Welcome To My Life...

Saturday, August 26, 2017

Dua Masters

Assalamualaikum.

Kali pertama Shalin Zulkifli beraksi di pentas Sukan SEA, Rafiq Ismail belum lagi lahir. Dua puluh tahun kemudian, mereka sama-sama bersaing mewakili Malaysia di temasya sukan Asia Tenggara. 

Hari terakhir pertandingan boling tenpin. Acara Masters untuk kategori lelaki dan wanita menawarkan pingat emas selepas acara perseorangan, berpasangan, trio dan lima sepasukan. Enam belas peserta dengan jumlah balingan terbaik dalam semua acara layak ke acara Masters. Enam pemain wanita dan empat pemain lelaki Malaysia telah layak.

Setiap pemain akan bermain enam belas games, lapan games pada blok sebelah pagi dan lapan lagi games dalam blok di sebelah petang. Tiga pemain terbaik untuk setiap kategori mara ke pusingan akhir dengan format step-ladder. Alex Liew yang ketinggalan selepas blok pertama bangkit di sebelah petang untuk mara ke pusingan akhir di tangga ketiga.

Dalam format step-ladder, pemain di ranking ketiga selepas enam belas games akan bersaing dalam semi final dengan pemain di ranking kedua. Pemain di ranking pertama menanti di perlawanan akhir. Berikut adalah tiga pemain terbaik untuk kedua-dua kategori:

Masters Lelaki
1. Rafiq Ismail (Malaysia)
2. Yannaphon Larpapharat (Thailand)
3. Alex Liew (Malaysia)

Masters Wanita
1. Tannya Roumimper (Indonesia)
2. Shalin Zulkifli (Malaysia)
3. Shayna Ng (Singapura)

--------------------------

Dengan format step ladder ini, pemain di ranking lebih baik hanya perlu menang satu game sedangkan pemain di ranking bawah perlu menang dua games untuk menang. Akibatnya, Alex Liew yang tidak beraksi baik di semi final terpaksa akur memberikan laluan kepada wakil Thailand untuk menentang Rafiq Ismail dalam final Masters lelaki. Begitu juga yang terjadi dalam semi final Masters wanita. Shalin Zulkifli mengatasi Shayna Ng dari Singapura dalam satu game untuk menempah pertemuan akhir dengan Tannya Roumimper.

----------------------

Shalin beraksi terlebih dulu untuk final Masters wanita. Shalin memulakan permainan dengan perlahan dan membenarkan Tannya untuk mendahului. Kem Indonesia cuba meruntuhkan moral Shalin dengan sorakan setiap kali Tannya melakukan strike. Pada satu ketika, Shalin yang sedang bersedia untuk melakukan balingan, telah meletakkan semula bola kerana terlalu tertekan. Kelihatan Shalin menghembus nafasnya beberapa kali untuk melegakan debaran.

Tannya melakukan kesilapan di hujung game pertama dengan spare demi spare ketika Shalin mempamerkan keunggulan dengan empat strike berturut-turut bermula dengan frame kesembilan. Shalin kelihatan hampir tewas tetapi Tannya melakukan kesilapan dan mereka terikat 225-225. Markah sehingga frame kelapan dikekalkan, tetapi mereka perlu bermain dua frame terakhir sekali lagi. Shalin terus konsisten untuk menang game pertama 246-220. Shalin perlu menang satu game lagi. 

Skrip sama berulang di game kedua. Selepas enam frame, Tannya melakukan lima strike berturut-turut ketika Shalin ada melakukan open frame. Shalin sekali lagi menunjukkan konsistensi di akhir permainan untuk menang dengan hanya satu pin 223-222 untuk meraih pingat emas ke-20 dalam kariernya di Sukan SEA. 

Rafiq pula turun seterusnya dengan ranking pertama selepas dua blok pusingan awal. Yannaphon Larpapharat dari Thailand yang menewaskan Alex Liew dalam semi final turun selaku juara bertahan dengan memenangi emas dalam Sukan SEA 2015 menewaskan Rafiq yang ketika itu berusia 18 tahun. Yannaphon bermula baik tetapi kemudian harapannya untuk mempertahankan pingat emas Masters musnah apabila beraksi buruk di pertengahan dan hujung game. Rafiq menang 213-190 untuk terus unggul selaku jaguh boling lelaki negara walaupun baru berusia 20 tahun.

Skuad boling menamatkan kempen di bumi sendiri dengan cemerlang. Mereka menyumbang tujuh pingat emas secara keseluruhan. Tiga dalam acara wanita, tiga dalam acara lelaki dan satu untuk berpasangan campuran. Tiga pingat emas peribadi untuk Shalin Zulkifli dalam acara trio, lima sepasukan dan Masters. Tiga pingat emas peribadi juga untuk Rafiq Ismail dalam acara perseorangan, berpasangan campuran (bersama Sin Li Jane) dan Masters. Tahniah!

Dua Masters milik Malaysia!



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif