Thursday, August 3, 2017

Persiapan Sempurna

Assalamualaikum.

Perlawanan jelajah pra-musim yang ketujuh dan terakhir di Dublin, Ireland. Satu kemenangan yang nampak sukar, tetapi hakikatnya tidak jika berdasarkan persembahan para pemain. 

Manchester United 2-1 Sampdoria

Senarai pemain yang beraksi:
De Gea (Joel Pereira); Lindelof (Jones), Smalling (Bailly), Blind (Martial); Valencia, Matic (Carrick), Andreas Pereira (Herrera), Pogba (Fellaini), Darmian (Tuanzebe); Mkhitaryan (Mata), Lukaku (Rashford)

Hanya seminggu sebelum pertemuan penting Piala Super UEFA menentang Real Madrid, ramai tertanya-tanya kesebelasan utama yang menjadi pilihan pengurus, Jose Mourinho. Beliau memulakan perlawanan ini dengan formasi 3-5-2. Antonio Valencia dan Matteo Darmian menjadi bek sayap. Pembelian terbaru, Nemanja Matic, memulakan perlawanan di samping Andreas Pereira dan Paul Pogba. Henrikh Mkhitaryan membantu penggempur utama, Romelu Lukaku.

United mendominasi permainan seperti dijangka. Gol yang dinanti tiba pada minit kesembilan. Sebelum itu, Daley Blind hampir menjaringkan gol sendiri apabila hantarannya ke belakang jauh dari penjaga gol, David De Gea yang terpaksa menepis bola itu di depan gol dan menghadiahkan sepakan percuma tidak terus kepada Sampdoria dalam kotak penalti. Sepakan itu dihadang para pemain United yang melakukan serangan balas.

Valencia yang digelar 'Pahlawan Amazon' memecut di sayap kanan sebelum berhenti dan menolak bola kepada Mkhitaryan yang pantas melambungkan bola tepat menuju larian Darmian. Hantaran silang Darmian disambar tandukan Mkhitaryan untuk menyudahkan serangan balas pantas klasik yang pernah menjadi kebanggaan United semasa zaman kegemilangan Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney, dan Carlos Tevez di bawah bimbingan Alex Ferguson. Serangan kilat yang sangat dirindui.

Gandingan Valencia-Mkhitaryan hampir berbuah dua kali lagi sebelum babak pertama berakhir. Tandukan kedua ditepis penjaga gol dan tandukan ketiga tersasar. Satu permainan bek sayap yang memukau dari pemain Ecuador berusia 32 tahun ini. Separuh masa pertama berakhir 1-0. Paul Pogba beraksi sangat cemerlang dengan beberapa hantaran merentas padang yang kelihatan sangat mudah. Pemain baru, Matic, begitu tenang mengawal tengah padang seperti dia telah lama beraksi bersama United.

Mourinho menukar semua jentera tengahnya untuk memulakan babak kedua. Michael Carrick, Ander Herrera, Marouane Fellaini dan Juan Mata menggantikan Andreas Pereira, Matic, Pogba, dan Mkhitaryan. Peluang untuk mereka membuktikan keupayaan sebelum bertemu Real Madrid. Tiba detik sejam, Blind dan Lukaku pula dikeluarkan untuk memberi peluang kepada Anthony Martial dan Marcus Rashford menyerlah. Formasi bertukar kepada 4-4-2, dari tiga pertahanan menjadi empat.

Tiga minit berselang, Sampdoria menyamakan kedudukan hasil jaringan Dennis Praet selepas Smalling gagal mengeluarkan bola lebih jauh. Mourinho melakukan empat pertukaran terakhir. De Gea, Lindelof, Smalling, dan Darmian dikeluarkan; mereka digantikan oleh Joel Pereira, Eric Bailly, Phil Jones, dan Axel Tuanzebe. United terus memburu gol kemenangan. Detik berikutnya milik Martial. Dia menggelecek pertahanan di sebelah kiri sebelum melakukan hantaran silang kepada Herrera yang menanduk bola begitu hampir dengan penjaga gol.

Serangan berikutnya membawa gol kemenangan. Fellaini menolak bola pantas kepada Martial yang sekali lagi membelah masuk dari sayap kiri. Martial bijak menghidangkan bola kepada Mata yang hanya perlu memastikan sepakannya tepat ke sasaran. Bola itu bergolek terlalu indah bagi Mata yang merembat masuk menewaskan penjaga gol yang terpaku. Keputusan 2-1 kekal hingga wisel akhir ditiupkan.

----------------------------------------

Selepas tujuh perlawanan jelajah pra-musim yang berakhir dengan baik (enam kemenangan dan satu kekalahan), Mourinho sudah pasti telah menemui ramuan terbaik untuk mencabar Real Madrid minggu depan. Sama ada formasi 3-5-2 atau 4-3-3 menjadi pilihan, bayangan kesebelasan sudah dapat dilihat. Paul Pogba, David De Gea, Antonio Valencia, Nemanja Matic, dan Romelu Lukaku sudah pasti akan memulakan perlawanan.

Lima perkara yang diketahui selepas perlawanan semalam:
1. Paul Pogba semakin berbahaya
2. Nemanja Matic sesuai dengan taktikal Mourinho
3. Anthony Martial tidak boleh dipinjamkan atau dijual
4. Antonio Valencia menafikan usianya dan kekal bertenaga
5. Bek kiri masih menjadi kelemahan

Para peminat United sudah tidak sabar lagi untuk pasukan kesayangan ini membaham juara bertahan Liga Juara-Juara Eropah. Yakin boleh. Pasti bisa



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif