Friday, August 25, 2017

Undian Sempurna

Assalamualaikum.

Undian peringkat kumpulan untuk musim baru Liga Juara-Juara Eropah berlangsung malam tadi. 32 pasukan yang diletakkan dalam empat pot dibahagikan kepada lapan kumpulan yang melibatkan empat pasukan. Walaupun berada dalam pot yang berbeza, negara dari liga domestik yang sama (satu negara) tidak akan diundi dalam satu kumpulan.

Berikut adalah keputusan penuh undian:


Kumpulan A: Benfica (Portugal); Manchester United (England); Basel (Switzerland); CSKA Moscow (Rusia)
Manchester United dijangka tiada masalah untuk melepasi peringkat kumpulan. Basel, Benfica dan CSKA mempunyai peluang setara untuk mengiringi United.

Kumpulan B: Bayern Munich (Jerman); Paris Saint-Germain (Perancis); Anderlecht (Belgium); Celtic (Scotland)
Bayern dan PSG memiliki barisan pemain bintang yang terlalu hebat untuk dua lagi kelab dalam kumpulan ini. Anderlecht dan Celtic dijangka hanya merebut tempat ketiga untuk slot ke pertandingan Liga Europa.

Kumpulan C: Chelsea (England); Atletico Madrid (Sepanyol); Roma (Itali); Qarabag (Azerbaijan)
Chelsea, Atletico dan Roma akan merebut dua slot ke pusingan kalah mati. Qarabag selaku 'underdog' sekadar melengkapkan kumpulan dan mencari pengalaman.

Kumpulan D: Juventus (Itali); Barcelona (Sepanyol); Olympiakos (Greece); Sporting Lisbon (Portugal)
Juventus (finalis musim lalu) dan Barcelona berpeluang cerah untuk sama-sama ke pusingan seterusnya. Olympiakos berpengalaman dalam pertandingan ini dan Sporting Lisbon mempunyai peluang tipis untuk mencipta kejutan.


Kumpulan E: Spartak Moscow (Rusia); Sevilla (Sepanyol); Liverpool (England); Maribor (Slovenia)
Liverpool yang mara melalui pusingan 'play-off' berpeluang untuk melangkah jauh jika tidak beraksi buruk. Sevilla yang mewakili La Liga mempunyai pengalaman dalam pertandingan peringkat Eropah. Maribor pula mempunyai kemungkinan paling rendah untuk mendapat dua tempat teratas.

Kumpulan F: Shakhtar Donetsk (Ukraine); Manchester City (England); Napoli (Itali); Feyenoord (Belanda)
Manchester City mendapat kumpulan mudah dengan barisan bintang yang dimiliki. Shakhtar dan Napoli akan memberikan cabaran untuk gelaran juara kumpulan. Feyenoord mempunyai sedikit peluang jika beraksi cemerlang. 

Kumpulan G: AS Monaco (Perancis); Porto (Portugal); Besiktas (Turki); RB Leipzig (Jerman)
Satu kumpulan yang terbuka. AS Monaco berpeluang cerah dengan rekod mara ke pusingan kalah mati musim lepas. Porto yang berpengalaman luas dalam pertandingan ini. Besiktas dan Leipzig mungkin berpeluang merebut tempat kedua.

Kumpulan H: Real Madrid (Sepanyol); Borussia Dortmund (Jerman); Tottenham (England); APOEL (Cyprus)
Kumpulan maut. Tiga pasukan hebat yang perlu merebut hanya dua saja slot untuk layak. Real Madrid selaku juara bertahan. Tottenham dan Dortmund perlu bersaing untuk mengiringi Real. APOEL dijangka tidak mempunyai sebarang peluang.

---------------------------

Kumpulan H adalah kumpulan maut. Juara bertahan akan bertembung dengan dua kelab yang sedang meningkat naik. Salah satu kelab akan tersingkir dan perlu beraksi di Liga Europa. Tottenham mendapat undian paling sukar antara lima wakil England. Chelsea juga mendapat laluan yang sedikit sukar. Dua kelab Manchester dan Liverpool berada dalam kumpulan yang agak mudah. 

Pasukan kegemaran penulis, Manchester United, mempunyai dua skuad yang sama kuat kali ini. Kali terakhir United, Basel, dan Benfica dalam kumpulan yang sama, United tersingkir. Peluang United sangat cerah untuk mara ke pusingan kalah mati dengan barisan yang lebih baik. Zlatan Ibrahimovic baru saja menandatangani kontrak semalam untuk tempoh satu tahun.

Dua lagi kelab Sepanyol, Barcelona dan Sevilla, dijangka tidak ada masalah untuk bersama Real Madrid ke pusingan seterusnya.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif