Welcome To My Life...

Friday, April 6, 2018

Selangkah

   Assalamualaikum.

AMARAN: Entri bola sepak.

Minggu ini bermula aksi pusingan suku akhir dengan format timbal balas. Kelebihan kepada pasukan yang mendapat gol di tempat lawan dalam perlawanan pertama kerana tekanan beralih kepada pasukan pelawat dalam perlawanan ulangan.

Lapan pasukan yang tinggal (mungkin kecuali Sevilla) adalah pasukan-pasukan pilihan. Malang bagi satu pasukan pilihan, Paris Saint-Germain yang terpaksa berdepan juara bertahan, Real Madrid, di pusingan kedua dan disingkirkan.

-------------

SEVILLA 1-2 BAYERN MUNICH
Sevilla menyingkirkan Manchester United di pusingan kedua untuk menempah pertemuan dengan gergasi Bundesliga yang bakal memenangi liga sekali lagi musim ini. Bayern Munich antara pasukan pilihan dengan pasukan yang menggerunkan dan baru saja menumbangkan Borussia Dortmund 6-0 dalam perlawanan liga dengan penyerang berbisa, Robert Lewandowski menjadi tonggak serangan.

Sevilla mendahului apabila Pablo Sarabia meledak dengan kaki kiri. Namun Bayern tidak panik dan mencari gol penyamaan yang tiba apabila tolakan Frank Ribery dari sebelah kiri tertampan pemain Sevilla, Jesus Navas. Gol sendiri itu mengembalikan keyakinan Bayern. Gol kemenangan yang dicari dijaringkan oleh Thiago Alcantara yang menanduk hantaran lambung Ribery. Dua gol di tempat lawan namun kedudukan Bayern masih belum selamat. Sevilla perlu menang dan menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol di Jerman nanti.

JUVENTUS 0-3 REAL MADRID
Real Madrid boleh dikatakan sudah 90% berada di pusingan separuh akhir melainkan Juventus dapat melakukan keajaiban terulung. Selaku juara bertahan, Real Madrid sudah memenangi kejuaraan ini untuk dua musim terakhir. Cristiano Ronaldo sekali lagi menunjukkan magisnya, Kejuaraan ini dikatakan pertandingan kegemaran Ronaldo kerana walau seberapa teruk sekali musim yang dilalui, Ronaldo akan menemui sentuhan pemusnah dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Ronaldo terus garang dalam misinya memburu gelaran penjaring terbanyak benua Eropah dengan meledak gol pertama seawal minit ketiga apabila menyambut hantaran silang Isco dari sayap kiri. Namun gol kedua peribadi Ronaldo yang menarik perhatian dunia. Satu hantaran lambung dari sebelah kanan oleh Carvajal kelihatan tidak berbahaya tetapi Ronaldo melakukan sepakan gunting yang memukau sehingga mendapat tepukan gemuruh penyokong tuan rumah.

Marcelo menyempurnakan larian cemerlang dari bek kiri dengan gol ketiga Real untuk gol ketiga pasukannya di tempat lawan. Ini bermakna Juventus perlu menyamai atau mengatasi jaringan ini di Santiago Bernabeu jika berhasrat meneruskan rekod gemilang tanpa kalah menentang Real Madrid apabila pusingan kalah mati berformat timbal balas dua perlawanan. Misi kali ini misi mustahil!

-----

LIVERPOOL 3-0 MANCHESTER CITY
Pertemuan ketiga antara kedua-dua kelab Inggeris ini untuk musim 2017/2018. Pertemuan pertama di Etihad dimenangi Manchester City dengan 5-0 sebelum Liverpool membalas dengan kemenangan 4-3 di Anfield. Dan sekali lagi Anfield menjadi mimpi ngeri buat pasukan Pep Guardiola. Mo Salah meneruskan musim gemilang dengan menggunakan kaki kirinya yang berbisa untuk menyudahkan tolakan dari Roberto Firmino.

Alex Oxlade Chamberlain mengukuhkan kedudukan menerusi rembatan kencang kaki kanan dari luar kotak penalti yang menggembirakan penyokong tuan rumah. Sadio Mane menambah derita pelawat apabila menyempurnakan hantaran lambung dari Salah. Tiga gol di tempat sendiri tanpa balas bermakna Liverpool tidak perlu risau tentang peraturan gol tempat lawan.

Peluang Liverpool kini 85% kerana Manchester City perlu mengatasi defisit gergasi tiga gol di tempat sendiri nanti. Satu gol lagi dari Liverpool dan Manchester City perlu menjaringkan lima gol kerana keputusan menang 4-1 sekalipun tidak akan memihak mereka. 

BARCELONA 4-1 ROMA
Roma bertandang ke Camp Nou dengan harapan untuk setidak-tidaknya mendapat sesuatu sebelum beraksi di tempat sendiri. Malangnya dua gol sendiri memusnahkan harapan. Daniele De Rossi tertampan hantaran Andres Iniesta kepada Lionel Messi ke gawang sendiri. Pertahanan, Kostas Manolas, juga menerima nasib sama apabila bola terkena tiang, melantun dan terkena lututnya sebelum melantun ke dalam gol.

Gerard Pique menambah gol ketiga sebelum detik sejam apabila merentasi padang untuk menyambar bola muntah dari penjaga gol yang menepis percubaan Luis Suarez. Edin Dzeko menghidupkan sisa harapan Roma dengan berada di posisi yang sempurna untuk membuat penyudah kaki kiri. Suarez mengembalikan jurang tiga gol dengan ledakan kaki kiri.

Roma mendapat satu gol di tempat lawan tetapi perlu mengekang Barcelona menambah gol dan mereka sendiri perlu menang 3-0, satu situasi yang hampir mustahil tapi boleh berlaku.

----------------

Melihat situasi ketika ini, empat pasukan yang akan beraksi di separuh akhir ialah Real Madrid, Bayern Munich, Liverpool, dan Barcelona. Peluang Manchester City dan Juventus boleh dikatakan hampir tertutup. Roma hanya memiliki 5% peluang dan Sevilla masih lagi bernyawa tetapi mesti menang dengan apa cara sekalipun dalam perlawanan kedua.

Minggu depan akan menentukan segalanya.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif