Welcome To My Life...

Saturday, September 24, 2016

Glory Glory

Assalamualaikum.

Glory glory Manchester United. Back to winning ways!

Selepas tiga kekalahan berturut-turut dalam semua pertandingan kepada Manchester City (Liga Perdana Inggeris), Feyenoord (Liga Europa), dan Watford (Liga Perdana Inggeris), Manchester United kembali di landasan kemenangan. Bermula dengan kemenangan 3-1 mengatasi Northampton dalam Piala Liga Inggeris pertengahan minggu ini.

Sebentar tadi, Manchester United menewaskan juara bertahan liga, Leicester City 4-1 untuk mengakhiri kemarau. Keputusan Jose Mourinho untuk meletakkan kapten pasukan, Wayne Rooney, di bangku simpanan adalah sangat tepat. Para peminat yang menyayangi kelab Manchester United sangat gusar dan khuatir dengan corak permainan United yang terjejas kerana Rooney berada dalam kesebelasan utama walaupun prestasinya sangat buruk. Keputusan menyingkirkan Rooney membuahkan hasil. 

Aksi United di separuh masa pertama sangat memukau dan menghiburkan. Serangan bertali arus dari awal permainan walaupun kubu Leicester gagal ditembusi. Namun benteng kukuh pelawat akhirnya bocor apabila sepakan sudut Daley Blind ditanduk oleh bek tengah, Chris Smalling, untuk gol pertama tuan rumah. Juan Mata menambah gol kedua selepas menerima hantaran Jesse Lingard dalam kotak penalti untuk satu rembatan kencang.

Blind sekali lagi mencipta gol dari sepakan sudut apabila tolakan pantas kepada Mata yang melintangkan bola di dalam kotak enam ela. Marcus Rashford pantas menyambar untuk menyambung kisah dongengnya. Pemain muda yang terus mencipta nama. Sepakan sudut Blind sekali lagi menghasilkan gol apabila ditanduk masuk Paul Pogba. Pemain termahal dunia yang dikritik hebat kerana gagal beraksi cemerlang sejak perpindahan rekod dunia dari Juventus. 

Persembahan Pogba hari ini berkelas dunia dan membuatkan tanda harganya cukup berbaloi. Gol yang dijaringkan itu adalah bonus dan gaya dia meraikan jaringan dengan kepuasan kerana mendiamkan pengkritiknya. Selain empat gol tersebut, Rashford dan Zlatan Ibrahimovic merembat tinggi ketika memiliki peluang untuk meledak gol. 

Separuh masa kedua sedikit perlahan walaupun United memiliki beberapa peluang untuk menambah jaringan. Hanya ledakan jarak jauh Demarai Gray berjaya mengurangkan defisit untuk Leicester City. United kini kembali mencabar kejuaraan dengan Arsenal dan Chelsea bertembung sesama sendiri dalam perlawanan lewat malam ini.

---------------------

Cerita sisi:

Alkisah nak balik dari kedai mamak lepas menonton perlawanan tu, adalah sekatan jalan raya dalam perjalanan. Mujurlah baru-baru ni dah perbaharui lesen memandu. Kalau tidak, alamatnya dapatlah 'surat cinta' (saman) dari abang yang acah garang tu. 
Masa nak belok ke taman perumahan yang merupakan jalan pintas untuk pulang ke rumah sewa, abang tu ingat aku nak lari dari sekatan jalan raya. Dia pun mintaklah kad pengenalan dan lesen memandu. Semua bersih. Dia pun hairan tengok alamat Kedah. Tanya pulak tinggal kat mana....

Moral: berani kerana benar, takut kerana salah.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif