakhir, masuk menggantikan Darmian.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga wisel akhir ditiupkan.

-----------------------

Penentuan sepakan penalti:

Manchester United (2)
Anthony Martial (x)
Scott McTominay (x)
Henrikh Mkhitaryan (/)
Victor Lindelof (x)
Daley Blind (/)

Real Madrid (1)
Mateo Kovacic (x)
Oscar Rodriguez (x)
Luismi Quezada (/)
Theo Hernandez (x) [miss to side]
Casemiro (x) [hit crossbar]

Tiada masa tambahan selepas tamat masa permainan sebenar. Format pertandingan menjadikan sepakan penalti sebagai penentu kemenangan. Pemain yang memukau dengan bantuan gol cantik kepada Lingard iaitu Anthony Martial menjadi pemain pertama mengambil sepakan dan gagal; sepakannya tinggi melepasi palang gol. Martial lega kerana De Gea menghalang sepakan Kovacic. Sepakan McTominay juga ditepis Kiko Casilla sebelum De Gea sekali lagi menjadi wira, menyekat sepakan Oscar.

Pemain kelima yang mengambil sepakan, Mkhitaryan meletakkan United di depan. Quezada pantas menyamakan kedudukan. Lindelof yang menghadiahkan sepakan penalti dalam masa permainan sebenar, gagal pula menyempurnakan peluangnya, sepakannya terlalu dekat dengan Casilla. Lindelof bernasib baik apabila Hernandez yang dikasarinya dalam 90 minit permainan, menyepak ke sisi gawang United. 1-1 selepas lapan sepakan.

Blind mengambil sepakan kesembilan dan terakhir untuk United. Blind memilih tepat ke tengah untuk menewaskan Casilla, sebelum Casemiro yang menyamakan kedudukan dalam masa sebenar menerusi sepakan penalti, gagal menjadi penyelamat sekali lagi. Sepakan Casemiro terkena palang dan Manchester United menang 2-1 selepas tujuh sepakan penalti gagal.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif