Welcome To My Life...

Thursday, April 12, 2018

Miracle of Rome

Assalamualaikum.

Empat pasukan terakhir tinggal untuk merebut gelaran paling berprestij dalam pertandingan kelab di benua Eropah. Dua musim terakhir dimenangi oleh Real Madrid dari Sepanyol. Apa yang pasti akan ada dua nama baru dengan penampilan semula Liverpool (England) dan AS Roma (Itali).

------------------

'Touch of reality'

MANCHESTER CITY 1-2 LIVERPOOL
Agregat (1-5)

Tewas 3-0 di Anfield minggu lalu, luka Manchester City bertambah parah apabila tewas Manchester derby 3-2 di tempat sendiri dan memaksa perayaan kejuaraan liga mereka tertangguh. Skuad Pep turun sekali lagi di Stadium Etihad dengan misi mesti menang sekurang-kurangnya 3-0 dan seboleh mungkin tidak membenarkan pasukan Jurgen Klopp mendapat 'gol di tempat lawan'.

Pasukan Pep mendapat apa yang mereka mahu dan perlukan apabila Gabriel Jesus meledak ketika permainan baru berusia dua minit. Manchester City menguasai babak pertama dan terus menyerang kerana hakikat mereka tidak akan layak jika tidak menjaringkan tiga gol. Tuah tidak berpihak kepada mereka apabila jaringan Leroy Sane dibatalkan walaupun ulang tayang menunjukkan gol itu sepatutnya sah dan Sane tidak ofsaid.

Ketika Liverpool memerlukan wira, Mo Salah telah memberikan khidmat cemerlang sejak dibeli dan Salah membuktikan keunggulan sekali lagi dengan gol berharga yang menjadi 'gol di tempat lawan' yang dicari-cari. Penyudah tenang Salah bermakna Manchester City mesti menjaringkan sekurang-kurangnya lima gol. Kemenangan 4-1 tidak cukup kerana Liverpool masih layak walaupun agregat 4-4.

City gagal menambah gol dan malang bertimpa bagi mereka apabila Roberto Firmino merampas bola dari kesilapan pertahanan, memecut, dan membuat penyudah tenang yang sempat terkena palang sebelum melantun ke dalam gol. 

---

'Reversed La Remontada'

ROMA 3-0 BARCELONA
Agregat (4-4)
Roma layak dengan peraturan gol di tempat lawan

Para peminat Barcelona masih segar dengan keajaiban La Remontada (the comeback) yang mereka lakukan baru saja musim lalu. Kekalahan 4-0 di Paris diterbalikkan dengan kemenangan hampir mustahil 6-1 di Camp Nou untuk menewaskan Paris Saint-Germain 6-5 secara agregat. Kali ini, Barcelona pula menjadi mangsa. Edin Dzeko menjaringkan gol pertama yang sangat penting dengan menyudahkan hantaran jarak jauh dari Daniele De Rossi.

Dzeko menjadi wira sekali lagi apabila memenangi sepakan penalti sebelum detik sejam permainan ketika dia dijatuhkan oleh Gerard Pique. De Rossi tenang meledak gol kedua Roma untuk menyalakan harapan untuk mencipta kejutan. Setengah jam yang tinggal untuk Roma mencari satu gol dan juga mengelak daripada membenarkan Barcelona menjaringkan 'gol di tempat lawan'.

Penyokong Roma mula percaya bahawa inilah malamnya mereka akan melihat keajaiban 'La Remontada' yang diterbalikkan. Gol yang menjadikan mimpi mustahil menjadi realiti itu dijaringkan oleh Kostas Manolas yang menanduk cantik sepakan penjuru Cengiz Under untuk menyempurnakan kebangkitan ajaib di bumi Rome.

De Rossi dan Manolas yang menjaringkan gol sendiri ketika mereka tewas 4-1 di Barcelona bangkit untuk menjadi wira. Hanya tiga pasukan pernah menterbalikkan defisit tiga gol dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah dan Roma melakukannya di masa yang sempurna.

---

'No more surprise'

BAYERN MUNICH 0-0 SEVILLA
Agregat (2-1)

Sevilla turun ke Allianz Arena dengan misi yang sukar tapi peluang masih lebih cerah berbanding Juventus. Sevilla mesti menjaringkan dua gol. Kemenangan 1-0 tidak cukup walaupun mengikat agregat 2-2 kerana Bayern Munich mempunyai dua gol di gelanggang Sevilla.

Sevilla harus menyalahkan diri sendiri kerana tidak langsung melakukan percubaan tepat untuk membantu misi mereka. Percubaan terbaik Sevilla dalam perlawanan ini menerusi tandukan Joaquin Correa yang terkena palang. Penguasaan bola seimbang namun Bayern melakukan lebih banyak percubaan tepat ke arah gol untuk melebarkan jurang. Correa dilayangkan kad merah apabila sengaja menyepak kaki Javi Martinez.

Perlawanan berakhir tanpa gol dan Bayern mengekalkan kelebihan mereka dari perlawanan pertama untuk melangkah bergaya ke separuh akhir selaku juara Bundesliga Jerman.

---

'Almost miracle in Madrid'

REAL MADRID 1-3 JUVENTUS
Agregat (4-3)

Menyaksikan kebangkitan mustahil Roma pada hari sebelumnya, pemain Juventus turun membawa misi sama namun di gelanggang lawan. Real Madrid kelihatan sudah 90% layak kerana meledak tiga gol di Itali. Satu atau dua gol mereka akan menyukarkan Juventus.

Namun semangat Roma meresap dalam diri pemain Juventus untuk menterbalikkan defisit tiga gol. Mereka mendapat gol awal yang diidamkan apabila hantaran lambung Sami Khedira tepat kepada Mario Mandzukic yang menanduk kencang untuk membangkitkan semangat 'La Remontada'. Berbeza dengan kebangkitan Roma, Juventus menjaringkan gol kedua dalam separuh masa pertama untuk merapatkan jurang. Kali ini hantaran silang Stephan Lichtsteiner dari sayap kanan ditanduk Mandzukic sekali lagi untuk menewaskan Keylor Navas.

Perlawanan baru berusia sejam ketika Juventus melengkapkan kebangkitan hebat mereka apabila Blaise Matuidi merampas bola yang cuba ditangkap Navas sebelum menolak bola masuk untuk menyamakan agregat. Juventus telah berjaya menjaringkan tiga gol di tempat lawan, di gelanggang juara bertahan. Ajaib!

Juventus selayaknya mendapat sekurang-kurangnya masa tambahan, terutama untuk Gianluigi Buffon yang masih belum bergelar juara pertandingan kelab Eropah dalam karier hebatnya yang sudah memenangi Piala Dunia. Malang bagi Buffon, Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi pemusnah mimpinya.

Hantaran lambung Toni Kroos dalam masa kecederaan babak kedua ditanduk Ronaldo ke kawasan enam ela. Lucas Vasquez dijatuhkan oleh Medhi Benatia dan Michael Oliver menghadiahkan sepakan penalti. Buffon menerima kad merah kerana membantah keputusan pengadil. Cristiano Ronaldo tenang meledak gol ke-15 dalam pertandingan musim ini dalam penampilan ke-150 dalam Liga Juara-Juara Eropah. Pertandingan ini milik Ronaldo.

------------------

Sudah habis tuah untuk Manchester City dan Barcelona yang digunakan sepanjang musim. Malang bagi Raheem Sterling dan Philippe Coutinho yang meninggalkan Liverpool untuk memburu kejayaan lebih besar tetapi terpaksa melihat Liverpool mara ke separuh akhir ketika pasukan yang mereka wakili gagal.


Hanya tinggal empat pasukan termasuk juara bertahan: Real Madrid (Sepanyol), Bayern Munich (Jerman), AS Roma (Itali), dan Liverpool (England). Empat wakil liga berbeza pasti menjanjikan sesuatu yang menarik.

Real Madrid membuat penampilan ke-13 dalam separuh akhir sejak Liga Juara-Juara diperkenalkan, Bayern akan beraksi di pusingan ini buat kali ke-11, Liverpool kali ke-4 dan Roma kali pertama mara sejauh ini dalam sejarah pertandingan.

Final impian: Real Madrid vs Liverpool.



No comments:

Copyright © 2011, Segalanya Di Sini Adalah Hak Milik Muhammad Nazif