Welcome To My Life...

Tuesday, April 10, 2018

Apa Dah Jadi

Assalamualaikum.

Mengecewakan. Itulah yang boleh dikatakan tentang kekalahan pasukan badminton berpasukan campuran Malaysia yang tumbang kepada India 1-3 semalam.

Selaku juara bertahan yang membariskan tiga pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, amat menyedihkan untuk melihat kekalahan ini. Malaysia turun selaku penyandang juara sejak edisi 2006 lagi dengan kali terakhir mengalahkan England 3-1 dalam final edisi 2014.

-------------

Perlawanan pertama sudah dijangka oleh penulis akan menjadi penentu dalam final ini kerana di atas kertas, Malaysia memiliki beregu lelaki yang lebih kuat dan India pula mempunyai kekuatan dalam perseorangan wanita.

Gandingan pemenang pingat perak Olimpik, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying dipilih untuk menentang Rankireddy dan Ponnappa berbanding Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai. Keputusan ini memakan diri apabila Peng Soon/Liu Ying tewas dalam rubber game walaupun bangkit memenangi set kedua.

Kekalahan ini menyukarkan peluang Malaysia dan Dato' Lee Chong Wei turun dengan misi mesti menang. Pemain berusia 35 tahun dengan pengalaman luas dan memiliki tiga pingat perak Sukan Olimpik berturut-turut. Namun, pemain nombor dua dunia ketika ini, Srikanth Kidambi yang berusia 25 tahun ternyata lebih bersedia. Setiap pukulan Chong Wei dapat dibalas dan serangan Kidambi begitu tajam. Kidambi menang straight game untuk India mendahului 2-0.

Dua pemenang pingat perak Sukan Olimpik tumbang. Tinggal satu lagi. Harapan menggunung kepada beregu lelaki, Goh V Shem/Tan Wee Kiong, untuk meneruskan perjuangan Malaysia. Seperti dijangka, V Shem dan Wee Kiong mudah menewaskan Rankireddy dan Shetty.

Kini baton diserahkan kepada Sonia Cheah untuk mencipta kejutan besar menentang Saina Nehwal yang pernah memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik 2012. Sonia mendahului 11-9 di separuh set pertama namun kemudian hilang punca. Saina mengutip 12 mata tanpa balas untuk menang set pertama.

Pujian harus diberikan kepada Sonia yang tidak mengalah dan bangkit memenangi set kedua 21-19 untuk menyalakan sedikit harapan. Namun Saina mempamerkan permainan cemerlang di set ketiga untuk menang 21-9 dan menamatkan cabaran Malaysia.

Pingat emas untuk pasukan campuran India.

-------------

Kekalahan yang membawa hakikat menyakitkan kerana ketua jurulatih India adalah bekas pemain Malaysia, Tan Kim Her. Betapa Malaysia terlalu mengharapkan Lee Chong Wei ketika India memiliki Srikanth Kidambi. Malaysia juga tidak mempunyai perseorangan wanita yang kuat ketika perseorangan wanita India bertaraf dunia.

Di mana silapnya? Apa dah jadi?




No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif