Welcome To My Life...

Sunday, August 27, 2017

Cerita Dalam Cerita: Hari Menuai

Assalamualaikum.

26 Ogos 2017, hari kontinjen Malaysia menuai pingat emas. Malaysia menambah 15 lagi koleksi pingat emas. Kontinjen Malaysia memulakan semalam dengan 68 emas dan menamatkan hari dengan jumlah 83 emas. Hanya 28 emas dari sasaran awal 111 pingat emas untuk mengulangi pencapaian semasa kali terakhir menganjurkan Sukan SEA pada tahun 2001. 

LUBUK EMAS BERMULA
Semua sudah tahu termasuk kontinjen negara lain bahawa Malaysia tidak dapat disekat lagi apabila pertandingan sukan terjun bermula. Semalam adalah hari pertama untuk acara-acara terjun. Pasukan Malaysia membolot semua tiga emas yang dipertandingkan. Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri memberi penamat satu-dua kepada Malaysia dalam acara terjun 3 meter papan anjal wanita. Ooi Tze Liang kemudian merangkul pingat emas acara sama bagi kategori lelaki. Kemudian jaguh terjun wanita negara, Pandelela Rinong berganding dengan atlet lelaki Gabriel Gilbert memenangi emas dalam acara berpasukan. Sangat mudah!

ACARA INDIVIDU
Skuad boling padang terus cemerlang menambah dua lagi pingat emas dalam acara berpasangan lelaki dan juga wanita. Johnathan Wong mengejutkan juara Olimpik Rio 2016 dari negara Vietnam dalam acara menembak 10 meter air pistol untuk menghadiahkan emas kepada negara. Aaliyah Yoong juga cemerlang meluncur air. Yap Kim When dan Chew Wei Yan merangkul emas bagi acara poomsae individu lelaki dan wanita apabila gelanggang taekwondo dibuka. 

OLAHRAGA GEMILANG
Hari terakhir bagi sukan olahraga. Dua lagi pingat emas ditambah dalam koleksi. Rayzam Shah Wan Sofian membalas dendam kepada musuh tradisi dari Thailand, Jamras Rittidet yang menewaskannya dalam tiga edisi terakhir sebelum ini. Kali terakhir Malaysia memenangi acara 110 meter lari berpagar adalah pada edisi 2007 di Korat, Thailand ketika Rayzam Shah menjadi juara sewaktu berusia 19 tahun. Nauraj Singh dan Lee Hup Wei memastikan penamat satu-dua dalam acara lompat tinggi lelaki. Skuad olahraga menutup gelanggang dengan lapan pingat emas!

ACARA BERPASUKAN
Tiga pasukan Malaysia ditabalkan juara semalam. Gelanggang gimnastik berirama dirasmikan dan tiada masalah bagi pasukan negara memenangi emas. Seterusnya giliran pasukan hoki dalam dewan lelaki menewaskan Indonesia 5-1. Emas terakhir Malaysia semalam disumbangkan pasukan bola keranjang wanita yang mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu. Walaupun ketinggalan pada awalnya, skuad bola keranjang bangkit untuk menewaskan Thailand 65-60.

BOLA SEPAK KE FINAL
Segala tumpuan sejak pagi semalam terarah kepada pasukan bola sepak lelaki negara yang turun berdepan musuh tradisi, Indonesia. Selepas beberapa kontroversi melibatkan kedua-dua negara, Evan Dimas dari Indonesia menyifatkan kemenangan adalah 'demi maruah bangsa'. Kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati dan terlepas beberapa peluang. Akhirnya N. Thanabalan sekali lagi menjadi wira Malaysia. Dia menanduk tepat sepakan penjuru Nor Azam Azih pada minit ke-86 untuk menghantar Malaysia ke final bertemu Thailand yang menewaskan Myanmar 1-0 pada sebelah petang. Perlawanan akhir nanti adalah pertemuan ulangan final Sukan SEA 2001 ketika Malaysia tewas. Masa untuk balas dendam!

------------------

Sukan lubuk emas Malaysia sudah bermula. 28 emas tidak mustahil dengan sukan terjun, berbasikal trek, dan gimrama dijangka menjadi bendang Malaysia untuk menuai pingat emas.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif