Welcome To My Life...

Sunday, August 20, 2017

Genius Tak Baik

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, semalam berkesempatan menonton filem Thailand, 'Bad Genius' yang dikhabarkan filem wajib tonton dengan rating tinggi.

Rating peribadi: 9/10

Kisah bermula dengan pengenalan Lynn selaku watak utama, seorang genius yang sangat luar biasa ditemani ayahnya (seorang cikgu) bertemu guru besar di sekolah baru. Lynn diterima masuk dan mendapat biasiswa. Permulaan drama dalam cerita ini apabila Lynn bersahabat dengan Grace. Kehebatan minda Lynn terbukti ketika bersama Grace dalam perpustakaan. Ujian Matematik selepas itu dengan soalan yang hampir sama dengan situasi di perpustakaan. Lynn bertanya sama ada Grace ingat jawapan tetapi Grace sudah lupa. Lynn sedar bahawa cikgu itu yang memberikan sesi tuisyen kepada pelajarnya dengan memberi soalan bocor.

Di sini kisah bermula apabila Lynn membantu Grace dengan memberikan jawapan yang ditulis di atas pemadam dan diletakkan di dalam kasutnya. Mereka kemudian menggunakan trick untuk menukar kasut tanpa disedari cikgu. Kedua-dua mereka mendapat CGPA yang baik. Grace sangat gembira kerana gred yang baik diperlukan untuk aktiviti ko-kurikulumnya. Kemampuan 'Mentor Lynn' dihebahkan oleh Grace kepada kekasihnya, Pat. 

Pat yang merupakan anak orang kaya menawarkan wang sebagai tukaran kepada bantuan Lynn dalam peperiksaan, dan memaklumkan ada lima orang rakan lagi sedia membayar untuk jawapan Lynn. Tawaran itu mengaburi mata Lynn yang mahu hidup senang. Ketika bermain piano, Lynn mendapat idea untuk memberi isyarat jawapan objektif dengan lagu-lagu yang terkenal. Lynn mengajar Grace, Pat dan lima rakan lain untuk menghafal gerakan jari bagi pilihan jawapan A,B,C dan D. Seorang pelajar genius lelaki bernama Bank juga mendaftar di sekolah itu. Tong cuba untuk merasuah Bank untuk memberikan jawapan tetapi Bank menolak.

Pelanggan Lynn mula bertambah. Konflik berlaku dalam satu ujian Matematik apabila dua set diedarkan secara rawak. Lynn memberikan jawapan untuk mereka yang memegang set pertama. Masa semakin suntuk. Lynn bertukar kertas dengan Tong di sebelahnya untuk memberi jawapan set kedua. Mereka berjaya dalam kekalutan itu. Namun, Lynn dan Tong dipanggil apabila Bank memaklumkan penipuan tersebut kepada guru besar. Lynn kantoi apabila guru besar mendapati dia telah mengira jawapan untuk soalan yang tidak ada pada set soalannya. Lynn tidak dibuang sekolah tetapi biasiswanya telah dibatalkan dan Bank mendapat Biasiswa Singapura. Ayah Lynn marah dan mengarahkan Lynn memulangkan duit rakan-rakannya.

---------

Kisah bersambung lagi apabila ibu bapa Pat mahu Grace mengikuti anak mereka ke universiti di Boston memandangkan prestasi pelajaran Pat meningkat bersama Grace. Mereka perlu menduduki ujian antarabangsa STIC. Jawapan telah dibocorkan pada ujian tahun lepas dan lembaga peperiksaan STIC mengambil langkah kawalan lebih ketat. Grace meminta bantuan Lynn sekali lagi. Lynn mendapat ilham untuk mendapat keuntungan lebih besar. Dia mahukan pelanggan lebih ramai dengan tugas lebih sukar. Lynn mengambil kira waktu ujian yang sama di seluruh dunia, tetapi ada negara yang akan menduduki ujian tersebut lebih awal. Lynn bersetuju untuk membantu Pat dan Grace tapi dia mahukan bantuan Bank.

Bank dipukul dan dibuang di tempat pembuangan sampah, dan telah terlepas menduduki ujian untuk mendapat biasiswa. Bank yang hidup miskin diajak oleh Lynn. Bank bersetuju dengan tawaran tersebut tapi dia mahukan upah satu juta baht. Mereka kemudian berlatih dengan format peperiksaan STIC sebenar termasuk cara mereka untuk memberikan jawapan dengan menggunakan telefon yang disembunyikan di tandas.

Konflik timbul apabila Pat kantoi ketika sesi interviu olok-olok sekiranya mereka tertangkap. Pat akan mengatakan dia tidak begitu mengenali Bank tetapi kasihan dengan nasib Bank yang dipukul dan dibuang di tempat pembuangan sampah. Bank bertindak menyerang Pat kerana sedar Pat ialah dalangnya. Bank tidak pernah memberitahu sesiapa tentang kejadian tersebut. Bank menolak untuk membantu. Di situ Lynn baru tahu penglibatan Pat dan dia juga menarik diri. Ketika Lynn bergerak untuk pulang, Bank berpatah balik kerana dia tidak mahu kesakitan dia dipukul dan kehilangan peluang mendapat biasiswa menjadi sia-sia. Dia mahukan wang sebagai 'bayaran' untuk impiannya membuka dobi.

Lynn bertolak ke Sydney dengan Bank untuk misi mereka. Pat dan Grace mendapatkan pelanggan melalui seminar. Lynn dan Bank berjaya dengan bahagian pertama ujian. Mereka keluar secepat mungkin dan menghabiskan masa dalam tandas untuk menghantar jawapan kepada Pat dan Grace di Thailand. Tong pula menanti bersama semua pelanggan dan para penunggang motosikal yang akan menghantar pelanggan ke tempat ujian di Thailand. Masalah bermula apabila Bank tamak dan menukar fikiran untuk meminta satu juta baht lagi sebagai habuan bagi ganti rugi dia dibelasah. Masa rehat hanya 10 minit semakin suntuk dan Grace terpaksa bersetuju dengan 'tebusan' itu. 

Lynn dan Bank ke tandas lagi selepas bahagian kedua ujian. Bank berjaya memasuki tandas tapi Lynn terpaksa menunggu giliran. Masa rehat hanya sepuluh minit. Malang bagi Bank yang ditangkap kerana ada laporan yang dia menggunakan tandas terlalu lama. Lynn diarahkan keluar ketika sedang cuba menghantar jawapan. Lynn terpaksa membawa telefon bimbit itu dan menyembunyikan di bawah penapis air. Lynn terpaksa menulis jawapan bahagian kedua di atas kertas soalan dan meneruskan ujian bahagian ketiga dan keempat (esei). Selepas menjawab semua soalan, Lynn menghafal sehabis baik sebelum memaksa dirinya muntah dengan menjolok pensel di anak tekak.

Lynn kemudian dikejar oleh pegawai ujian sehingga di stesen kereta api. Walaupun berlaku kekecohan di Thailand kerana jawapan lambat diterima dan para pelanggan mula marah, akhirnya Lynn berjaya menghantar jawapan dan mengikut pegawai ujian tadi kembali ke pusat ujian. Lynn akhirnya pulang dengan selamat dan hanya Bank dikenakan tindakan. Lynn disambut oleh Pat dan Grace di lapangan terbang tetapi Lynn tidak gembira dengan memaklumkan Bank telah kantoi. Lynn juga tidak pergi ke parti keraian Pat dan Grace dengan kejayaan sindiket mereka.

Lynn menerima panggilan dan bergerak menemui Bank yang telah membuka kedai dobi baru dengan wang dua juta baht yang diterima. Bank mengajak Lynn untuk bersubahat lagi dalam satu lagi ujian lain. Bank menjanjikan keuntungan berlipat ganda kerana pelanggan yang lebih ramai. Bank juga mengugut untuk membocorkan rahsia siapa dalang penipuan ujian STIC jika Lynn tidak mahu turut serta. Lynn yang sudah insaf memilih untuk menolak.

Di akhir cerita, Lynn terlibat dalam rakaman video keterangan untuk membocorkan sindiket peniruan ujian STIC. Lynn mahu menjadi seorang guru seperti ayahnya. Dia mahu kelebihan genius yang dia ada digunakan untuk membantu orang lain dengan cara yang baik.

--------------

Keseluruhannya, satu filem yang sangat bombastik. Siapa sangka gerakan jari di piano boleh menjadi isyarat untuk jawapan objektif? Kehebatan Lynn menghafal jawapan juga menarik perhatian. Tetapi bagi aku, helah yang digunakan terlalu hebat dan seharusnya sangat jelas untuk ditangkap. Secara peribadi, penulis tak berapa suka dengan plot pengakhiran cerita ini.

Selain itu, semuanya hebat.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif