Welcome To My Life...

Sunday, July 23, 2017

Reviu 'Dunkirk'

Assalamualaikum.

Christopher Nolan sememangnya terkenal dengan karya-karya hebat seperti trilogi 'Batman', filem 'Memento', 'Inception', dan 'Interstellar' yang mencapai kutipan untung sangat hebat di seluruh dunia. Nolan kembali dengan filem terbarunya, 'Dunkirk' yang layak ditarafkan mahakarya.

Rating peribadi: 10/10

Latar belakang
Pertempuran Dunkirk (26 Mei-4 Jun 1940) adalah kisah benar semasa Perang Dunia Ketiga yang berlaku di Dunkirk (Perancis) antara British/Perancis menentang tentera Jerman. Askar British (British Expeditionary Force) dan Perancis diserang sehingga terpaksa berundur ke tepi laut di Dunkirk. 'Dunkirk Evacuation' adalah peristiwa penting dalam sejarah Perancis dan England. Jarak pantai Dunkirk d Perancis hanya kurang 40 kilometer dari England dan dua negara ini dipisahkan oleh Selat Dover. 

Seramai 400,000 askar British yang terperangkap di pantai Dunkirk boleh melihat tanah air mereka tapi kapal perang tidak dapat menghampiri tepi pantai kerana kurang kedalaman. Operasi Dynamo dilancarkan Presiden, Winston Churchill ketika askar-askar Perancis sedang bertempur dengan askar-askar Jerman di Lille. 

---------------------------

Filem Nolan biasanya sukar difahami kerana pengarah ini tidak suka bercerita dengan jalan cerita yang lurus dan mudah diramal. Nolan lazimnya dalam filem-filem beliau akan menggunakan jalan cerita tidak linear dan membuat otak penonton bekerja. Sama juga dalam filem Dunkirk ini, Nolan memberikan klu yang jika disedari, akan memudahkan penonton memahami jalan cerita. Aku terfikir juga semalam tentang klu-klu yang diberikan tapi gagal untuk mencari kaitan. Hari ini, ia jelas, terang, dan nyata.

Seminggu di jeti
Tentera British terpaksa menunggu bantuan tiba. Mereka sudah terkepung. Serangan tentera Jerman mengundurkan mereka dan tentera Perancis hingga ke tepi pantai Dunkirk. Kedalaman pantai itu tidak cukup untuk kapal perang British bergerak hampir ke tepi. Bot dan kapal lebih kecil terpaksa dihantar. Watak Kolonel dalam filem ini menyatakan sasaran mereka untuk dibawa pulang hanya 40,000 sedangkan jumlah askar yang ada hampir 400,000. Keadaan tidak aman dengan tentera Jerman menggunakan jalan udara atas arahan Presiden Hitler. 

Sehari di laut
Sebaik seruan dilakukan kepada masyarakat awam untuk membantu membawa pulang tentera, sebanyak hampir 700 buah bot/kapal (The Little Ships of Dunkirk) untuk membantu misi menyelamat. Salah satu karakter orang awam dalam filem ini ialah watak Encik Dawson yang membawa bot bersama anaknya dan seorang lagi lelaki, George. Mereka bergerak bersama kapal-kapal lain dalam walaupun kacau bilau di laut dengan serangan udara dari pihak Jerman.

Sejam di udara
Garis masa di udara hanya sejam antara kapal-kapal terbang Luftwaffe dan kapal-kapal terbang Spitfires. Jerman melakukan serangan udara untuk menggagalkan Operasi Dynamo. Hanya tiga kapal terbang ditunjukkan dalam filem ini (skuad Fortis). Aspek altitud dan minyak begitu ditekankan. Dogfight antara juruterbang Luftwaffe dan Spitfires berulang-ulang. Babak kapal terbang Fortis 2 membuat pendaratan kecemasan kerana ditembak sangat menarik. Begitu juga babak Fortis 1 mendarat biasa selepas kehabisan minyak. Kapal terbang Spitfires ini sememangnya stabil walaupun kehabisan minyak (satu fakta yang disampaikan dengan sangat baik oleh Nolan).

Dunkirk yang sempurna
Tiga jalan cerita di jeti, laut, dan udara diadun dengan sangat baik sehingga menjadi satu mahakarya yang mengagumkan. Moral yang cuba disampaikan Nolan begitu mudah: bahawa tentera dan masyarakat awam saling memerlukan. Jika biasanya tentera yang menyelamatkan masyarakat awam, sejarah Operasi Dynamo ini menyaksikan sebaliknya berlaku.

Satu kekuatan filem Dunkirk adalah kurangnya dialog yang dituturkan. Nolan menggunakan kekuatan visual untuk menceritakan sejarah besar British ini. Bahasa filem aras tinggi ini adalah 'show but don't tell'. Nolan tidak menyuap penonton satu-persatu tapi mahu otak penonton bekerja.

Nolan juga sangat terperinci dalam ketepatan fakta sejarah. Filem ini majoritinya tentang tentera, laut, pantai, dan udara. Askar-askar Nazi Jerman tidak kelihatan kerana pada ketika ini mereka sedang bertempur di Lille dengan tentera Perancis. Itu juga sebabnya majoriti askar di pantai ialah askar British.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif