Monday, August 7, 2017

Juara Tumbang

Assalamualaikum.

Perisai Komuniti 2017.

Kemenangan tidak akan membawa sebarang mata. Satu trofi sekadar pembuka musim baru Liga Perdana Inggeris. Kedua-dua pasukan menurunkan skuad terbaik dengan sama-sama menggunakan formasi 3-4-3.

Chelsea:
Courtois; Azpilicueta, Luiz, Cahill; Moses, Kante, Fabregas, Alonso; Pedro, Batshuayi, Willian

Arsenal:
Cech; Holding, Mertesacker, Monreal; Bellerin, Elneny, Xhaka, Chamberlain; Welbeck, Lacazette, Iwobi

Babak pertama berakhir tanpa sebarang gol dan beberapa kad kuning. Marcos Alonso dan Hector Bellerin antara yang menerima kad kuning kerana mengasari pemain lawan. Satu kad kuning yang menarik perhatian adalah apabila Willian jatuh dalam kotak penalti. Peminat Chelsea mahukan sepakan penalti. Namun sebaliknya Willian dilayangkan kad kuning kerana dituduh melakukan simulasi. Ulang tayang menunjukkan Willian tidak bernasib baik kerana dia sebenarnya tersadung.

Sebaik memasuki separuh masa kedua, Chelsea mendapat sepakan penjuru. Kegagalan pemain Arsenal mengeluarkan bola dihukum Victor Moses yang bijak menewaskan Petr Cech di gawang. Beberapa pertukaran pemain dilakukan kedua-dua pasukan tetapi Arsenal dilihat buntu untuk mencari gol penyamaan. Situasi berubah apabila Pedro menerima kad kuning kedua.

Hanya dua minit selepas Pedro dibuang padang, Arsenal menyamakan kedudukan. Pemain gantian, Sead Kolasinac menanduk sepakan percuma tepat ke sasaran. Format perlawanan ini adalah pemenang akan ditentukan melalui sepakan penalti, tanpa masa tambahan 30 minit. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat permainan dan penentuan sepakan penalti akan dilakukan.

Sepakan pertama diambil oleh Tim Cahill yang mudah menewaskan Cech. Tiba giliran dua pemain Arsenal berturut-turut dengan format baru ABBA. Sepakan Theo Walcott tinggi menerjah jaring Chelsea, sebelum Nacho Monreal pula menewaskan Courtois. Giliran dua pemain Chelsea mengambil sepakan. Courtois menyepak bola tinggi ke planet Pluto untuk disambut oleh alien. Kemudian, sepakan Morata tersasar ke sisi gawang. 

Dua sepakan berturut-turut untuk Arsenal. Alex Chamberlain tiada masalah meletakkan Arsenal selesa. Tiba giliran Olivier Giroud untuk memberikan sepakan kemenangan dan Giroud berjaya! Tahniah Arsenal yang menewaskan Chelsea sekali lagi, selepas mengalahkan lawan yang sama dalam final Piala FA musim lepas. Malang bagi juara bertahan Liga Perdana Inggeris yang kurang meyakinkan menjelang musim baru. Mungkin Chelsea akan mengulangi kisah Leicester City 2.0.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif