Welcome To My Life...

Sunday, September 17, 2017

Paling Berharga

Assalamualaikum.

The moment we defeated our greatest rival once again, i know one thing: the gold medal is ours to lose!

The precious gold medal that has eluded me for years will finally be added to my collection.

------------------------

Sekilas Piala IMU

Piala IMU adalah pertandingan sukan tahunan untuk semua pelajar IMU dari pelbagai kursus yang ditawarkan di kampus utama Bukit Jalil dan kampus klinikal Seremban, Batu Pahat, dan Kluang. Piala IMU melibatkan enam rumah sukan: TAURUS (rumah sukan penulis), PEGASUS, PHOENIX, DRACO, HYDRA, dan GRIFFIN. Setiap rumah sukan ini ada haiwan khas dan juga warna simbolik. Para pelajar telah diberikan rumah sukan apabila mendaftar sebagai pelajar IMU. 

Sukan yang dipertandingkan tahun ini adalah tarian, bola tampar (lelaki/wanita), boling tenpin, pool, road relay, badminton, catur cina, catur antarabangsa, skuasy, bola jaring, bola keranjang (lelaki/wanita), ping pong, bola sepak, angkat berat, Scrabble, tenis, futsal (lelaki/wanita), ragbi, debat, Dota 2, balapan dan padang, Frisbee, darts, dodgeball, renang, acara sorak, tug of war, fotografi dan seni.

--------------------------

2014 (gangsa), 2015 (perak), 2016 (perak)

Penulis telah beraksi dalam sukan Scrabble sejak dalam semester tiga lagi pada tahun 2014. Dalam acara ini, setiap rumah sukan akan diwakili empat orang pemain. Tiga orang pemain di papan, dan seorang pemain simpanan. Setiap rumah sukan akan bertemu sesama sendiri bermakna lima perlawanan untuk setiap rumah sukan. Penyertaan pertama dalam permainan ini dan mendapat pingat gangsa. 

Tahun seterusnya, penulis dilantik kapten untuk permainan Scrabble. Penulis mencari pasukan sendiri dan akhirnya berjaya mendapat pingat perak. Penulis bermain di papan kedua kerana faktor strategi. Pemain utama setiap pasukan akan bermain di papan pertama. Oleh sebab itu, penulis mempunyai peluang lebih baik di papan kedua. Juara pada tahun 2015 adalah pasukan Pegasus dengan dua pemain yang pernah bermain peringkat kebangsaan semasa zaman sekolah. 

Skrip sama berulang pada tahun 2016. Posisi kapten pasukan kali ini berpindah tangan kepada rakan sepasukan penulis yang masih berada di kampus Bukit Jalil. Penulis sudah berpindah ke kampus klinikal Seremban. Taurus dan Pegasus masih lagi memiliki dua pasukan terbaik. Pasukan Pegasus tidak berubah dan menurunkan pemain yang sama. Taurus bertukar pemain. Kali ini penulis memilih untuk bermain di papan pertama kerana memiliki pemain yang lebih baik di papan kedua. 

Perseteruan Taurus-Pegasus berulang. Taktik penulis tidak menjadi lagi. Pemain Taurus di papan kedua menang semua perlawanan seperti yang diharapkan. Penulis menang empat kali termasuk mengatasi pemain di papan pertama Pegasus. Keseluruhannya, Taurus menewaskan setiap satu dari lima rumah sukan yang lain, semua dengan kemenangan 2-1, termasuk mengatasi Pegasus. Taurus mengutip 11 mata dari 15 mata maksimum. Pemain di papan ketiga Taurus hanya menang dua dari lima perlawanan. 

Walaupun tewas kepada Taurus, Pegasus menang pingat emas dengan jumlah 13 mata kerana menewaskan pasukan lain dengan kemenangan bersih 3-0. Tiada keciciran mata. 

---------------------

Scrabble Piala IMU 2017

Penulis sudah berada di tahun akhir ijazah perubatan. Kapten permainan ini pada tahun ini ialah Shamir, pemain di papan kedua yang menang bersih 100% tahun lepas. Persediaan kami sudah bermula sejak berakhirnya edisi tahun lepas lagi. Pasukan besar mula dibentuk pada bulan Mei, dan pemilihan pemain berterusan sehingga minggu pertandingan. Ini akan menjadi Piala IMU terakhir bagi penulis kerana penulis akan menamatkan pengajian sebelum pertandingan Piala IMU 2018 bermula.

Penulis tidak tahu tentang pemain pasukan lawan. Namun, penulis tahu satu perkara: taktik adalah segalanya dalam permainan ini. Berdasarkan pengalaman lalu, penulis sedar pemain di papan ketiga adalah yang paling lemah. Namun, selain pemain Pegasus, pemain pertama pasukan lain juga tidak terlalu berpengalaman. Penulis memilih untuk bermain di papan ketiga kerana peluang yang lebih baik dengan mengekalkan kapten pasukan di papan kedua. Pemain yang diletakkan di papan pertama juga bukan biasa-biasa. Pasukan Taurus mengekalkan semua pemain yang sama dari edisi 2016.

Dan pertandingan pun bermula.

-----

Hari pertama (Rabu, 13 September)

Hari yang paling ditunggu-tunggu penulis tiba juga. Setahun lamanya menanti detik ini untuk mencuba sekali lagi. Apabila semua pemain dari semua rumah sukan telah berkumpul, baru penulis dapat menghitung kekuatan semua pasukan. Hati berdebar menanti figura wakil Pegasus. Adakah mereka masih mengekalkan pasukan yang sama? Pada perkiraan penulis, Pegasus akan sekali lagi menjadi pencabar utama jika Taurus mahu bermimpi untuk memenangi pingat emas.

Selepas melihat barisan pemain Pegasus sebelum permainan bermula, timbul keraguan. Mampukah misi emas ini dijayakan? Pegasus mengekalkan separuh barisan emas dari dua edisi lepas. Seorang pemain wanita tahun lepas yang bermain di papan kedua tidak kelihatan dan digantikan dengan pemain yang bermain di papan ketiga dalam edisi 2016. Pemain baru bermain di papan ketiga.

Perlawanan pertama bertemu Griffin. Gusar juga di hati. Tiada kesilapan boleh dilakukan. Kegagalan taktikal musim lepas kerana gagal mencatat kemenangan bersih 3-0 di semua papan. Alhamdulillah, selepas perlawanan berakhir, Taurus berjaya mencatat kemenangan 3-0. Permulaan baik! Permainan hanya bermula pada jam 7.30 malam kerana kelalaian pihak penganjur. Selepas tamat permainan dengan kemenangan, penulis bergerak ke meja Pegasus untuk memantau. Mereka hanya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Phoenix. Penulis mula optimis. Titik kelemahan mereka adalah papan ketiga.

Perlawanan kedua bertemu Hydra. Berdasarkan pemerhatian penulis dari perlawanan pertama mereka, ketiga-tiga pemain Hydra kali ini tidak berpengalaman. Pemain utama mereka tahun lepas yang begitu hebat sudah 'bersara'. Penulis tidak bermain dalam perlawanan ini. Memberikan ruang untuk pemain simpanan beraksi di papan ketiga. Penulis kira tiada masalah baginya untuk menang. Penulis ke surau untuk solat dan kembali melihat satu lagi kemenangan bersih 3-0. Pegasus juga menang 3-0 dalam perlawanan kedua menentang Griffin.

Perlawanan ketiga dan terakhir untuk hari pertama menentang Phoenix. Jam sudah menunjukkan detik 10 malam. Penulis perlu bersedia untuk pulang kerana waktu terakhir pengangkutan awam ke Seremban adalah pada jam 11 malam. Penulis membuat keputusan untuk meletakkan pemain simpanan di papan ketiga dengan harapan dia akan menang. Penulis juga gusar dengan papan pertama kerana pemain lawan pernah beraksi di peringkat kebangsaan.

Berita yang penulis terima lewat malam itu: Pegasus menang mudah 3-0 ke atas Draco dan pasukan penulis menang 2-1. Pemain papan pertama tewas seperti yang penulis tidak mahu berlaku.

-----

Hari kedua (Jumaat, 15 September)

Hari penentuan. Baki dua lagi perlawanan. Di carta, jelas dan nyata dua pasukan yang merebut pingat emas sekali lagi buat tahun ketiga berturut-turut. Taurus dan Pegasus berkongsi 8 kemenangan dari 9 maksima. Pada perkiraan penulis, harapan terbaik untuk menang adalah dengan mengalahkan Pegasus walau apa pun terjadi. Jika tewas 1-2, terpaksa pula mengharapkan Pegasus tercicir mata di perlawanan terakhir bertemu Hydra. Penulis memberikan kata-kata semangat kepada pemain papan pertama kerana wataknya sangat penting hari ini. Papan pertama adalah kunci. Penulis harapkan dia dapat mengejutkan pemain utama Pegasus.

The decider: TAURUS vs PEGASUS. Tumpuan semua penonton terarah kepada kami. Dua pesaing utama bertemu sesama sendiri. Pemenang perlawanan ini berpeluang cerah untuk dikalungkan pingat emas. Ini adalah penentunya!

Penulis beraksi di papan ketiga sambil memerhatikan aksi di papan kedua. Pemain sepasukan dengan rekod bersih 5-0 tahun lepas, termasuk menewaskan pemain Pegasus. Markah di papan kedua begitu rapat. Penulis sendiri menghadapi kesukaran menentang pemain lawan. Abjad-abjad di rak penulis begitu menyukarkan. Pemain lawan dengan abjad yang lebih baik mula mendahului. Sedikit cuak di hati penulis. Penulis pernah tewas mengejut di papan pertama tahun lepas, satu pengalaman buruk. Penulis bertenang dan mesti bangkit untuk memastikan satu mata di papan ketiga.

Permainan di papan kedua berakhir lebih awal. Kelihatan jumlah markah pemain Pegasus lebih banyak. Penulis seperti tidak percaya dan cuba menelan hakikat pahit. Jika pemain di papan kedua tewas, kemungkinan kalah sangat tinggi. Dan harapan pingat emas semakin sirna. Walaupun berat, penulis redha juga. Pemain lawan di depan penulis meminta untuk menamatkan permainan walaupun masih banyak abjad yang belum dimainkan kerana masa maksimanya sudah habis. Sebarang lanjutan masa akan dikenakan penalti baginya. Penulis masih ada baki lima minit dari jumlah 25 minit yang diberikan kepada setiap pemain.

Ketika itu, penulis sedang mendahului. Jadi penulis bersetuju untuk menamatkan permainan kerana sudah tiada mood. Perbezaan markah yang kecil tak begitu penting kerana kemenangan sudah memadai untuk satu mata. Penulis dimaklumkan pemain Taurus di papan kedua sebenarnya menang. Alhamdulillah, penulis ceria kembali. Walaupun pemain di papan pertama tewas seperti yang dijangka, kami tetap menang 2-1 dan ini bermakna kami mendahului Pegasus dengan satu mata. Hanya tinggal satu baki perlawanan.

Penulis memberikan team talk kepada pemain di papan pertama agar fokus untuk memberikan permainan terbaik. Kami mesti menyapu bersih 3-0 dan pingat emas milik kami. Penulis menikmati perlawanan terakhir di papan ketiga sambil mengikuti rapat keputusan di papan pertama dan kedua. Penulis sering melihat isyarat dari pemain simpanan yang memerhati semua permainan sama ada pemain di papan pertama menang atau tidak. Tiada masalah di papan kedua dan ketiga pada perkiraan penulis. Akhirnya kami mencatat kemenangan bersih 3-0.

Nazif vs Draco

Keputusan akhir

Mimpi menjadi realiti. Pingat emas keempat untuk Taurus bagi Piala IMU 2017.

-------------------------

Pingat emas pertama, dan pingat keempat untuk penulis. Koleksi emas-perak-gangsa juga berjaya penulis lengkapkan. Bermula dengan pingat gangsa kemudian pingat perak, akhirnya pingat emas menjadi milik penulis. Pingat emas ini adalah harga segala pengorbanan, kesabaran, minat, dan kesungguhan. Segala-galanya. Jalannya penuh berliku tapi hujungnya manis.




Papan pertama: Azlan Kok Vui
Papan kedua: Shamir Das
Papan ketiga: Penulis & Ng Sin Wi

Kemenangan ini adalah hasil percaturan taktikal dan juga keseimbangan pasukan. Selain seimbang dari segi kekuatan, kami juga seimbang dari segi kaum. Penulis ialah satu-satunya pemain Melayu (Azlan mixed :p). Pasukan Taurus juga dibarisi pemain Melayu, Cina, India. Perbezaan kekuatan kami juga tidak jauh. Itu sebabnya penulis dapat meletakkan Azlan di papan pertama.

Jika dikira pengalaman, penulis sepatutnya beraksi di papan pertama. Namun, tiada peraturan yang mewajibkan pemain terbaik untuk berada di papan pertama. Melihatkan pemain-pemain papan pertama pasukan lain yang tidak terlalu kuat, penulis memilih untuk bermain di papan ketiga. Kesilapan tahun lalu dengan kegagalan untuk menang 3-0 tidak mahu diulang. Penulis lebih yakin untuk menyumbang mata.


Terima kasih rakan-rakan pasukan. Kemenangan ini adalah kemenangan pasukan. Kemenangan ini adalah kemenangan kami semua dari generasi awal yang merintis jalan. Tiada yang mustahil dengan usaha tanpa putus asa. Kekalahan hanyalah kemenangan yang tertangguh. Semoga berjaya kepada pemain generasi depan yang akan menyambung perjuangan. Masa untuk penulis mengundur diri.

You are your only limit.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif