Welcome To My Life...

Saturday, September 23, 2017

Cerita Dalam Cerita: Mental Illness

Assalamualaikum.

Melihat beberapa kes jenayah baru-baru ini, pasti kita tertanya-tanya: di mana hilangnya kemanusiaan? Siapa boleh lupa penyeksaan tidak bertamadun siswa UPNM hanya kerana dituduh mencuri sehingga menyebabkan kematian? Kes jenayah gila terkini: beberapa orang remaja membakar sekolah tahfiz dan menyebabkan kematian 23 orang mangsa hanya kerana tidak puas hati. 

Terdetik di hati, "gilakah mereka semua ni?". Ya, benar. Jumlah pesakit mental sedang meningkat di negara ini dan juga di seluruh dunia. Tekanan hidup yang menghimpit membuatkan mereka hilang kewarasan. Mereka ini menjadi wabak yang membahayakan diri sendiri dan orang lain di sekitar mereka.

Seorang rakan batch saya digelar the emo guy atau lelaki beremosi kerana sering kelihatan tertekan mempelajari ijazah perubatan. Baru-baru ini saja dia memberi respons yang aneh kepada pujian saya. Saya memanggilnya 'professor' kerana menghormati ilmunya tetapi seperti biasa, dia membalas dengan rendah diri.

"Saya ni sampah. You know sampah? Sampah masyarakat. Macam kucing kurap."

Saya hanya ketawa. Sudah biasa dengan jenaka sebegitu. Dia hanya bercanda. Saya tetap menghormati ilmu yang ada padanya. Pada saya, dia bersikap begitu hanya kerana dia stres dengan kesukaran untuk menggenggam segulung ijazah perubatan. Terpaksa berhempas pulas selama lima tahun ketika rakan-rakan jurusan lain sudah berkerjaya dan beranak-pinak.

-------------------

Pernah berada di posting 'Psikiatri', saya melihat sendiri para pesakit 'mental' ini. Tidak semua pesakit psikiatri ini orang gila. Penyakit 'mood' atau mood disorders juga dirawat oleh doktor-doktor dan pakar bidang psikiatri. Bukan mudah untuk para pesakit ini mengakui mereka sakit dan datang mendapatkan rawatan. Itu sebabnya kes pesakit-pesakit mental ini sebenarnya kurang berbanding hakikat (underreported).

Bukan mudah untuk membuat diagnosis penyakit psikiatri. Ada kriteria-kriteria diagnosis yang ditulis dalam Diagnosis and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-V). Cukuplah hari ini saya berbicara tentang mood disorders.

Apabila berlaku berulang kali dalam satu tempoh yang menepati kriteria, individu yang selalu tiada mood dan rasa tiada makna dalam hidupnya boleh didiagnos mengalami Major Depressive Disorder. Jika tidak menepati kriteria pula, mereka yang selalu low mood ini jika berpanjangan boleh dikategorikan mengalami dysthymia. 'Thymia' itu sendiri bermaksud 'mood'.

Ada satu lagi jenis mood disorder iaitu bipolar I disorder dan bipolar II disorder. 'Bipolar II' adalah kemungkinan peringkat awal sebelum menjadi 'bipolar I' di mana pesakit mempunyai full-blown mania dan akan melakukan kerja-kerja di luar kewarasan seperti berbelanja tanpa kawalan (spendthrift) atau beberapa tanda lagi seperti bercakap terlalu pantas (pressured speech) dan perubahan pola tidur. Kedua-dua penyakit bipolar ini dikategorikan sebagai cyclothymia

--------------------

Mereka jadi begini kerana adanya predisposing factors dan kemudian trigger factors. Mungkin bermula dengan tekanan hidup yang mencengkam. Apabila berbicara tentang stres, semua orang akan berasa stres dalam hidup sama ada tekanan itu bersifat positif (menjadikan individu berubah lebih baik) atau negatif (menjahanamkan individu tersebut). Saya juga berasa stres dalam hidup.

Semuanya bergantung kepada bagaimana kita menangani stres (how we handle the stress)?

Ada yang pergi membeli-belah, ada yang pergi karaoke, ada yang pergi bercuti. Semata-mata untuk menghilangkan tekanan. Kita semua berbeza tahap ambang (threshold). Ada orang berasa tertekan kerana kekasihnya tidak membalas pesanan. Ada pula orang lain hanya berasa tertekan apabila berada dalam situasi yang dahsyat. 

Apabila individu gagal mengawal tekanan selepas melepasi threshold ini, terdapat kemungkinan individu ini akan hilang kewarasan dan mengalami penyakit mental. Seterusnya individu-individu ini akan terlibat dalam jenayah di luar akal manusia seperti pembunuhan kejam, penyeksaan dan sebagainya.

Maka kembalilah kepada agama. Kita ini hidup berTuhan. Cukuplah kita menjadi hamba kepada dunia seperti kita lupa akhirat akan tiba. 

Muhammad Nazif,
Final year medical student.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif