Sunday, August 6, 2017

Maharaja Tumbang

Assalamualaikum.

Kejohanan Dunia IAAF 2017
Final acara 100 meter.

Ketika semua lapan pelari pecut diperkenalkan untuk final acara 'blue ribbon' di London ini, dua nama sudah tidak asing lagi bagi peminat sukan olahraga amnya, dan acara pecut khususnya. Perseteruan Justin Gatlin dan Usain Bolt sudah merentas generasi. Kini masing-masing di penghujung karier.

Dua wakil Amerika Syarikat (Justin Gatlin dan Christian Coleman), dua wakil Jamaica (Usain Bolt dan Yohan Blake), dan masing-masing satu wakil Afrika Selatan (Akani Simbine), Perancis (Jimmy Vicaut), Great Britain (Reece Prescod), dan wakil tunggal Asia dari China (Su Bingtian). Siapakah akan bergelar raja pecut dunia?

Tumpuan terarah kepada Usain Bolt yang merupakan pemegang rekod dunia acara 100 meter dan 200 meter. Rekod 9.58 saat yang dicatat Bolt masih belum dipecahkan sehingga kini. Kudrat Bolt sudah semakin berkurang. Bolt ialah pemenang treble 100 meter, 200 meter, dan 4x100 meter dalam tiga temasya Sukan Olimpik berturut-turut di Beijing 2008, London 2012, dan Rio de Janeiro 2016.

Cabaran utama Bolt akan diberikan oleh musuh tradisinya, Justin Gatlin yang pernah gagal ujian doping (dadah) dua kali sebelum ini. Selain itu, tumpuan diberikan kepada pelari dengan rekod terbaik musim ini, Christian Coleman yang juga rakan senegara Gatlin. 

Sebaik tembakan dilepaskan, permulaan buruk Bolt memusnahkan hasrat para peminatnya untuk melihat persaraan Bolt dengan kejuaraan dunia. Bolt berusaha sedaya upaya untuk mengejar pendahulu, Coleman, yang menguasai dengan kudrat mudanya. Namun, dari garisan luar, Gatlin memecut dengan segala yang dimilikinya untuk memastikan penamat photo-finish. Tiga pelari mendada hampir serentak memintas garisan.

Semua mata tertumpu ke papan markah. Akhirnya, Gatlin diumukan sebagai juara dan pantas meletakkan tanda senyap di bibirnya untuk mendiamkan para peminat Bolt di stadium yang telah menjerit 'booooo' kepada Gatlin. Pantas Gatlin bangkit dan tunduk hormat kepada Bolt walaupun dia memenangi final ini.



Walaupun tewas, Bolt bersara sebagai legenda. Rekod dunianya mungkin mengambil masa yang lama untuk dipecahkan. Dan hatrik legenda Bolt dalam Sukan Olimpik tidak mungkin disamakan dalam sejarah. Mustahil! Selamat jalan legenda. 





No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif