Welcome To My Life...

Tuesday, February 13, 2018

Kekasih Paksa Rela

Assalamualaikum.

Semalam penulis berkesempatan menonton episod akhir drama bersiri TV3 berjudul 'Kekasih Paksa Rela' yang sedang menjadi fenomena (seperti drama-drama bersiri pukul tujuh yang lain). Penulis sebenarnya tak mengikuti perkembangan drama ini (walaupun kakak penulis adalah kipas susah mati drama ini dan Remy Ishak). 

Penulis tak tahu pun drama ini ada berapa episod dan sudah bersiaran berapa lama. Hakikatnya, penulis bukan penggemar drama-drama bersiri. 

Apa yang menarik perhatian penulis ketika 'layan' episod akhir KPR semalam adalah betapa episod akhir ini penuh emosi. Pedih, sengsara, dan akhirnya bahagia.

---------

Kudos kepada penulis skrip yang menghidangkan jalan cerita sebegini. Dalam episod akhir saja, penulis dapat melihat cinta tiga insan yang penuh kisah pengorbanan.

Cinta Ros kepada Adham
Walaupun cinta Ros yang paling lemah dan memerlukan kematian rakannya untuk sedar dia adalah isteri kepada Adham (selepas dua tahun), tapi cintanya tetap tulus. Ros tidak mahu bermadu. Dia mahu Adham membuat pilihan: dia atau Khaira. Walaupun Adham berjanji untuk membahagikan kasih sama rata kepada dua isterinya, Ros bertegas dia tak percaya kepada dirinya sendiri dan bimbang dia akan membuatkan Adham berdosa sebagai suami.

Kerana Adham yang 'blur' tak mampu membuat pilihan, Ros mengaku kalah (mengikut kehendak skrip) dan mengundur diri. Air mata Ros ketika meminta Adham menceraikannya sangat menyakitkan. Bukan mudah untuk berpaling dari orang yang kita sayang, tapi itulah yang dilakukan Ros ketika berdepan Adham buat kali terakhir di mahkamah.

Cinta Adham kepada Ros
Lelaki bodoh mana yang dapat bertahan sejauh Adham. Menjadi 'suami yang tidak dianggap' selama dua tahun bukan perkara yang mudah. Selain menjunjung 'permintaan keluarga', Adham juga sebenarnya sudah lama meminati Ros, sejak zaman kanak-kanak lagi.

Walaupun dipersia-siakan oleh Ros, Adham tetap menyambut baik perubahan Ros dan mengakui cintanya kepada Ros tak pernah pudar walaupun sudah menikahi Khaira sebagai isteri kedua. Adham tak mampu untuk melepaskan Ros tetapi akur dengan kehendak Ros untuk berpisah.

Cinta Khaira kepada Adham
Sejenis makhluk yang dilahirkan 'terlalu baik'. Walaupun tahu cinta Adham kepada Ros, Khaira tetap mencintai suaminya dengan ikhlas. Selepas berbicara hati ke hati dengan Ros, Khaira sedia undur diri walaupun Adham tak merelakan dan dia sedang hamil.

Khaira bertegas untuk melepaskan Adham kepada Ros dengan alasan dia mahu menyambung pengajian. Khaira akhirnya tewas juga apabila Adham menggunakan alasan bayi dalam kandungan untuk menyelamatkan perkahwinan mereka.

----------

Penulis tidak suka pengakhiran KPR. Bahagia untuk Adham dan Hanan/Khaira tapi sakit (dalam merelakan) untuk Ros. Penulis kira itu balasan untuk Ros atas dosanya.

Penulis benci penulis skrip itu kerana menamatkan KPR dengan penutup seperti itu. Namun penulis skrip telah menyampaikan satu hakikat besar walaupun pahit untuk ditelan: 

... itulah kehidupan.



Keyboard off.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif