Welcome To My Life...

Monday, March 19, 2018

Lapan Terbaik

Assalamualaikum.

Saingan Liga Juara-Juara Eropah musim 2017/2018 sudah memasuki pusingan suku akhir. Pasukan-pasukan pilihan seperti Barcelona, Manchester City dan Bayern Munich meneruskan perjuangan. Malang bagi Manchester United apabila tersingkir di Old Trafford apabila pemain gantian Sevilla, Wissam Ben Yedder meledak dua gol. 

Di permulaan pusingan kalah mati, lima wakil kelab Inggeris begitu gah. Namun hanya dua kelab yang masih tinggal. Sepanyol akan mempunyai tiga wakil, dua dari Itali, dan Bayern sebagai wakil tunggal Jerman.


Empat perlawanan yang pastinya menarik perhatian peminat bola sepak seluruh dunia.

----------------

BARCELONA (Sepanyol) vs AS ROMA (Itali)
Pilihan: Barcelona

Barcelona begitu bergaya musim ini dengan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam La Liga. Dengan adanya Lionel Messi, Luis Suarez, Coutinho, Ousmane Dembele dan Paulinho, sukar untuk menidakkan peluang Barcelona untuk mara selangkah lagi kerana Roma tidaklah sekuat pasukan gergasi yang lain.

Roma akan turun sebagai underdog. Mereka mengharapkan penyudah Edin Dzeko dan Cengiz Under. Roma mesti menyekat Messi jika bermimpi untuk mara ke separuh akhir. Di hari terbaik mereka, Roma mampu menewaskan siapa saja.

----------------

SEVILLA (Sepanyol) vs BAYERN MUNICH (Jerman)
Pilihan: Bayern Munich

Sevilla baru saja menyingkirkan pasukan penuh bintang, Manchester United. Namun Bayern bukanlah lawan calang-calang. Sevilla perlu mengekang Bayern menjaringkan gol di tempat lawan supaya peluang mereka lebih cerah.

Bayern Munich nampaknya sudah menjejakkan sebelah kaki di separuh akhir. Mereka mungkin terlalu kuat untuk Sevilla. Barisan serangan Bayern diketuai Robert Lewandowski sangat tajam dan berbahaya. Tidak menghairankan jika Sevilla akan bermain secara ultra-defensif.

---------------

JUVENTUS (Itali) vs REAL MADRID (Sepanyol)
Pilihan: 50-50 

Satu lagi pertemuan kelab Itali dan kelab Sepanyol. Ulangan perlawanan akhir musim lepas. Real Madrid merupakan juara bertahan dan menang dua musim yang terakhir. Namun, rekod menunjukkan Juventus memenangi empat episod pertemuan dua pasukan ini apabila melibatkan perlawanan timbal balas (dua kali).

Juventus yang diketuai peledak berbisa, Gonzalo Higuain dan Paulo Dybala sepatutnya mempunyai lebih peluang. Namun kebangkitan pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo kelihatan akan memberi cabaran serius kepada Juve. Ini adalah kejohanan paling diminati Cristiano Ronaldo dan dia akan memburu kejuaraan keempat dalam lima musim terakhir.

---------------

LIVERPOOL (England) vs MANCHESTER CITY (England)
Pilihan: Manchester City

Hakikatnya, Liverpool menundukkan Manchester City 4-3 dalam pertemuan ulangan mereka dalam liga selepas dibelasah 5-0 dalam perlawanan pertama. Liverpool gemar bermain aksi menyerang dan dibarisi trio yang sangat digeruni: Mo Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane.

Kekuatan Manchester City tidak perlu disebut lagi. Walaupun tersingkir dari Piala FA yang meranapkan impian mereka memenangi quadruple, skuad Pep Guardiola ini masih dalam misi memburu treble. Liga Perdana Inggeris sudah pasti milik mereka musim ini dengan hanya dua kemenangan saja diperlukan dari baki lapan perlawanan. Pep juga membawa misi penting menjuarai pertandingan Eropah.

---------------

Jika dilihat di atas kertas, dua kelab Sepanyol (Barcelona dan Real) akan diiringi oleh kelab Jerman (Bayern Munich). Satu lagi slot sudah pasti milik kelab England kerana Liverpool dan Manchester City bertembung sesama sendiri.

Para peminat neutral bola sepak dunia sudah berkira-kira untuk melihat final idaman: Barcelona v Manchester City, dua pasukan yang menampilkan permainan menghiburkan sepanjang musim. Dua pasukan dengan gaya kawalan permainan yang hampir serupa (kerana Pep pernah membimbing Barcelona).

Namun, Bayern Munich tidak boleh diperlekehkan begitu saja. Begitu juga Real Madrid yang sudah masuk gear lima dan Cristiano Ronaldo sudah memecut untuk memburu Ballon d'Or keenam dalam karier gemilangnya. 

Cristiano Ronaldo begitu mahu menumbangkan Lionel Messi di penghujung karier mereka dan dia mahu membuktikan dia yang terbaik dalam era ini.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif