Welcome To My Life...

Wednesday, August 23, 2017

Cerita Dalam Cerita: Malaysia 3-1 Myanmar

Assalamualaikum.

Isnin, 21 Ogos 2017.

Perlawanan bola sepak peringkat kumpulan Sukan SEA 2017 di Stadium Shah Alam, Selangor.

PRA-PERLAWANAN
Myanmar adalah pasukan pilihan. Pasukan peringkat umur Myanmar baru saja beraksi di Piala Dunia mewakili benua Asia. Myanmar begitu angkuh dengan keyakinan mereka untuk 'tapau' tuan rumah dalam perlawanan ini. Perlawanan yang sangat penting kerana akan menentukan juara kumpulan antara dua pasukan terbaik dalam kumpulan ini. Myanmar beraksi dalam perlawanan terakhir mereka ketika Malaysia masih ada perlawanan menentang Laos untuk difikirkan.

KESEBELASAN
Dato' Ong Kim Swee menyenaraikan kesebelasan terbaiknya selepas melakukan eksperimen dalam dua perlawanan awal peringkat kumpulan ketika menundukkan Brunei 2-1 dan kemudian Singapura juga dengan keputusan 2-1.

Haziq Nadzli; Adib (kapten), Irfan, Adam; Davies, Syameer, Azam, Syazwan; Thanabalan, Kumaahran, Safawi

Kim Swee memilih formasi 3-4-3 untuk memanfaatkan para pemain terbaiknya. Haziq Nadzli dipilih berbanding Ifwat Akmal untuk menjaga gawang. Trio Adib Zainuddin, Irfan Zakaria, dan Adam Nor Azlin terus diberi kepercayaan. Mathew Davies dan Syazwan Andik mengapit gandingan tengah Syameer Kutty dan Nor Azam Azih. Trio serangan pula menyaksikan N. Thanabalan dan Safawi Rasid mengapit S. Kumaahran. 

KEHADIRAN PENYOKONG
Sangat memberangsangkan. Selepas kehadiran hampir penuh ketika menentang Singapura, Stadium Shah Alam sekali lagi dipenuhi lebih 60,000 peminat. Penyokong Myanmar lebih ramai berbanding Singapura tempoh hari. Namun sokongan diberikan peminat Malaysia sangat hebat memandangkan Sukan SEA berlangsung di bumi sendiri. Sorakan penyokong selaku pemain ke-12 sangat penting bagi moral pemain.

GOL PERTAMA
Perlawanan seimbang ketika masing-masing mencari gol. Peluang terbaik Malaysia sebelum itu ketika sepakan percuma Irfan Zakaria berjaya ditepis sedikit oleh penjaga gol ketika ia tepat ke sasaran. Namun, penjaga gawang itu tidak berdaya menghalang gol yang kelihatan pasti tiba. Kumaahran melompat tinggi tetapi gagal menanduk hantaran silang dari sebelah kiri. 

Bola itu tiba tepat di kaki Matthew Davies yang merembat ke arah gol, dan N. Thanabalan berada di tempat yang sempurna pada masa yang sempurna untuk menghulurkan lututnya, hanya tiga ela dari garisan gol. Pemain Myanmar mengatakan Thanabalan berada dalam posisi offside tetapi ulang tayang jelas menunjukkan posisi Thanabalan begitu bertuah.

GOL KEDUA
Belum sempat Myanmar mengumpul kekuatan selepas dihukum pemain Malaysia, mereka dikejutkan pula dengan gol kedua. Thanabalan yang sedar akan posisi Kumaahran mengelirukan pemain Myanmar sebelum menolak kepada rakannya itu di sayap kanan. Kumaahran menolak bola ke depan, mengambil masa seketika sebelum melakukan hantaran silang di antara dua pertahanan Myanmar.

Hantaran itu terlalu sempurna untuk dipersia-siakan. Safawi Rasid meluru ke arah bola dan menanduk kemas menewaskan penjaga gol yang tidak berdaya. Kurang dua minit dari gol pertama. Para pemain Myanmar yang tadi tersentak kini hilang punca. Malaysia dalam kedudukan selesa.

GOL KETIGA
Jafri Firdaus Chew masuk menggantikan S. Kumaahran yang kesakitan dikasari pemain lawan ketika dalam gerakan menyerang. Satu hantaran jauh ke sayap kiri dikejar dan berjaya didapatkan oleh Jafri. Sempat dia mengerling di kawasan penalti lawan. Tiada pemain tetapi Jafri tahu apa yang dia mahu lakukan. Bola dihantar ke kotak penalti, sekali lagi di antara dua pertahanan Myanmar. Hantaran silang yang sangat berkualiti tinggi.

N. Thanabalan tiba secara mengejut dan melakukan tandukan cemerlang untuk menambah luka Myanmar. Penyudah yang berkualiti. Bergegar Stadium Shah Alam.

GOL SAGUHATI
Kesilapan kapten, Adib Zainuddin yang lalai dalam melakukan hantaran ke belakang dihukum pemain lawan. Hantarannya kepada Haziq Nadzli terlalu perlahan dan Myanmar bagaikan mendapat 'hadiah' gol saguhati yang dijaringkan oleh Than Paing. Sepatutnya tidak boleh leka sebegitu tetapi ia sudah terlewat untuk Myanmar.

APA SETERUSNYA?
Tiga kemenangan berturut-turut. Kemenangan ke atas Myanmar paling penting kerana mereka pencabar utama untuk memenangi kumpulan. Juara kumpulan akan dapat mengelak dari menentang juara kumpulan satu lagi yang melibatkan Vietnam, Thailand dan Indonesia. 

Perlawanan terakhir selepas ini menentang Laos. Ong Kim Swee boleh menurunkan pasukan simpanan dan merehatkan pemain utama sebelum aksi separuh akhir. Malaysia mesti menang 'ibu segala emas' dalam Sukan SEA di tanah air sendiri.

Ini negara kita, cara kita!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif