Welcome To My Life...

Friday, September 8, 2017

Abang Long Fadil 2 vs It

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, penulis diberi kesempatan untuk menonton dua filem terbaru yang hangat di pawagam Malaysia. Filem tempatan iaitu 'Abang Long Fadil 2' dan filem antarabangsa berjudul 'It'. Penulis ni memilih jugak judul filem yang ingin ditonton sebab mementingkan nilai untuk duit (value for money). Filem 'Abang Long Fadil 2' memang dah lama ditunggu-tunggu. 

Filem 'It' pulak dipilih sebab posternya yang sangat ringkas. Hanya gambar belon dengan tajuk yang sangat-sangat pendek. Dua huruf saja. Sebelum menonton, memang penulis tak baca apa-apa tentang 'It'. Nak datang dengan pengetahuan sifar. 'Spoiler' semua cuba dielakkan.

*AMARAN: spoiler alert!

---------------------------

ABANG LONG FADIL 2
Genre: Komedi aksi
Rating peribadi: 9/10

Mudah untuk jatuh cinta dengan filem ini. Tak terlalu berat tapi tak pula terlalu diremehkan. Filem Skop Productions memang terkenal dengan kualiti lebih-lebih lagi arahan Syamsul Yusof dan Syafiq Yusof, anak kepada Datuk Yusof Haslam.

Walaupun CGI tak sehebat filem-filem Hollywood yang bajetnya jauh lebih melangit, ALF2 tetap padat dengan aksi. Menariknya, filem ini tidak menekankan babak cinta dengan hanya seorang saja watak wanita iaitu heroin, Tania Hudson dengan watak 'Yana' iaitu seorang wartawan penyiaran. Babak cinta tetap ada antara hero dan heroin.

Babak komedi memang menjadi dalam filem ini. Shuib Sepahtu sebagai 'Inspektor Shuib' bergandingan dengan Inspektor Wahab (Syamsul Yusof). Siapa boleh lupa babak Shuib terjatuhkan peluru semasa aksi serius di dalam lif? Tak kurang juga aksi-aksi Dato' AC Mizal yang memegang dua watak antagonis kembar, King Kong dan Cobra.

Taji Samprit (A. Galak) dan anaknya, Doyok (Wak Doyok) cuba membunuh satu sama lain dengan mengupah Fadil (Zizan Razak) yang disangkakan Tiger (watak antagonis utama). Doyok cuba merampas empayar mafia ayahnya ketika Taji mahu anak derhakanya dihapuskan. 

Tiger yang bertopeng diupah oleh Taji untuk membunuh isterinya, Datin Mona kerana cuba melanggan gigolo. Fadil pula yang cuba untuk keluar dari dunia gangster dengan menjadi gigolo terperangkap kerana berada di hotel yang sama dan kehadirannya dirakam oleh CCTV keluar masuk dari bilik Datin Mona. Sejak itu, Fadil dianggap sebagai Tiger kerana wajah Tiger yang sebenar tak pernah dilihat.

Plot twist yang hebat digunakan dalam cerita ini. Tiger yang sentiasa bertopeng akhirnya didedahkan sebagai Ali (Achey Bocey), rakan wartawan kepada Yana. Ali bertindak begitu kerana ingin mendapatkan perhatian Yana yang begitu tertarik dengan siri jenayah yang dilakukan Tiger yang sudah membunuh 50 orang. Inspektor Wahab yang kelihatan korup pada awalnya rupa-rupanya masih polis yang amanah. Inspektor Wahab melepaskan Fadil yang dalam tahanan polis kepada kumpulan mafia Taji.

Sambungan filem ini nanti adalah 'Abang Long Fadil 3' yang dikatakan akan mendedahkan kaitan spin-off watak Fadil dari filem 'KL Gangster' dan 'KL Gangster 2' sebelum ini. Filem spin-off untuk watak Tailong (KL Gangster 2) juga akan dibuat. 

-------------------------------

IT
Genre: seram
Rating peribadi: 8/10

Filem ini diklasifikan sebagai hanya untuk tontonan mereka yang berusia 18 tahun ke atas saja. Pelaksanaan di Golden Screen Cinemas ketika penulis menonton juga memuaskan. Pemeriksaan kad pengenalan dilakukan untuk penonton yang kelihatan muda macam budak sekolah. Kanak-kanak sememangnya dilarang menonton filem ini kerana ianya cukup untuk menyebabkan trauma kepada orang dewasa, apatah lagi kanak-kanak.

Selepas menonton, filem ini tidaklah terlalu seram. Watak antagonisnya bukan sejenis hantu atau entiti. Sebaliknya, ia adalah satu makhluk misteri. Judul 'It' diberikan merujuk kepada makhluk ini. Wataknya adalah badut sarkas Pennywise. Filem dimulakan dengan watak Georgie yang sedang bermain kapal kertas ketika hujan telah dimakan oleh badut ini pada tahun 1988.

Filem diteruskan pada musim panas 1989. Tahun ini dipilih kerana badut Pennywise ini hanya melakukan kekacauan setiap 27 tahun. Kali terakhir pada 1962 dan sebelum itu pada 1935. Kisah ini diceritakan 'budak baru' yang rajin membaca di perpustakaan dan membuat kajian tentang badut ini yang menjadikan semua orang sebagai mangsa, tidak kira kanak-kanak atau orang dewasa. Setiap 27 tahun, akan berlaku kekacauan besar sebelum 'dia' menghilang. 

Billy (abang kepada Georgie) cuba mencari adiknya yang disangka hilang dalam sistem pembetung. Walaupun semua orang termasuk ibu bapanya mengatakan Georgie telah mati, Billy percaya adiknya masih hidup. Billy bersama rakan-rakan baiknya, Richie, Stanley dan Eddie yang sentiasa menjadi mangsa buli Sowers. Billy mengajak mereka untuk mencari Georgie dalam pembetung.

Billy dan rakan-rakannya diburu oleh badut itu yang cuba menimbulkan kekacauan sebelum menghilang sekali lagi. Beberapa kanak-kanak di Derry telah dilaporkan hilang secara tiba-tiba. Kejadian ini turut melibatkan watak heroin, Beverly Marsh, satu karakter kompleks yang penuh tanda tanya. Badut itu akan menjadi apa saja yang mereka takutkan dan muncul dalam pelbagai bentuk.

Seperti lazimnya happy ending, Billy dan rakan-rakan berjaya mengalahkan badut Pennywise yang terus menghilang. Mereka berjanji untuk kembali semula ke Derry selepas 27 tahun jika badut itu muncul kembali. 

Plot cerita ini digarap kemas dengan pengenalan watak-watak baik dan jahat. Penceritaan tentang kisah silam bandar Derry dan sejarah makhluk badut Pennywise disampaikan dengan santai. Satu kurangnya filem ini adalah cara mustahil kanak-kanak mengalahkan badut misteri ini yang sudah membunuh ramai mangsa. Terlalu mudah. 

Apa pun, cerita ini akan bersambung kerana sebaik filem tamat, perkataan It: Chapter One ditayangkan bermakna akan ada bahagian kedua. Mungkin badut itu muncul kembali apabila kanak-kanak ini sudah dewasa dan mempunyai keluarga mereka sendiri.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif