Welcome To My Life...

Friday, July 7, 2017

Reviu 'Spiderman: Homecoming'

Assalamualaikum.

*AMARAN: entri penuh dengan spoiler!

Malam tadi aku diberikan kesempatan untuk menonton filem adiwira 'Spiderman: Homecoming' yang baru ditayangkan di Malaysia. 

Rating: 9/10

AKSI

Filem ini tidaklah padat dengan aksi dari awal sehingga akhir. Babak aksi aku kira sudah cukup memadai. Kesan khas aku kira bagus walaupun di mata aku teknologi dalam filem ini seperti melampau. Teknologi canggih yang terpaksa dihadapi oleh lelaki labah-labah (baca: Spiderman) amat luar biasa. Babak-babak aksi ini sudah semestinya tidak realistik tetapi sederhana untuk mengujakan.

CINTA

Tiada Spiderman tanpa heroinnya. Watak heroin dalam filem ini bukanlah seorang yang berkulit putih tetapi seorang yang berkulit agak gelap dan bernama Liz. Peter Parker meminati Liz tetapi tidak mempunyai keberanian untuk melafazkannya (sehingga hujung filem!). 

Malangnya, bagi aku yang romantis, layanan hero (Peter Parker) terhadap Liz dalam filem ini sangat tidak memuaskan. Pengakhiran kisah Peter dan Liz juga sangat tidak menyenangkan. Diulang, sangat menjengkelkan.

PLOT TWIST

Spoiler! Spoiler!! Spoiler!!! Menarik sekali plot twist yang digunakan dalam filem ini. Sedang asyik Peter menyayangi Liz dan berjaya mengajak Liz sebagai pasangan ke parti homecoming di sekolah mereka, dan ketika datang ke rumah Liz untuk menjemput Liz ke parti itu, Peter mendapati ayah Liz ialah musuh yang dihadapinya dari awal filem.

RUMUSAN

Secara ringkasnya, filem ini berkisar tentang cubaan Peter Parker dalam Program Intern Stark (Ironman) di mana Peter sangat amat teringin untuk menyertai pasukan Avengers. Kisah utama sepanjang filem ini adalah usaha Peter untuk menambat hati Tony Stark. Peter mengambil langkah berani untuk berseorangan menentang watak antagonis yang menggunakan teknologi canggih. Satu ketika, sut Spiderman Peter telah dirampas untuk mencabar kebolehannya. 

Di samping kisah utama, kisah sampingan termasuklah usaha Peter memikat cinta Liz, kisah pasukan dekatlon akademik sekolah mereka diketuai Liz ke peringkat kebangsaan, kisah Peter dan mak ciknya May, kisah Ned rakan baik Peter yang obesiti, dan kisah antagonis cuba menjual senjata canggih kepada penjenayah untuk kelangsungan hidup. 

KESELURUHAN

Aku tidak dapat memberikan rating yang lebih tinggi kerana aku agak kecewa dengan kesudahan cinta Peter dan Liz dalam filem ini. Liz terpaksa berpindah kerana ayahnya telah ditangkap. Maka terpisahlah Liz dari Peter (mungkin buat seketika).

Satu lagi tidak memuaskan hati aku adalah penolakan Peter Parker di akhir cerita apabila Tony Stark menawarkan tempat dalam pasukan Avengers untuknya. Peter memilih untuk menjadi wira kepada rakyat marhaen di kejiranannya dari menyambut impiannya untuk berjuang dengan adiwira-adiwira Avengers. Peluang itu dilepaskan Peter yang mengejutkan Tony kerana dia telah mengatur satu sidang media pelancaran ahli baru Avengers iaitu Spiderman. Sedikit komedi di hujung cerita.

Spiderman akan kembali bersama Avengers dalam filem Marvel akan datang. 



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif