Welcome To My Life...

Sunday, March 11, 2018

Lafazkan Kalimah Cintamu Episod 32: Penamat Sempurna


Assalamualaikum.

8 Mac 2018, tamat sudah 32 episod drama 'Lafazkan Kalimah Cintamu' yang ditayangkan untuk slot MegaDrama di saluran Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis jam 10 malam. Drama yang menjadi fenomena selama lapan minggu ditayangkan. Drama yang menitiskan air mata bukan saja untuk wanita, tapi juga untuk jejaka.

Drama ini diadaptasi dari novel Siti Rosmizah Semail dengan tajuk sama diterbitkan pada tahun 2010. Mari kita bicara tentang episod akhir.

----------------

Ketabahan Tengku Ryan Ameer

Memetik dialog Tengku Hisham: ".. dan kasihnya pada Tengku Aqilah tak pernah ada penghujungnya. Semakin hari semakin mekar kasih itu bercambah, dan cintanya pada Tengku Aqilah lebih dalam daripada lautan yang terbentang luas."

Selepas berada di sisi isterinya sehingga Qila sembuh sepenuhnya dari barah payudara, Tengku Ryan tetap sabar dengan perubahan sikap isterinya yang kasar dan selalu marah-marah.

Azrul Botak: "Sabar betul kau ni, Ryan. Kalau aku kat tempat kau, aku tak tahulah aku boleh sabar macam mana."

Ryan: "Bahagian aku, Rul. Aku tak pernah kesal pun yang Qila berubah sikap sebab aku tahu itu bukan kehendak dia. Sebab tu aku terima saja apa kata-kata dia kat aku. Qila dah cukup menderita takkan aku nak bagi dia menderita lagi."

Ryan belajar dari perpisahan selama tiga bulan yang menyeksa dia dan isterinya. Ryan tak mahu lagi Qila bersendirian mengharungi ujian hidupnya.

Kelemahan Tengku Aqilah

Selepas berjuang mengharungi rawatan kimoterapi dan radioterapi, akhirnya Tengku Aqilah disahkan bebas dari sel barah. Lemahnya Tengku Aqilah bukan pada semangatnya. Kalau dia lemah jiwa, mana mungkin dia berjaya bertahan melepasi detik getir dalam hidup.

Perangainya mula berubah menjadi panas baran dan cepat melenting. Dia rasa rendah diri dengan 'kekurangan' yang ada pada badannya. Dia kehilangan sebelah 'aset'nya. Dia tak mahu Ryan menyesal kerana mempunyai isteri yang tidak dah tak sempurna sepertinya. Walaupun berkali-kali Ryan meyakinkan, Qila tetap susah untuk percaya.

Walaupun sejuta kali lafaz benci di bibirnya, sedetik pun tidak goyah kasih Qila kepada Ryan, dan begitu juga sebaliknya.

Penutup drama vs penutup novel

Penulis novel ini telah mengolah episod akhir untuk menjadi tribute kepada semua pesakit kanser di Malaysia sama ada yang telah berjaya atau masih berjuang.

Sepatutnya, babak akhir dalam novel adalah ketika Ryan menemui Qila di dalam bilik bersama anak mereka, Tengku Dheeya Aqeela. Di situ mereka berjanji untuk terus melafazkan kalimah cinta sehingga akhir hayat.

Penutup drama pula dibawa ke Gunung Nuang, tempat di mana krisis Ryan/Qila mencapai puncak sehingga Ryan berkata 'kalau Qila hilang lagi lepas ni abang dah tak rasa apa-apa sebab abang dah tak ada perasaan pada Qila'. Ryan mengimbau semula memori itu dan berjanji untuk menjaga cintanya dengan Qila selamanya, dan Qila berdoa cinta mereka sehingga ke syurga.

Saya kira penutup di Gunung Nuang ini lebih sempurna kerana nostalgia krisis antara mereka.

Drama ini ditutup dengan sepotong ayat:
"Berjanjilah sayang terus lafazkan kalimah cintamu hingga ke akhir hayat ini. Andai nafas terhenti cinta kita tetap hidup untuk selamanya."

----------------

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada pengarah, Along Kamaludin serta krew produksi, dan juga barisan pelakon.

Pelakon Utama
Farid Kamil (Tengku Ryan Ameer)
Nelydia Senrose (Tengku Aqilah)
Azri Iskandar (Tengku Hisham)
Nadiyah Shahab (Tengku Natasha)
Adriana Adnan (Farhana)
Imam Shah (Shafiq)
Farez Ridzwan (Azrul Botak)

Pelakon Lain
Adibah Noor (Kak Bong)
Nazia Mustafar (Tuti)
Anne Abdullah (Mak Kiah)
Fathil Dani (Pak Hasan)
Azhar Sulaiman (Tengku Hashim)
Liza Abdullah (Azreena)

Semua watak dibawakan dengan baik dan menepati gambaran dalam novel. Teraju utama Farid Kamil dan Nelydia Senrose memainkan watak dengan cemerlang sekali. Peminat drama lain mungkin mudah untuk lupa kerana drama lain akan mengganti.

Bagi saya yang setia susah untuk move on seteguh dan seperti setianya Ryan dan Qila.

Happy ending.




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif