Welcome To My Life...

Monday, December 19, 2016

Goh/Tan di Puncak Dunia

Assalamualaikum.

 Live streaming

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pasangan badminton negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, yang muncul juara beregu lelaki dalam pertandingan terakhir untuk menutup kempen Super Series, iaitu Dubai World Superseries Finals di Dubai, Qatar. Perkembangan mereka mula menarik perhatian aku selepas persembahan memukau semasa mewakili Malaysia dalam aksi Piala Thomas. Selain Dato' Lee Chong Wei, pasangan Goh dan Tan dikira sandaran utama untuk memungut mata.

Goh/Tan membuat kejutan lagi apabila mara ke final Sukan Olimpik 2016, dan hanya berjarak satu mata dari sejarah memenangi pingat emas pertama Malaysia dalam penyertaan Sukan Olimpik. Malangnya, mereka tewas juga kepada pasangan Fu Haifeng/Zhang Nan yang ditewaskan dalam peringkat kumpulan. 

Graf mereka terus meningkat apabila menjuarai kejohanan Super Series pertama di Terbuka Denmark, dan kemudiannya mencapai puncak dunia ketika ditabalkan pasangan beregu lelaki nombor satu dunia dalam ranking Badminton World Federation (BWF) pada bulan November. Walaupun gagal memenangi pertandingan Super Series selepas itu, mereka tetap mara ke Dubai di tangga kedua ranking sirkit Super Series.

----------------------------------------


Goh V Shem dan Tan Wee Kiong memulakan pertandingan dengan diberikan kemenangan percuma kerana Mathias Boe dan Carsten Mogensen (Denmark) menarik diri. Goh/Tan memulakan aksi dengan kemenangan rubber game 18-21, 21-19, 21-19 mengatasi Li Junhui dan Liu Yuchen (China). Mereka memenangi peringkat kumpulan apabila menundukkan satu lagi beregu China, Chai Biao dan Hong Wei, juga dengan kemenangan rubber game 16-21, 21-13, 22-20. 

Undian peringkat separuh akhir sekali lagi menemukan mereka dengan Chai/Hong. Buat kedua kalinya berturut-turut, Goh/Tan mengatasi pasangan China itu dengan keputusan 21-18, 21-16. Pasangan Jepun, Takeshi Kamura dan Keigo Sonoda, menjadi pemisah antara beregu nombor satu dunia dari Malaysia dan kejuaraan.

Goh/Tan mempamerkan aksi cemerlang di waktu yang sempurna untuk menang straight set 21-14, 21-19. Kemenangan ini mengukuhkan kedudukan mereka di persada ranking dunia mengatasi Takeshi/Keigo yang berada di kemuncak prestasi. 

Semoga tahun 2017 membawa pencapaian lebih gemilang dari pasangan ini. Harapan kita dapat melihat Goh/Tan muncul juara Kejohanan Dunia tahun depan.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif