Welcome To My Life...

Sunday, July 30, 2017

Kuala Pilah Drill

Assalamualaikum.

Minggu kelima aku dalam posting Obstetrics & Gynaecology (perbidanan dan sakit puan). Tiba giliran kumpulan aku untuk ke peripheral posting yang bertujuan untuk memberi ruang kepada kami belajar lebih banyak dan mengurangkan kesesakan di hospital besar.

Tradisinya, di hospital daerah ini, kami akan berguru dengan seorang pensyarah yang sangat bersemangat dalam mengajar. Sudah banyak cerita-cerita yang didengar tentang kesukaran dan tahap cabaran di sini, jauh dari zon selesa yang menjadi kebiasaan.

Alhamdulillah, selepas seminggu, boleh dikatakan aku belajar lebih banyak berbanding empat minggu (sebulan) sebelumnya. Semuanya kerana 'tekanan' (yang positif) dari pensyarah tersebut, Dr Tun. Dr Tun kerap menekankan perkara asas adalah jawapan kepada banyak persoalan. Tak perlu untuk selalu memikirkan jawapan yang kompleks.

"I have taught in Bukit Jalil, but no one remembers..." (dengan reaksi kecewa)
"Use your brain..." (sambil jari telunjuk mengetuk kepala)
"Common sense, right?"

Dr Tun ialah mentor aku bagi posting ini. Seringkali aku dirujuk sebagai 'my mentee'. Masih jelas saat dia menilai cara kami membuat obstetric examination (memeriksa perut ibu mengandung).

"I will amputate your thumb."
"Repeat five times."
"Minus ten marks."

Bagi Dr Tun, practise makes perfect. Hanya dengan latihan demi latihan yang akan membantu kami untuk tidak lupa. Dia juga berkongsi cara dia belajar semasa zaman universiti dulu. Dia akan membaca langkah-langkah prosedur sebelum melihat prosedur (sama ada pembedahan dan sebagainya). Pengulangan baginya sangat penting dalam mengingati ilmu.

"No pain, no gain"
"Seeing is believing"

Dr Tun juga sering menekankan: melihat adalah cara mudah untuk percaya dan tidak lupa. Pesakit adalah guru yang terbaik. Setiap pesakit begitu unik. Rejim harian Dr Tun untuk para pelajar sangat keras. Berada di hospital pagi, petang, dan malam. Sangat meletihkan, tapi Dr Tun selalu mengingatkan: "no pain, no gain".

-----------------------------------

HOTEL
Memandangkan kelas malam kami berakhir pada jam 11.30 malam, perjalanan pulang ke Seremban pasti memenatkan. Ditambah hakikat bahawa kami perlu berada semula pada sebelah pagi. Maka aku dan ahli kumpulan yang lain menetap di 'Desa Inn'. Kadar harga yang diberikan kepada kami adalah RM50 sebilik. Harga istimewa untuk pelajar IMU yang selalu menghuni di situ dari setiap batch.

Aku dan sorang lagi lelaki dalam kumpulan diberikan bilik dengan dua katil single. Luas biliknya sangat selesa. Penyaman udara sangat sejuk. Sabun mandi disediakan. Internet juga memuaskan. Kualiti yang berbaloi dengan harga.

MAKANAN
Kami tidak ketandusan makanan yang lazat. Berhampiran hospital ada Kafe Seri Melang dengan masakan Melayu yang sangat sedap. Berdekatan hotel kami ada satu restoran kecil dengan makanan India yang menyelerakan. Aku juga berpeluang merasa piza di Pizza Station yang sangat hampir dengan Pizza Hut

----------------------------

Di sini, bilik bersalin seperti tempat wajib bagi kami. Aku menyaksikan saat bersalin normal kali pertama, dan juga pembedahan Caesarean section yang pertama. Begitu banyak hands-on semasa obstetric examination. Memang satu tempoh yang paling penting dalam mencari pengalaman. 'Frasa-frasa wajib' Dr Tun seperti lagu yang bermain di ingatan.

Terima kasih, Dr Tun. Terima kasih, Kuala Pilah.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif