Welcome To My Life...

Sunday, February 4, 2018

Step by Step

Assalamualaikum.

Sebenarnya situasi Manchester United ketika ini sukar untuk diterima para peminat setia (seperti penulis). Menyokong kelab ini sejak zaman kanak-kanak, penulis melihat kegemilangan pasukan Manchester United bimbingan Alex Ferguson. Keadaan pasukan yang ketinggalan jauh kepada pasukan setempat, Manchester City, dan fakta bahawa United sudah lama tidak bergelar juara liga amat pahit untuk ditelan.

----------------

Manchester United memulakan perlawanan liga ke-26 dengan khabar gembira. Pendahulu liga, Manchester City hanya mampu seri 1-1 di Burnley. Tugas Manchester United adalah untuk terus mencatat kemenangan. Selepas kekalahan memalukan 2-0 di Wembley kepada Tottenham (yang menyebabkan Manchester United ketinggalan 15 mata kepada Manchester City), Mourinho membuat keputusan berani dengan menyingkirkan Paul Pogba dari kesebelasan utama.

Mourinho mengekalkan formasi 4-2-3-1. David De Gea mengawal gawang di hadapan benteng Antonio Valencia, Chris Smalling, Marcos Rojo, dan Luke Shaw. Nemanja Matic dan Scott McTominay (pengganti Pogba) melindungi pertahanan. Trio Juan Mata, Jesse Lingard, dan Alexis Sanchez menyokong penyerang tunggal, Romelu Lukaku.

United mendominasi permainan sepenuhnya di gelanggang sendiri. Huddersfield selesa dengan falsafah bertahan untuk mengurangkan kemusnahan. Para pemain United bertukar hantaran dan cuba mengatur serangan tetapi sukar untuk memecahkan disiplin pertahanan Huddersfield.

-----------------


Babak pertama berakhir dengan kedudukan terikat 0-0. Namun, selepas rehat, dua gol oleh Lukaku dan Sanchez memastikan tiga mata penuh milik United. Hantaran silang Mata dari sayap kiri disempurnakan dengan cemerlang oleh Lukaku.

Pogba masuk menggantikan Lingard dan salah satu hantaran jarak jauhnya singgah tepat di kaki Mata. Sanchez dikasari di dalam kotak penalti lawan. Sepakan penalti Sanchez berjaya ditepis tetapi bola muntah itu ditolak Sanchez ke gawang untuk gol pertamanya dalam debut di Old Trafford.

-------------------

Perjuangan untuk mencabar City diteruskan. Ketika entri ini ditulis, Manchester United berada di kedudukan kedua liga, 13 mata di belakang Manchester City. Perlawanan seterusnya minggu depan berdepan Newcastle. 

Dengan kehadiran Alexis Sanchez, barisan hadapan United lebih berbahaya dan mempunyai variasi. Paul Pogba, Anthony Martial, dan Marcus Rashford memulakan perlawanan semalam di bangku simpanan. Mourinho mempunyai tugas sukar untuk memastikan semua pemain bintang ini gembira.

Glory glory Manchester United.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif