Welcome To My Life...

Sunday, August 20, 2017

Hari Bersejarah

Assalamualaikum.

20 ogos 2017, hari pertama Sukan SEA secara rasminya selepas upacara pembukaan penuh gilang-gemilang malam semalam. Bagaikan menyerap nyalaan obor temasya oleh atlet terjun muda, Dhabitah Sabri, atlet-atlet negara 'mengaum' di bumi sendiri. 

Keseluruhannya, 21 pingat emas dipertandingkan di hari pertama dengan beberapa sukan memasuki hari terakhir selepas beberapa hari pertandingan. Sepuluh sukan menawarkan pingat emas termasuklah sukan tumpuan Malaysia iaitu equestrian, bola jaring, ragbi 7 sebelah, memanah, dan wushu. Malaysia memungut sembilan pingat emas.

Sejarah demi sejarah dicipta dari pagi hingga ke malam. 

Bermula dengan kejayaan Yeap Wai Kin dalam acara jianshu lelaki (wushu). Kemudian sejarah dicipta oleh Sultan Mizan Zainal Abidin dalam penyertaan pertama di Sukan SEA. Baginda merangkul emas acara individu dan juga berpasukan dalam acara endurance (equestrian). Lee Yhing Huey/Gan Hua Wei menambah emas keempat dari kolam renang dalam acara rutin bebas duet (renang seirama). Pingat ini juga merupakan emas kedua peribadi bagi Hua Wei di hari terakhir untuk renang seirama.

Pingat emas seterusnya milik pasukan bola jaring negara yang berdepan musuh tradisi, Singapura. Malaysia menang emas kali terakhir di tanah sendiri pada tahun 2001 dan tewas di final kepada Singapura dua tahun lalu di bumi Singapura. Misi balas dendam selesai! Aksi cemerlang para wirawati negara sejak mula pertandingan sangat konsisten. Malaysia yang menewaskan Singapura 50-35 dalam pusingan round robin menang 65-41 dalam perlawanan akhir. 

Aksi individu cemerlang An Najwa selaku goal shooter dalam aksi final wajar dipuji selain aksi cemerlang rakan sepasukan yang lain. Ketika An Najwa bergandingan dengan Izyan Syazana (goal attacker), Malaysia menjarakkan mata jauh sepanjang separuh masa. Singapura merapatkan jurang apabila An Najwa digantikan oleh Norashikin untuk separuh masa berikutnya. Walaupun beberapa kali terlepas peluang, Norashikin sudah beraksi cemerlang sepanjang peringkat kumpulan. 

Wushu menambah dua lagi emas. Loh Jack Chang memenangi acara taijijian lelaki sebelum Diana Bong menebus kekecewaan di Singapura 2015 dengan memenangi acara nanquan wanita. Pingat emas yang paling bersejarah hari ini sudah tentu milik pasukan ragbi 7 sebelah negara. Walaupun tewas kepada Thailand 7-12 pagi tadi, Malaysia bangkit membelasah Indonesia 75-0 untuk mara ke perlawanan akhir bertemu Singapura yang telah ditewaskan 12-10 semalam. Malaysia berkongsi 13 mata dengan Singapura dan Thailand yang sama-sama mencatat empat kemenangan. 

Tangisan mengiringi keperwiraan pasukan ragbi negara yang menumbangkan Singapura sekali lagi dengan keputusan 22-7 walaupun Singapura mencatat try pertama perlawanan. Pasukan ragbi ini sangat konsisten dengan aksi cemerlang Zulkiflee Azmi (kapten), Azwan Zuwairi dan Firdaus Tarmizi. Rafiq Ismail dan Adrian Ang memenangi emas dan perak acara perseorangan lelaki (tenpin boling) untuk menebus kekecewaan Sin Li Jane dan Shalin Zulkifli yang meraih perak dan gangsa acara perseorangan wanita.

Esok, 25 lagi pingat emas ditawarkan dalam 10 jenis sukan.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif