Welcome To My Life...

Sunday, March 4, 2018

Ryan dan Qila

Assalamualaikum.

Menulis di kesempatan yang terhad. 

Ketika cuti semester, penulis terjebak menonton drama di Astro Ria, 'Lafazkan Kalimah Cintamu' yang diadaptasi dari novel bestseller karya Siti Rosmizah. Mulanya penulis hanya mahu tengok satu episod. Entah apa yang menarik sangat dengan cerita ni, penulis dah mengikuti cerita ini. Minggu ini adalah minggu akhir drama.

Penulis tabik dengan pengarah serta krew penerbitan atas usaha mereka. Barisan pelakon yang dipilih memang terbaik untuk setiap watak. Farid Kamil (Tengku Ryan) dan Nelydia Senrose (Tengku Aqilah) menjadi teraju yang sangat sepadan. Pujian lebih diberikan kepada Adibah Noor yang menjayakan watak Kak Bong dan Imam Shah yang membawa watak Shafiq. 

--------------------

ANTARA RYAN DAN QILA

Sehingga usianya 23 tahun, Qila bukanlah siapa-siapa pada Ryan, hanya sekadar sepupu dan tak lebih dari itu. Qila tahu Ryan bercinta dengan kakaknya, Tasha. Siapa mereka untuk menolak takdir. Wasiat ayah Ryan menyatukan mereka dengan ikatan pernikahan sah walaupun mereka bernikah hanya untuk 'menghalalkan' rancangan zalim Tasha, Tengku Hisham dan Ryan. Allah membuka hati Ryan untuk mencintai Qila dan segalanya bermula.

----

Kerana termakan fitnah dari Tasha, Qila tergamak menuduh suaminya sendiri berzina dengan kakaknya. Apabila Ryan meninggalkan Qila pada detik ini, selayaknya itu hukuman untuk Qila kerana tidak yakin dengan suaminya yang sah. Ryan menjauhkan diri dan Qila berusaha memenangi hatinya semula.

-----

Betapa besar salah Qila, tinggi menggunung lagi ego Ryan yang tetap menolak Qila walaupun apa percubaan Qila untuk mendapatkan cinta Ryan semula. Di atas Gunung Nuang, Ryan menyatakan dia sudah tidak ada perasaan pada Qila langsung dan dia tidak akan kisah lagi jika Qila hilang.

Kerana terlalu mengikut emosinya, Ryan mengherdik Qila yang baru pulang dari mengetahui dia menghidap kanser payudara (dan mengandung juga). Ryan meminta Qila untuk berhenti kerja kerana kerap sakit. Sedikit pun Ryan tidak bertanya tentang kesihatan Qila.

Hanya tinggal zuriat dalam rahimnya yang menjadi kekuatan Qila untuk terus bertahan dan berjuang. Ketika Qila sangat memerlukan sokongan suami, Ryan memberikan Qila sebab terakhir untuk berlalu pergi.

Dan Qila benar-benar pergi jauh dari suami yang semakin membenci.

-----

Di sini layaklah Ryan menelan bisa kata-katanya sendiri.

Tiga bulan Ryan menanggung seksa kerna ruang yang kosong ditinggalkan Qila. Setiap hari tanpa Qila, Ryan semakin sedar nilai Qila dalam hidupnya. Pada masa yang sama, Qila berjuang dengan maut dan berkorban (untuk tidak menjalani pembedahan) semata-mata kerana tidak mahu meletakkan kandungannya (anak Ryan) dalam risiko. Begitulah pengorbanan ibu Qila semasa melahirkannya dulu.

------------------

Qila dan Ryan sama-sama melakukan kesilapan. Salah mereka besar. Qila tidak yakin pada suami dan Ryan terlalu ego untuk memaafkan. Takdir Tuhan itu luas hikmahnya. Jarak antara mereka selama tiga bulan memberikan mereka ruang untuk menerima suratan takdir dan mengetahui siapa pasangan mereka dalam hati masing-masing.

Cinta Qila dan Ryan tak pernah pudar walau sejuta kali mereka melafazkan kata benci. Qila rela mati sebagai isteri Ryan kerana mahu bersama Ryan di akhirat, dan bertarung dengan maut untuk melahirkan zuriat mereka. 

----------

Pada saya, skrip (yang 90% diambil dari novel) sangat bermain dengan perasaan. Setiap perkataan yang dituturkan begitu terperinci. Kata bahagianya manis bak gula, dan kata sendunya merobek jiwa. Jika mengikut novel, Qila akan bahagia di akhirnya. Selamatkah Qila di penghujung adaptasi novel ini?

Penulis sendiri sedang menanti.


No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif