Welcome To My Life...

Monday, December 12, 2016

Enam Belas Terbaik

Assalamualaikum.


Tamat sudah persaingan peringkat kumpulan untuk Liga Juara-Juara Eropah musim 2016/2017. Enam belas pasukan terbaik sudah menempah slot masing-masing untuk beradu kekuatan. Berikut adalah senarai pasukan yang layak dari setiap kumpulan dengan pemenang kumpulan disebut dahulu.

Kumpulan A -- Arsenal (England), Paris Saint-Germain (Perancis)
Kumpulan B -- Napoli (Itali), Benfica (Portugal)
Kumpulan C -- Barcelona (Sepanyol), Manchester City (England)
Kumpulan D -- Atletico Madrid (Sepanyol), Bayern Munich (Jerman)
Kumpulan E -- Monaco (Perancis), Bayer Leverkusen (Jerman)
Kumpulan F -- Borussia Dortmund (Jerman), Real Madrid (Sepanyol)
Kumpulan G -- Leicester City (England), Porto (Portugal)
Kumpulan H -- Juventus (Itali), Sevilla (Sepanyol)

La Liga Sepanyol memiliki wakil terbanyak di pusingan kalah mati ini dengan empat pasukan diikuti England dan Jerman dengan tiga pasukan, dan dua pasukan masing-masing dari Perancis, Itali, dan Portugal. Ini bermakna hanya wakil kelab dari enam negara akan bertanding merebut piala berprestij bola sepak Eropah musim ini.

Semua pemenang kumpulan tidak akan bertemu sesama sendiri dalam pusingan enam belas terbaik. Ini bermakna pasukan gergasi seperti PSG (Perancis), Bayern Munich (Jerman), dan Real Madrid (Sepanyol) akan menentang salah satu dari pemenang kumpulan.

-------------------------------

Berikut adalah senarai perlawanan dengan pasukan naib juara kumpulan akan beraksi di tempat sendiri terlebih dahulu. Peraturan pusingan kalah mati pertama ini juga meletakkan pasukan dari liga domestik negara yang sama tidak akan bertemung sesama sendiri.

Manchester City (England) vs Monaco (Perancis)
Real Madrid (Sepanyol) vs Napoli (Itali) 
Benfica (Portugal) vs Dortmund (Jerman)
Bayern Munich (Jerman) vs Arsenal (England)*
Porto (Portugal) vs Juventus (Itali)
Bayer Leverkusen (Jerman) vs Atletico Madrid (Sepanyol)
PSG (Perancis) vs Barcelona (Sepanyol)*
Sevilla (Sepanyol) vs Leicester City (England)

Perjalanan ke final di Cardiff nanti bersambung di pusingan kalah mati. Dua perlawanan yang pastinya menarik dan dinanti-nantikan adalah Bayern Munich menentang Arsenal, dan juga PSG bertemu Barcelona. Malang bagi Arsenal kerana diundi melawan gergasi dari Bundesliga Jerman. PSG pula yang lemah tanpa Zlatan Ibrahimovic akan berdepan gergasi La Liga yang ditunjangi Lionel Messi.

Perlawanan-perlawanan lain dilihat sama ada seimbang seperti Manchester City bertemu Monaco, atau satu pasukan mempunyai kelebihan seperti pengalaman Sevilla berdepan muka baru (Leicester City).

Lapan pasukan yang aku jangka akan berentap di pusingan suku akhir:
Manchester City (England), Real Madrid (Sepanyol), Borussia Dortmund (Jerman), Bayern Munich (Jerman), Juventus (Itali), Atletico Madrid (Sepanyol), Barcelona (Sepanyol), Sevilla (Sepanyol)

Empat pasukan Sepanyol, dua dari Jerman, dan masing-masing satu wakil Itali dan England. Tiada lagi peraturan yang menghalang dua pasukan dari negara yang sama untuk bersaing dan undian rawak ini memungkinkan Barcelona bertemu Real Madrid.

Kita tunggu dan lihat.







No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif