Welcome To My Life...

Tuesday, July 18, 2017

Menang Lagi

Assalamualaikum.

Perlawanan pra-musim kedua di bumi Amerika Syarikat. Keputusan penuh:

REAL SALT LAKE 1-2 MANCHESTER UNITED
Separuh masa: 1-2
Kad merah: Antonio Valencia

Skuad separuh masa pertama: 
Joel Pereira; Fosu-Mensah, Lindelof, Jones, Blind; Carrick, McTominay; Mkhitaryan, Pogba, Lingard; Lukaku

Skuad separuh masa kedua:
Romero; Valencia, Smalling, Bailly, Darmian; Herrera, Andreas Pereira, Fellaini; Mata (Mitchell), Martial (Tuanzebe), Rashford

Secara keseluruhan, permainan Manchester United kali ini tidak memuaskan jika dibandingkan dengan perlawanan menentang Los Angeles Galaxy sebelum ini. Real Salt Lake lebih memberikan cabaran dan para pemain United kelihatan tergugat. Jose Mourinho sekali lagi memberikan masa permainan kepada semua pemainnya.

United bermula perlahan dan para pemain Real Salt Lake mengatur serangan demi serangan ke kubu United. Akhirnya Luis Silva meletakkan pasukannya di depan hasil lorongan cantik Jefferson Savarino. Gol penyamaan United hadir menerusi Henrikh Mkhitaryan. Jesse Lingard bertukar hantaran dengan Romelu Lukaku sebelum Lingard menolak bola kepada Mkhitaryan yang menahan sebelum meledak dengan sentuhan kedua.

Gol kedua (dan kemenangan United) dijaringkan Lukaku yang tenang menggelecek pertahanan dan penjaga gol lawan sebelum menewaskan pertahanan terakhir di dalam kotak penalti. Penyudah itu nampak mudah tetapi ketenangan Lukaku wajar dipuji. Gol yang menaikkan semangat dan keyakinan menjelang musim baru.

Tiada tambahan gol di separuh masa kedua tetapi beberapa insiden berlaku. Antonio Valencia mengasari pemain lawan di tengah padang. Pengadil meminta Mourinho menukar Valencia tetapi ditolak oleh Mourinho. Pengadil terus melayangkan kad merah kepada Valencia. Juan Mata pula tercedera dan digantikan oleh Demetri Mitchell. Anthony Martial pula kecewa selepas digantikan dengan Axel Tuanzebe pada minit terakhir permainan.

Perlawanan seterusnya lebih getir menentang Manchester City. Mourinho menyatakan polisi masa permainan mungkin diubah dari 45-45 kepada semua pemain menjadi 60-30 untuk memberikan keadilan kepada semua menentang pasukan-pasukan besar seperti City, Real Madrid, dan Barcelona dalam jelajah kali ini.





No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif